Promoting an understanding of Islam that recognises the principles of
justice, equality, freedom, and dignity within a democratic nation state

Surat Kepada Pengarang (6 May 2003)
email to someone printer friendly


Surat Kepada Pengarang


Enakmen Syariah Selangor 6 MEI 2003


SIS (Sisters In Islam)mengalu-alukan keputusan kerajaan negeri Selangor untuk memperketatkan prosedur permohonan perkahwinan poligami bagi memastikan keadilan diberi kepada semua pihak yang terlibat.

Keperluan bagi seorang suami, isteri sedia ada dan bakal isteri bersama walinya untuk hadir ke Mahkamah membolehkan hakim mengadili kebolehan seorang lelaki untuk berlaku adil.

Ia adalah langkah pertama di dalam siri prosedur yang harus dijalankan bagi menentukan keadilan dan mengenal pasti bahawa ia hanya boleh didapati dengan mengadakan perbincangan dengan semua pihak yang terbabit. Seorang suami tidak boleh menentukan keadilannya sendiri.

SIS menganjurkan agar prosedur lain juga haruslah di ambil bagi membolehkan syarat keadilan di dalam perkahwinan poligami yang dituntut oleh Islam diperolehi:
  • Hakim-hakim mahkamah syarie perlu menuruti keputusan Jawatankuasa Rayuan Selangor dalam kes  Aishah Abdul Rauf lawan Wan Mohd Yusof Wan Othman yang telah menetapkan bahawa kesemua 4 syarat, bukan hanya satu, bagi membenarkan perkahwinan poligami di bawah undang-undang Islam adalah sama penting dan wajib dipenuhi. Empat syarat tersebut ialah - patut dan perlu, kemampuan kewangan, layanan sama rata dan tidak menyebabkan kemudaratan (darar syarie) kepada isteri sedia - adalah wajib dibukti kesemuanya.

  • Menetapkan bahawa kenyataan isteri sedia ada yang tidak membantah perkahwinan poligami telah diberi secara ikhlas. Hakim haruslah menentukan bahawa dalam sesi konsultasi, isteri sedia ada tidak membantah dengan ikhlas dan bukanlah dipaksa oleh sesiapa. Telah menjadi kebiasaan bagi isteri pertama diugut untuk diceraikan sekiranya dia membantah perkahwinan yang dirancang.

  • Menyediakan borang permohonan yang baru, yang mencerminkan syarat-syarat baru dan memastikan pegawai mahkamah berkebolehan untuk menasihatkan suami dengan sewajarnya. Suami haruslah memperuntukkan bukti bagi setiap kenyataannya - dokumen sokongan ke atas sumber kewangan, liabiliti, harta. Pada masa ini borang permohonan adalah tidak tepat kerana ia menganggap kebenaran berpoligami akan diberi secara tetap dan suami tidak perlu memberi dokumen sokongan.

  • Membenarkan agar isteri yang tidak mahu dipoligami diberi pilihan untuk meninggalkan perkahwinan. Seorang isteri tidak wajar dipaksa untuk kekal di dalam perkahwinan yang berlainan dari perkahwinan yang telah diakadkan baginya.


  • Memberi hak isteri pertama ke atas harta sepencarian sebelum kebenaran perkahwinan poligami diberi. Ini adalah untuk memastikan agar hak isteri sedia ada terjaga dan terpelihara. Kami amat merasakan bahawa adalah tidak adil bagi seorang isteri yang telah berusaha bersama-sama suami dan kemudiannya hak tersebut tidak diendahkan apabila suami berkahwin dengan wanita lain.*

  • Memastikan suami memberi nafkah bulanan kepada isteri dan anak-anak. Majikan suami boleh diarahkan untuk memotong gaji suami bagi membayar nafkah tersebut. Kami menyarankan kerajaan Negeri memperuntukkan syarat yang menetapkan bahawa perkahwinan poligami tidak boleh secara langsung atau tidak langsung menurunkan taraf kehidupan yang dinikmati oleh isteri dan keluarga sedia ada. Ini adalah bersamaan dengan para (e) seksyen 23 (4) undang-undang keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) yang telah dipinda. Ini akan memastikan sekurang-kurangnya keadaan kewangan isteri dan anak-anaknya terpelihara.*

* Kedua-dua prosedur terakhir haruslah dipraktikkan secara am. Mahkamah tidak perlu menunggu permohonan isteri sedia ada sebelum mengeluarkan perintah tersebut tetapi mengeluarkan perintah atas dasar keadilan.


Sisters in Islam


6 Mei 2003

Copyright | Privacy Policy | Contact Us | Sitemap