Promoting an understanding of Islam that recognises the principles of
justice, equality, freedom, and dignity within a democratic nation state

Pembaharuan Proses Perceraian dan Tuntutan Sampingan Dalam Prosiding Mahkamah Syariah
email to someone printer friendly

Pembaharuan Proses Perceraian dan Tuntutan Sampingan Dalam Prosiding Mahkamah Syariah

Sisters in Islam

A. PENGENALAN

Memorandum ini adalah hasil daripada projek yang bertujuan untuk mengkaji prosidng dan pengalaman wanita Islam dalam proses peceraian serta tuntutan sampingan iaitu tuntutan nafkah isteri, mut’ah dan harta sepencaraian, serta juga hak jagaan, lawatan dan nafkah anak. Matlamat utama Sisters in Islam (SIS) ialah untuk memperkembangkan kefahaman Islam yang mengiktiraf kesaksamaan di antara kaum wanita dan lelaki berasaskan prinsip-prinsip keadilan yang termaktub dalam ajaran Islam. Suatu usaha utama untuk mencapai matlamat tersebut ialah dengan mengenalpasti masalah-masalah yang boleh membawa kepada ketakadilan, misalnya masalah penangguhan kes, dan mengesyorkan pindaan dan pembaharuan kepada amalan dan prosedur undang-undang bagi menghapuskan ketakadilan dan melicinkan proses pentadbiran undang-undang keluarga Islam di negara ini.

Dalam kajian ini, pihak SIS dengan kerjasama Pusat Khidmat Wanita Pertiwi (PKWP) yang mengadakan khidmat nasihat bagi golongan ibu tunggal, telah melihat kepada pengalaman dan pandangan wanita dalam beberapa kes, terutamanya di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor. Hampir 40 orang wanita telah ditemuduga dalam kajian ini, dan mereka termasuklah wanita yang pernah, dan juga wanita yang sedang, terlibat dalam proses perceraian dan tuntutan sampingan. Laporan hasil kajian tersebut telah dibentangkan oleh pihak SIS dalam Bengkel Kajian Kes:Pengalaman Wanita dalam Prosiding Mahkamah Syariah (Tumpuan Utama kepada Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor) yang diadakan pada 13 dan 14 November 1999. Isu-isu yang dikemukakan telah dibincangkan pada Bengkel tersebut dan berbagai cadangan bagi cara penyelesaian dan pembaharuan telah disyorkan.

Dalam mengkaji dan membincangkan isu-isu yang dibangkitkan, pendekatan sosiologi juga digunakan kerana faktor manusia adakalanya lebih penting daripada undang-undang memandangkan manusialah yang melaksanakan undang-undang tersebut. Jika pelaksanaan undang-undang kurang berkesan oleh kerana faktor manusia, maka hasilnya tidaklah memuaskan walaupun jika undang-undang itu sendiri mungkin sudah cukup memuaskan. Tambahan pula kes-kes di bawah undang-undang keluarga melibatkan emosi manusia dan bukannya harta benda sahaja. Kajian kes tersebut adalah dibentangkan dari sudut pandangan terdekat dan kemusykilan pihak wanita itu sendiri untuk mencungkil fakta realiti hidup dan kesan pengalaman yang ditinggalkan kepada para wanita tersebut. Realiti pengalaman wanita itu mungkin tidak digambarkan dalam laporan atau dokumen rasmi, misalnya catatan rasmi mungkin menyatakan keputusan telah tercapai melalui persetujuan bersama, tetapi sebenarnya wanita itu dalam keadaan tertekan semasa memberi persetujuaanya. Laporan rasmi juga mungkin menunjukkan bahawa pihak suami/bapa telah diperintahkan membayar nafkah bulanan, tetapi realitinya nafkah itu tidak pernah dibayar dan pihak isteri/ibu merasakan tidak mampu atau tidak terdaya untuk megambil tindakan selanjutnya untuk penguatkuasaan.

Memorandum ini adalah bertujuan untuk membawa perubahan yang memberangsangkan kepada pelaksanaan Undang-undang Keluarga Islam. Pembaharuan adalah amat diperlukan kerana terdapat banyak kemusykilan pihak wanita yang membawa kebimbangan bahawa terdapat bias atau prasangka yang wujud terhadap para wanita. Pembaharuan bolehlah diusahakan melalui “Penggalakan”, “Pencegahan”, “Pencelahan”, dan “Pemulihan”.
Kemusykilan yang disuarakan dan cadangan serta syor yang dikemukakan bolehlah dibahagikan kepada isu-isu utama yang berikut, iaitu mengenai:
  • Perceraian;
  • Nafkah Isteri, Mut’ah dan Harta Sepencarian;
  • Jagaan, Lawatan dan Nafkah Anak,
  • Selain daripada itu, terdapat juga kemusykilan yang disuarakan dan cadangan serta syor yang dikemukakan mengenai
  • Khidmat Guaman dan Pembelaan Diri, serta
  • Pentadbiran dan Proses di Jabatan Agama dan Mahkamah dan juga pembaharuan dan kefahaman undang-undang serta kesedaran pada amnya.

B. PANDANGAN DAN KEMUSYKILAN

I. Perceraian

1. Wanita yang memperolehi perceraian ta’liq

Terdapat banyak pandangan negatif dikemukakan, termasuklah bahawa sesi kaunseling membazirkan masa dan tidak memberi kesan positif, pentadbiran tidak cekap, proses perbicaraan panjang dan banyak penangguhan, adakala hakim tidak hadir, adakala peguam atau pihak suami tidak hadir, pihak mahkamah tidak menjalankan tanggungjawab dengan seadilnya, lebih memberi peluang atau meihak kepada lelaki.

Terdapat juga beberapa pandangan positif termasuklah proses perceraian berjalan dengan lancar apabila mahkamah tegas, kes memakan masa yang lama sebelum ke mahkamah tetapi tiada masalah setelah sampai ke mahkamah dan hakim memahani situasi isteri. Ada juga dikatakan bahawa proses tuntutan perceraian dilakukan dengan lebih cepat dan licin berbanding dengan tuntutan wang dan harta.

2. Wanita yang sedang dalam proses permohonan cerai (ta’liq atau fasakh)

Terdapat banyak pandangan dikemukakan, termasuklah bahawa sesi kaunseling tidak berkesan, hanya menyuruh isteri supaya lebih bersabar dan hanya memenuhi permintaan suami. Mengenai proses bagi pebicaraan pula, dikatakan terlalu rumit dan banyak dokumen yang perlu dikemukakan, seolah-olah hendak membuktikan kes jenayah. Kerumitan proses menyebabkan terlalu lama kes berlanjutan dan dikatakan pihak mahkamah lebih memberatkan keterangan dari pihak suami dan isteri berasa teraniaya dengan tuduhan nusyuz yang sering dikemukakan. Kes juga dikatakan tertangguh dengan begitu lama, dengan mahkamah melebihkan lelaki daripada wanita dari segi peluang dan masa, dan kurang kerjasama daripada pihak Biro Bnatuan Guaman dalam usaha supaya kes dipanggil untuk dibicarakan di mahkamah.

3. Wanita dalam kes perceraian talaq atas kehendak suami


Terdapat banyak pandangan negatif dikemukakan, dengan dikatakan perceraian menjadi begitu mudah sekali termasuk perceraian tanpa saksi dan terdapat juga isteri yang diceraikan tanpa pengetahuannya. Perceraian tanpa pengetahuan isteri dikatakan suatu penganiayaan lebih-lebih lagi apabila surat cerai lambat diterima menyebabkan tuntutan mut’ah tertangguh. Terdapat juga isteri yang diceraikan walaupun bersetuju untuk berpoligami dan tidak minta untuk bercerai. Perceraian dengan tuduhan isteri nusyuz juga dibenarkan dengan isteri diceraikan tanpa pengetahuannya, tanpa memanggil isteri dan tanpa perbicaraan. Hal-hal sedemikian menyebabkan ada wanita yang mengatakan tidak ada keadilan, tolak ansur dan perasaan timbang rasa antara pihak Jabatan Agama mahkamah dan memberi tanggapan bahawa Jabatan Agama dan pihak mahkamah berpihak kepada lelaki.

4. Wanita dalam kes perceraian atau pengesahan talaq melalui persetujuan bersama


Terdapat banyak pandangan negatif dikemukakan termasuklah bahawa proses kaunseling tidak memberi penjelasan mengenai soal dan hak suami isteri dalam perceraian, dan tidak berjaya kerana lebih memihak kepada suam, dengan isteri hanya disuruh bersabar.

Terdapat juga pihak wanita yang menyatakan bahawa persetujuan isteri ke atas syarat-syarat yang dikenakan oleh suami, misalnya untuk menggugurkan tuntutan kewangan, diperolehi semasa isteri dalam keadaan tertekan dan mahkamah tidak prihatin mengenai keadaan ini. Pihak mahkamah lebih suka menyuruh suami isteri mengadakan perbincangan di luar mahkamah sebelum proses perbicaraan dijalankan, dan hanya bersetuju dengan apa yang dibincangkan di luar mahkamah tanpa cuba masuk campur untuk menjaga kebajikan dan hak isteri dan menegakkan keadilan. Ini menyusahkan pihak isteri, terutamanya isteri yang tidak mengetahui haknya di dalam perceraian.

Kemusykilan juga disuarakan bahawa sekiranya lelaki yang inginkan perceraian, ia sangat mudah untuk diperolehi, akan tetapi, jika wanita yang menuntut cerai, adalah sesuatu yang sukar dicapai. Selagi suami tidak bersetuju dengan peceraian, mahkamah mengambil masa yang lama walaupun rumahtangga suami isteri tersebut tidak dapat diselamatkan lagi, dan ada saksi-saksi untuk menyokong kenyataan ini.

Pandangan positif yang dikemukakan ialah bahawa perceraian berjalan lancar sekiranya terdapat kerjasama suami dan persetujuan suami isteri telah diperolehi di luar mahkamah.

II. Nafkah isteri, mut’ah dan harta sepencarian


1. Masalah membuat tuntutan

Pandangan yang dikemukakan mengatakan terdapat banyak masalah dalam membuat tuntutan dan kurang keprihatinan dalam menjaga hak seseorang isteri yang mengakibatkan ketakadilan. Masalahnya termasuklah masalah membuat tuntutan berasingan misalnya tuntutan khusus untuk mut’ah dan harta sepencarian. Ada juga isteri yang dituduh materialistik kerana mengisi Borang Tuntutan untuk nafkah, mut’ah dan harta sepencarian walaupun Borang Tuntutan disediakan mengikut undang-undang dan isteri berhak membuat tuntutan tersebut. Suami sepatutnya bertanggungjawab dan tidak membuat tuduhan sedemikian. Terdapat juga tekanan oleh suami ke atas isteri yang menyebabkan isteri bersetuju tidak membuat tuntutan nafkah iddah, mut’ah dan harta sepencarian demi meperolehi persetujuan suami untuk perceraian.

2. Hak isteri yang diceraikan

Terdapat juga beberapa pandangan daripada pihak isteri yang diceraikan atas kehendak suami dan juga yang bercerai melaui persetujuan bersama bahawa kepentingan dan kebajikan isteri tidak dijaga mengenai hak yang mereka perolehi dalam perceraian. Terdapat tanggapan bahawa Jabatan Agama dan pihak mahkamah berpihak kepada lelaki dan mahkamah hanya menetapkan jumlah yang dipersetujui oleh suami tanpa cuba campurtangan untuk menegakkan keadilan. Tuntutan untuk tunggakan nafkah isteri dikatakan hanya membuang masa dan tenaga, jumlah nafkah iddah dan mut’ah sangat rendah berbanding dengan jumlah yang dituntut, dan isteri disuruh jangan membebankan suami dengan meminta jumlah yang besar, padahal suami mampu berkahwin lain.

Walupun kebanykan pandangan yang disuarakan aalah pandangan negatif, terdapat juga sedikit pandangan positif daripada seorang isteri yang mendapat nafkah iddah dan mut’ah yang dituntut.

3. Tempoh membuat tuntutan

Tuntutan kewangan juga mengambil masa yang agak lama untuk selesai, dan walaupun kes perceraian selesai, soal wang dan harta belum selesai kerana perlu menunggu lepas iddah dan dapat surat cerai, maka barulah tuntutan seterusnya boleh dibuat. Pennagguhan kes yang mengambil masa yang lama juga membawa kepada masalah dalam bantuan guaman kerana peguam Biro sentiasa bertukar.

4. Beban pembuktian

Masalah mengenai beban pembuktian untuk menujukkan pendapatan dan kemampuan suami yang kerja sendiri juga dikemukakan. Terdapat suami yang memberi keterangan bahawa dia tidak ada harta walaupun dia sebenarnya memindah milik harta kepada keluarganya selepas tuntutan harta sepencarian dibuat. Terlalu banyak peluang dalam segenap sudut dikatakan diberikan kepada pihak lelaki, menyebabkan keputusan yang patut senang diperolehi mengambil masa yang begitu panjang, walaupun jelas kemampuan suami untuk memberi apa yang dituntut oleh isteri.

5. Masalah penguatkuasaan

Masalah mengenai penguatkuasaan pula ialah kurang ketegasan dalam mengeluarkan waran tangkap ke atas suami yang enggan menurut perintah mahkamah. Terdapat juga kes di mana walaupun waran tangkap dikeluarkan oleh mahkamah, ia tidak berkesan dan gagal menangani masalah suami yang melanggar perintah pihak mahkamah..

III. Jagaan, lawatan dan nafkah anak

Berbagai masalah dan kemusykilan disuarakan oleh pihak ibu tunggal mengenai soal berkaitan dengan jagaa, lawatan dan nafkah anak.

1. Hak jagaan

Ada wanita yang mengatakan persetujuannya untuk memberi hak jagaan anak kepada suami diperolehi semasa isteri dalam keadaan tertekan, hak lawatan ibu pula terlalu suntuk, dan fail baru perlu dibuka untuk meminta hak bemalamam. Ada kes yang ditangguhkan hingga hingga mengambil masa bertahun-tahun, akibatnya hubungan anak dan ibu menjadi renggang, dan anak tidak rapat atau mahu mengikut ibu lagi.

2. Hak lawatan

Ada juga wanita yang menyatakan mengalami kederitaan mental apabila anak-anak diambil oleh bapa yang menuduh ibu tidak layak menjaga anak kerana nusyuz. Terdapat suatu kes di mana mahkamah mengeluarkan perintah tegahan ex parte menghalang ibu melawat anak semasa dalam proses kes perceraian. Pihak suami telah meminta dan mendapatkan perintah ex-parte (satu pihak) di mahkamah dan pihak isteri langsung tidak tahu menahu tentang hal tersebut pada ketika itu. Masalah ini menjadi lebih berat lagi kerana biasanya perintah ex parte terus berkuatkuasa sehingga mahkamah menyelesaikan segala tuntutan yang berkaitan dalam kes itu. Terdapat juga kes di mana mahkamah memberi hak lawatan kepada ibu, tetapi bapa tidak membenarkan ibu melawat anak.
Dalam kes anak di dalam jagaan ibu, dia dituduh menghina mahkamah kerana dikatakan tidak membenar bapa melawat anak padahal bapa yang dahulunya tidak berminat melawat anak dan tidak pernah membayar nafkah anak.

3. Nafkah anak

i. Bapa tidak membayar nafkah

Ada bapa yang dikatakan langsung tidak membayar nafkah anak, misalnya kes di mana perintah interim nafkah ditarik balik apabila bapa kata dia tidak mampu membayar nafkah tersebut, tanpa digantikan dengan peintah interim lain kalaupun jumlah hendak dikurangkan atas permohonan bapa. Ibu yang mendapat jagaan anak juga terpaksa membuka fail baru untuk tuntutan nafkah anak. Tuntutan nafkah anak tertangguh dengan begitu lama dan disebabkan lambatnya proses perbicaraan menyebabkan ibu tidak lagi mengambil kisah untuk meneruskan tuntutan.
ii. Jumlah nafkah tidak mencukupi
Terdapat keadaan di mana walaupun bapa membayar nafkah anak, jumlah itu dikatakan tidak mencukupi kerana tidak mendapat jumlah yang berpatutan untuk nafkah anak-anak, mahkamah hanya meluluskan jumlah nafkah yang dicadangkan oleh bapa tanpa cuba campurtangan untuk menjaga kebajikan anak, wang nafkah yang ditetapkan terlalu sedikit dan tidak cukup untuk pembiayaan anak, dan jumlah yang dibenarkan terlalu rendah berbanding dengan jumlah yang dituntut.

4. Masalah penguatkuasaan


Penguatkuasaan perintah nafkah dikatakan suatu masalah besar apabila bapa tidak bertanggungjawab. Ada kes di mana walaupun hakim menambah jumlah nafkah apabila ibu membuat permohonan nafkah anak, penguatkuasaannya tidak tegas dan bapa ingkar kepada perintah mahkamah. Terdapat kemusykilan mengapa tindakan tidak diambil walupun ibu membuat aduan bapa tidak membayar nafkah. Penguatkusaan tunggakkan nafkah anak juga tidak tegas walaupun bapa telah banyak kali tidak bayar nafkah bertahun-tahun. Pihak ibu terpaksa bersusah payah untuk berulang alik ke mahkamah untuk proses penguatkusaaan. Walaupun waran tangkap dikeluarkan, bapa pernah dapat melepaskan diri dengan membuat pembayaran nafkah separuh sahaja.

IV. Khidmat Guaman dan Pembelaan Diri

1. Masalah fee guaman

Telah didapati bahawa ramai para wanita tidak mampu membayar yuran peguam dan juga terdapat perbezaan besar di antara yuran yang dikenakan oleh peguam-peguam kerana bayaran tidak ditetapkan di antara satu peguam dan peguam yang lain.

Biasanya apa yang berlaku apabila kes cuba dikemukakan di mahkamah ialah pihak isteri akan menghadapi masalah dalam pembayaran fee guaman, kerana isteri kurang mampu dan bayaran yang dikenakan agak tinggi dan membebankan. Ini berpunca kerana:

· Tiada peraturan -- tidak ada badan yang menetapkan bayaran yuran yang disyorkan.

· Tiada skala ditetapkan -- tiada skala tetap yang dapat menentukan jumlah bayaran yang berpatutan dengan kemampuan para wanita.

2. Biro Bantuan Guaman

Biro Bantuan Guaman pula kurang kakitangan dan terlalu banyak kes dikendalikan oleh pihak Biro menyebabkan pihak yang mengguna khidmat Biro terpaksa menunngu masa yang lama sebelum kes dikemukakan di mahkamah.

3. Pembelaan Diri

Akibat daripada kurang kemampuan pihak isteri untuk memperolehi khidmat peguam, dan kekurangan kakitangan Biro Bantuan Guaman, ada di antara isteri yang membela diri sendiri di mahkamah. Pihak hakim mendapati hal ini melengahkan lagi proses perbicaraan kerana para wanita itu kurang memahami sepenuhnya bahawa undang-undang, kurang berpengetahuan mengenai prosedur mahkamah dan ini biasanya mengakibatkan penangguhan kes. Misalnya dalam suatu kes pihak isteri membuat permohonan perceraian di bawah seksyen 47 yang memerlukan persetujuan suami, dan tidak faham yang dia sepatutnya membuat permohonan untuk cerai fasakh. Wanita yang tidak mampu peguam dan tidak memahami proses mahkamah mugkin menyerah bulat-bulat kepada hakim untuk menyelesaikan kesnya.

V. Pentadbiran dan Proses di Jabatan Agama dan Mahkamah

1. Peringkat Jabatan dan Peringkat Mahkamah

Proses perceraian atas permohonan pihak isteri memakan masa yang lama dari masa aduan mula dibuat dan perbicaraan kes, dan oleh kerana banyak peringkat yang dilalui di bawah permohonan tersebut, terdapat juga kekeliruan di kalangan para wnita mengenai peringkat jabatan dan peringkat mahkamah, misalnya mengenai peringkat sesi kaunseling. Masalah kelewatan kes menjadi lebih ketara lagi kerana tiada had masa ditetapkan bagi tempoh kaunseling dan prosedur seterusnya dalam proses perceraian

2. Kekurangan kakitangan


Masalah kekurangan bilangan kakitangan Mahkamah Syariah adalah ketara apabila dibandingkan dengan kes yang makin bertambah setiap hari. Misalnya, bailif amat diperlukan kerana pendaftar juga dibebani dengan tugas bailif. Adakalanya pendaftar tiada di mahkmah dan jika seseorang ke mahkamah untuk mendapatkan pengesahan pendaftar bagi suatu afidavit, orang itu terpaksa berulang-alik ke mahkamah semata-mata untuk dokumen tersebut.

C. SYOR DAN CADANGAN

I. Perceraian

1. Perjanjian Ta’liq

Perjanjian Ta’liq perlu digubal semula demi menjaga kebajikan wanita. Di samping syarat-syarat asas yang dimasukkan dalam borang perjanjian ta’liq, syarat-syarat tambahan yang boleh dimasukkan atas pilihan pasangan-pasangan individu patutlah juga disediakan.

2. Bukti Perceraian Ta’liq


Jika suami telah melanggar perjanjian Ta’liq yang dibuat, maka apabila isteri menuntut Cerai Ta’liq tiada sebab mengapa pihak mahkamah masih membicarakan kes tersebut. Sepatutnya, hukuman dijatuhkan dan kes diselesaikan dengan secepat yang mungkin. Untuk perceraian Ta’liq, sepatutnya memadai dengan ada saksi yang menyatakan perjanjian ta’liq telah dilanggar, tidak perlu membawa banyak sangat bukti dan perbicaraan yang panjang kerana ia hanya membuang masa dan tenaga. Bukti dalam bentuk sumpah oleh pihak isteri dan dua orang saksi patutlah diterima sebagai mencukupi untuk menjatuhkan cerai Ta’liq.

3. Tuduhan nusyuz

Pihak mahkamah menyebelahi lelaki -- mahkamah sepatutnya lebih teliti dalam sesuatu kes dan tidak menerima pernyataan suami secara menyeluruh, contohnya, dalam soal nusyuz, hakim tidak patut menerima apa sahaja tuduhan yang lemparkan oleh pihak suami -- berkemungkinan isteri bertindak sedemikian atas alasan yang kukuh. Sikap prasangka terhadap wanita dalam soal nusyuz di mana nusyuz diberatkan ke atas wanita dan tidak pula kepada lelaki patutlah dihapuskan. Pendekatan tersebut perlulah diubah. Al-Qur’an ada menyebut nusyuz di dalam konteks suami dan isteri tetapi di dalam undang-undang keluarga Islam di Negeri Selangor, nusyuz hanya wujud untuk pihak isteri sahaja.

4. Perceraian oleh suami di luar mahkamah


Sebahagian besar perceraian atas kehendak suami berlaku di luar mahkamah. Denda RM1000 bukanlah suatu pencegahan bagi perceraian yang berlaku di luar mahkamah kerana boleh dibayar dengan mudah oleh para pesalah. Keperluan kebenaran dari mahkamah untuk berpoligami juga bukanlah suatu pencegahan untuk pihak lelaki yang berniat untuk berpoligami, dan poligami yang tidak bertanggungjawab merupakan suatu punca utama masalah keruntuhan rumahtangga. Cara pencegahan yang lebih berkesan, seperti mengenakan hukuman penjara mandatori, diperlukan bagi menghalang poligami tanpa kebenaran mahkamah dan perceraian di luar mahkamah.

5. Keganasan suami

Dalam kes yang melibatkan keganasan suami terhadap isteri, mahkamah perlu membenarkan perceraian seberapa cepat yang boleh kerana nyawa isteri terancam jika masih bersama suami.

II. Nafkah Isteri, Mut’ah dan Harta Sepencarian


1. Menunggu proses perceraian

Dicadangkan supaya kaveat (bagi hartanah) dan perintah tegahan (bagi harta lain) untuk melindungi kepentingan isteri dan menghalang suami daripada memindahmilik harta benda semasa menunggu penyelesaian proses perceraian.

2. Tuntutan berasingan dan pencatuman tuntutan

Tuntutan-tuntutan tunggakan nafkah isteri, nafkah iddah, mut'ah dan harta sepencarian – tuntutan yang jumlahnya tidak melebihi RM100,000 mungkin lebih baik dicantumkan tetapi jumlah yang melebihi RM100,000 mungkin lebih baik diasingkan kerana bidangkuasanya di Mahkamah Tinggi Syariah. Dicadangkan supaya isteri diberi pilihan sama ada hendak mengasingkan atau mencaantumkan tuntutan.

3. Nafkah isteri dan nafkah iddah


i. Nafkah isteri

Tunggakan nafkah isteri yang tidak dibayar semasa perkahwinan perlu ditekankan.. Dicadangkan diadakan ukuran untuk tunggakan nafkah isteri pada skala tidak kurang daripada kadar satu pertiga (1/3) pendapatan suami.

ii. Nafkah iddah


Nafkah iddah hanya untuk tempoh 3 bulan 10 hari sahaja Bagi nafkah iddah, hukum syara memerintahkan supaya isteri dalam tempoh iddah sepatutnya masih menikmati taraf hidup yang sama seperti dam tempoh perkahwinan. Oleh kerana pada hakikatnya, isteri mengalami perbelanjaan yang lebih dalam tempoh iddah kerana perlu mencari tempat tinggal baru, dan nafkah iddah hanyalah untuk tempoh yang terhad, dicadangkan supaya skala nafkah iddah lebih tinggi daripada skala tunggakan nafkah isteri, iaitu pada kadar tidak kurang daripada separuh (1/2) pendapatan suami.

4. Mut’ah


i. Mas kahwin dan hantaran

Tiada ukuran maksimum tetapi sepatutnya ada ukuran minimum tidak kurang daripada mas kahwin dan hantaran. Sebaliknya, bayaran kepada suami dalam cerai khulu’ sepatutnya tidak melebihi jumlah maskahwin dan hantaran.

ii. Kemampuan suami dan tempoh perkahwinan

Kemampuan pihak suami suatu faktor utama untuk menentukan jumlah mut’ah. Di samping itu, tempoh perkahwinan juga patut diambil kira dalam menentukan jumlah mut’ah. Di Singapura dan Iran, mut’ah adalah berasaskan tempoh perkahwinan. Di Mesir juga, tempoh perkahwinan merupakan suatu faktor yang

Copyright | Privacy Policy | Contact Us | Sitemap