Promoting an understanding of Islam that recognises the principles of
justice, equality, freedom, and dignity within a democratic nation state

Cadangan Pembaharuan Sementara (Interim Reform) Rang Undang-Undang Keluarga Islam (Pindaan) (Wilayah Perseketuan) 2005
email to someone printer friendly

[html] OLEH JOINT ACTION GROUP ON GENDER EQUALITY (JAG)
PERKARA ULASAN SYOR
1. TAFSIRAN Seksyen 2 "Hukum Syarak" ertinya Hukum Syarak mengikut Mazhab Shafie atau mengikut mana-mana satu mazhab Maliki, Hanafi atau Hambali. Penekanan semula kepada Mazhab Shafie akan menyebabkan kesempitan dari segi tafsiran. Di Malaysia, Akta dan amalan yang ada kini tidak hanya menurut kepada Mazhab Shafie. Sebagai contoh: 1. dasar perceraian fasakh adalah berdasarkan Mazhab Maliki; 2. keperluan umur minima (16 tahun bagi perempuan dan 18 tahun bagi lelaki bagi Akta Keluarga Islam di Wilayah Persekutuan) untuk berkahwin adalah mendorong kepada Mazhab Hanafi; 3. pembayaran zakat fitrah dengan menggunakan wang adalah berdasarkan Mazhab Hanafi (Mazhab Shafie mesti menggunakan beras atau makanan asas). Ini bermakna bahawa Malaysia menerima pakai pendirian mazhab yang lain selagi ia tidak menyimpang dari akidah. Penekanan kepada mazhab Shafie akan menyekat perkembangan syariah dan perundangan di negara kita. Tafsiran sedia ada telahpun menyatakan Hukum Syarak sebagai mana-mana mazhab yang diiktiraf. Cadangan kami untuk merujuk kepada prinsip maslahah dan keadilan akan menjelaskan asas mengenai penerimaan kaedah yang terbaik. Adalah diterima sebagai kaedah syariah (siyasah shar'iyyah) bahawa Mahkamah Syariah boleh merujuk kepada 4 Mazhab yang utama dan menerima pakai prinsip yang terbaik berdasarkan maslahah (kepentingan awam) dan keadilan. Tafsiran Hukum Syarak di Seksyen 2 dipinda semula kepada peruntukan 1984, dengan tambahan prinsip: 'Hukum Syarak' ertinya mana-mana mazhab yang diiktiraf dengan mengikut kaedah yang terbaik berpandukan prinsip maslahah dan keadilan. In several states, including Selangor and Penang, equal recognition was given in the 1984 law to all the major schools, Syafie, Hanafi, Maliki, Hanbali and Syiah (Zaidiyyah and Jaafariyah).
2. TA'LIQ LAIN Tiada penjelasan di dalam akta mengenai ta'liq lain walaupun ia dinyatakan dalam Seksyen 22. Undang-undang haruslah menerima pakai dan mengiktiraf apa-apa perjanjian ta'liq lain yang dipersetujui oleh pasangan. Surah al-Maidah 5:1 'Hai orang-orang yang beriman, penuhilah aqad-aqad (perjanjian) itu'. Surah al-Isra' 17:34 'Sesungguhnya janji itu pasti di minta pertanggungan jawabnya'. Hadith Rasulullah (saw) yang diriwayatkan oleh Uqba b. Amir (r.a.), 'Syarat yang paling patut dipenuhi olehmu ialah yang menjadikan persetubuhan (dengan isterimu) halal (untukmu)'. Hadith ini menunjukkan penerimaan syarat perkahwinan. Keingkaran syarat perjanjian haruslah boleh digunakan dan diterima oleh Mahkamah kerana pihak-pihak di dalam perjanjian tersebut faham mengenai syarat perjanjian. Paksaan tidak wujud . Kami juga ingin menyarankan agar Mahkamah Syariah dan kerajaan mengiktiraf hak seorang wanita untuk meletakkan syarat melarang suami untuk berpoligami selagi wujud perkahwinan. Syarat ini adalah tidak melanggar hukum syarak. Suami arif mengenai syarat ini sebelum berkahwin dan telah bersetuju tanpa paksaan. Isteri tidak melarang suami berkahwin lagi (dibolehkan oleh hukum syarak) tetapi isteri tidak mahu berada di dalam perkahwinan berpoligami. Jika bakal suami tidak bersetuju dia bolehlah menolak syarat itu sebelum akad nikah dan terpulanglah kepada pihak perempuan itu pula sama ada masih hendak berkahwin dengan lelaki tersebut. Oleh itu jika suami telah bersetuju, persetujuannya hendaklah diiktiraf oleh Mahkamah (seperti yang dituntut oleh surah al-Maidah dan surah al-Isra'). Terdapat hadis Rasulullah yang tidak membenarkan Saidina Ali untuk berkahwin lain 'melainkan jika Ali menceraikan anak perempuanku (Fatimah), kerana anakku itu sebahagian daripadaku, dan apa yang menyedihkan dan menggusarkannya menyedihkan dan menggusarkanku juga, dan apa-apa kesusahan yang menimpanya juga dirasakan olehku.' (Sunan Ibn Majah) Perjanjian yang melarang suami berpoligami dan hak isteri membantah dan menuntut cerai telah dipraktikkan oleh cicit Rasulullah (cucu kepada Fatimah dan Ali, anak kepada Husayn) yang bernama Sukayna. Perjanjian berbentuk ini adalah juga dibenarkan oleh Mazhab Hanbali dan diterimapakai di beberapa Negara Islam lain, termasuk mereka yang bukan pengikut Mazhab Hanbali. Dipraktikkan di Mesir, Jordan, Lebanon, Maghribi, Sudan - mengakui hak isteri bagi mensyaratkan haknya untuk bercerai sekiranya suami berkahwin lagi. Kebebasan untuk menetapkan syarat tambahan dibenarkan di Yemen, Syria dan Arab Saudi. Dimasukkan tafsiran 'ta'liq lain' dalam Seksyen 2: “Ta’liq lain” ertinya syarat-syarat atau terma-terma tambahan yang dipersetujui atas pilihan pihak-pihak yang berkahwin itu. Borang ta’liq patutlah mengadakan pilihan untuk syarat tambahan termasuk isteri berhak menuntut ta’liq sekiranya suami kahwin lain.
3. POLIGAMI i. Seksyen 23 (3) dan (4) (a): ''patut atau perlu'. ii. Seksyen 23 (4) (d) iii. Seksyen 23 (4) (e) iv. Seksyen 23 (1A) Tiada perkahwinan yang diakadnikahkan tanpa kebenaran di bawah subseksyen (1) boleh didaftarkan di bawah Akta ini melainkan jika Mahkamah berpuas hati bahawa perkahwinan sedemikian adalah sah mengikut Hukum Syarak dan Mahkamah telah memerintahkan supaya perkahwinan itu didaftarkan tertakluk kepada Sek 123. v. Seksyen 124Poligami tanpa kebenaran Mahkamah Penaltinya masih sama dengan penalti dalam Akta 1984 – denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya. Perlulah dijelaskan pentingnya syarat keadilan dalam perkahwinan poligami. Syarat keadilan selaras dengan hukum syara’ berdasarkan bahagian Surah ab-Nisa’ 4 : 3 yang menegaskan “jika khuatir tidak dapat berlaku adil (kepada isteri-isteri), maka kahwinlah seorang (isteri) sahaja”. Keadilan merangkumi berbagai aspek kepatutan dan keperluan, dari segi kewangan dan emosi. Adalah sukar bagi perundangan untuk menyenggarakan aspek emosi, tetapi sekurang-kurangnya ia patutlah melindungi aspek taraf kehidupan dari segi kewangan. Perkahwinan poligami yang dicadangkan haruslah patut, perlu, DAN ADIL. Pindaan RUU kepada “patut atau perlu” telah melonggarkan syarat berpoligami. Pindaan ini nampaknya sengaja hendak menolak dan mengetepikan penghakiman Jawatankuasa Rayuan Syariah Selangor dalam kes Aishah v. Wan Mohd Yusof (1990) 7 JH 152. yang telah menekankan bahawa kesemua syarat di bawah subseksyen ini sama pentingnya dan hendaklah dibuktikan berasingan. Pihak suami telah memberi alasan untuk berpoligami bagi maksud menghalalkan pertalian kasih sayangnya dengan perempuan yang berkenaan. Jawatankuasa Rayuan Syariah berpendapat bahawa walaupun alasan ini mungkin mencukupi untuk memenuhi syarat “keperluan” untuk berpoligami, tetapi ianya tidak ada kena-mengena dengan soal “kepatutan”. Jawatankuasa itu menegaskan bahawa sebagai seorang Islam, dia patut boleh mengawal nafsunya dan mengelakkan diri dari melakukan zina dan perkara maksiat. Permohonannya ditolak. Tafsiran darar syari’i hendaklah meliputi darar kepada isteri yang tidak sanggup hidup dalam perkahwinan berpoligami. Syarat dalam perenggan 23 (4) (e) telah di gugurkan dalam pindaan tahun 1994. Syarat mesti dimasukkan semula bagi membantu menjamin keadilan kepada pihak isteri dan anak-anak sedia ada. Seksyen ini membenarkan pendaftaran perkahwinan poligami yang diakadnikahkan tanpa kebenaran -- adalah sama dengan peruntukan yang dimasukkan oleh Akta Pindaan tahun 1994. Pihak kami telah mengemukakan bantahan terhadap peruntukan ini dalam memorandum tahun 1996. · Pada hakikatnya, penalti yang terdapat dalam RUU telah tidak berjaya mencegah suami yang curang daripada mengambil kesempatan kelonggaran undang-undang dan berpoligami tanpa kebenaran Mahkamah. Ini juga mengambil kira keadaan masyarakat pada masa ini di mana denda yang tidak melebihi satu ribu ringgit boleh dibayar oleh kebanyakan anggota masyarakat. Kami juga mendapati bahawa Mahkamah Syariah amat kurang menggunakan peruntukan penjara yang dibolehkan oleh Akta. Penggunaan hukuman secara penjara boleh menjadi penghalang (deterrent) bagi pihak-pihak yang mahu melanggar undang-undang. Keadaan begini bukan sahaja menjejaskan kedudukan wanita tetapi juga menjejaskan kewibawaan Mahkamah kerana Mahkamah seolah-olah tidak dihormati. Penalti mesti di naikkan supaya boleh menjadi penghalang. Penalti juga patut dikenakan kepada pihak-pihak yang membantu dan bersubahat mengenai perkahwinan poligami yang melannggar undang-undang. Pada hakikatnya, lebih banyak perkahwinan poligami dilakukan secara melanggar undang-undang tanpa kebenaran mahkamah. Oleh itu, patutlah diadakan hukuman yang berkesan (deterrent) bagi mereka yang membantu dan bersubahat menghina undang-undang itu. i. Seksyen 23 (3) dan 23(4)(a) dipinda ke: 'patut, perlu dan adil’ ii. Mahkamah hendaklah memberi pilihan sama ada suami menarik balik permohonan untuk poligami atau memberi isteri pilihan untuk bercerai. Jika diambil pilihan untuk bercerai hak-hak kewangan isteri, termasuk nafkah iddah, muta’ah dan harta sepencarian hendaklah terjamin. iii. Dimasukan syarat (e) iaitu: “bahawa perkahwinan poligami yang dicadangkan itu tidak akan merendahkan secara langsung atau tidak langsung taraf kehidupan yang dinikmati oleh isteri dan orang-orang tanggungan yang sedia ada.” iv. Sama ada: · peruntukan ini digugurkan dan dipinda semula kepada peruntukan asal dalam Akta tahun 1984; atau · peruntukan tambahan dimasukkan bagi melindungi kepentingan isteri sedia ada. Isteri sedia ada yang suaminya berkahwin tanpa kebenaran patutlah diberi pilihan sama ada untuk menuntut cerai.atau tidak. Jika dia menuntut cerai hak-hak kewangannya, termasuk nafkah iddah, muta’ah, dan harta sepencarian hendaklah dijamin. Jika dia tidak menuntut cerai, hak-hak kewangannya termasuk memperolehi nafkah berkala yang mencukupi, dan pembahagian harta hendaklah dijamin. v. Supaya penalti satu ribu ringgit digantikan dengan penalti lebih berat yang boleh dikenakan oleh Mahkamah Syariah, iaitu seperti berikut: “denda mandatori lima ribu ringgit, serta penjara mandatori yang tidak kurang daripada satu tahun dan tidak lebih daripada tiga tahun. Mahkamah patutlah boleh menghukum mereka yang membantu dan bersubahat dengan pasangan yang melakukan perkahwinan poligami yang melanggar undang-undang. Ini termasuklah orang yang melakukan akadnikah, yang megeluarkan sijil kahwin, dan saksi-saksi.
4.PERLINDUNGAN KEADILAN KEWANGAN i. Sek 23(9)(b) memperuntukkan bahawa di dalam permohonan perkahwinan poligami, Mahkamah mempunyai kuasa atas permohonan mana-mana pihak kepada perkahwinan untuk memerintahkan apa-apa aset di dalam perkahwinan dibahagi antara mereka atau dijual dan hasil jualan itu dibahagikan. Adalah amat tidak adil jika isteri sedia ada mengahwini suami dan bertungkus-lumus bersama suaminya semasa suami tidak berharta, dan apabila suami menjadi kaya, suami hendak berkahwin lain pula. Sekiranya isteri boleh menuntut untuk diberikan sebahagian harta yang dikumpul oleh suami dalam tempoh perkahwinan sebelum berkahwin lain, ini bolehlah mengurangkan ketidakadilan dari segi kewangan. Ia bertujuan memastikan isteri sedia ada tidak mengalami darar syarie. Pada masa yang sama, kesempatan tidaklah boleh diberi kepada suami untuk membuat tuntuan ke atas isteri semasa hendak berpoligami, kerana tindakan berpolgiami adalah atas kehendak dan pilihan suami. Al-Qur’an juga amat melindungi kepentingan isteri yang suaminya hendak berkahwin lain, misalnya Suran an-Nisa 4 : 20 menegaskan: “Dan jika kamu ingin mengganti isterimu dengan isteri yang lain, sedang kamu telah memberikan kepadanya harta yang banyak (qintaran), maka jangan kamu mengambil kembali daripadanya barang sedikitpun. Apakah kamu akan mengambilnya kembali dengan jalan tindakan yang dusta dan dengan (menanggung) dosa yang nyata?” i. dengan menggantikan subseksyen (9) dengan yang berikut: “(9) Bagi maksud melindungi kepentingan keadilan dari segi kewangan bagi isteri sedia ada dan anak-anak, jika ada, Mahkamah hendaklah mempunyai kuasa, apabila memberi kebenaran untuk pihak suami berpoligami di bawah seksyen ini, atau atas permohonan seseorang isteri sedia ada yang suaminya berkahwin lain dengan melanggar peruntukan seksyen ini, untuk membuat mana-mana atau kesemua perintah yang berikut: (a) untuk menghendaki seseorang lelaki membuat pembayaran nafkah berkala kepada isteri atau isteri-isteri sedia ada dan anak-anaknya, jika ada, dan boleh mengeluarkan perintah potongan gaji atau apa-apa perintah lain mengenai perkiraan cagaran harta atau pendapatan untuk melaksanakan perintah nafkah tersebut; (b) untuk memerintahkan supaya apa-apa aset yang didaftarkan dalam nama suami, yang diperolehi dalam masa perkahwinan mereka sebelum perkahwinan baru pihak suami, diberikan sebahagiannya kepada pihak isteri atau isteri-isteri sedia ada, sebagai mengiktiraf usaha sumbangan isteri secara langsung atau tidak langsung selama tempoh perkahwinan mereka sebelum perkahwinan baru suami.
5.HARTA SEPENCARIAN i. Seksyen 122 Bahasa yang digunakan dalam pembahagian harta sepencarian ialah bahasa yang tidak mengira jantina (gender neutral language), iaitu mana-mana “pihak” dalam perkahwinan dan tidak disebut pihak “isteri’ atau pihak “suami”. · Dalam rangkabentuk UUKI masakini yang mengiktiraf hak-hak tradisional kaum lelaki (poligami, talaq, wali, pusaka), adalah tidak adil mengguna bahasa “gender neutral” (tidak mengira jantina) bagi harta sepencarian. Adalah menjadi tanggungjawab suami untuk menyara kehidupan isteri dan anak-anak, dan bukan tanggungjawab isteri untuk menyara kehidupan suami atau anak-anak. Tidak adil kini apabila tanggungjawab tradisional lelaki dikurangkan tetapi ditambah dengan hak moden (hak sama rata ke atas tuntutan harta sepencarian daripada isteri). Hak mutlak wanita Islam ke atas hartanya dan tanggungjawab/kewajipan lelaki Islam berkongsi hartanya bagi saraan anak, isteri dan keluarganya adalah juga berkait dengan hak lelaki mendapat dua kali ganda bahagian harta pusaka. Menurut undang-undang tradisional, suami tidak berhak untuk menuntut nafkah dari isteri dan tiada hak ke atas harta isterinya. Harta yang telah diberikan oleh suami kepada isteri juga tidak boleh diambil balik, (kecuali dalam perceraian khul’ di mana isteri bersetuju membayar pampasan kepada suami), sebagaimana dinyatakan dalam Surah al-Baqarah 2 : 229: “tidak halal bagi kamu (suami) mengambil kembali dari sesuatu yang telah kamu berikan kepada mereka (isteri)”. Tujuan asal konsep harta sepencarian dan upah (ujrah) dalam undang-undang adat Melayu adalah untuk melindungi kepentingan isteri. Kini konsep pemberian harta sepencarian bukan sahaja menjadi adat orang Melayu, tetapi mula diterimapakai di negara Islam lain dan juga oleh undang-undang sivil. · Di situasi dimana harta suami-isteri telah bercampur (dalam situasi masakini didaftarkan atas nama bersama) Kitab Al-Umm oleh Imam Shafie (jilid 10), Kitab Burghiatul Mustarshidin, Kitab Ianatu-al-Talibin, Kitab al-Bajuri yang mana menyebut jika harta-harta suami isteri telah bercampur dan tiada persetujuan mengenai hak masing-masing maka kedua hendaklah mengangkat sumpah dan harta akan dibahagikan sama banyak · Mengiktiraf sumbangan isteri sebagai teman suami dan ibu, serta kehilangan peluang ekonominya dalam kerjaya Kitab al-Majmu menyatakan bahawa tidak wajib ke atas isteri untuk berkhidmat kepada suami dengan memasak, membasuh dan lain-lain …. oleh itu apabila isteri sebenarnya membantu suami di dalam mengurus rumahtangga … dan menemaninya di dalam kehidupan … dan suami dibolehkan memperoleh harta dengan usahanya, isteri sebenarnya telah menyumbang dengan cara tidak langsung kepada perolehan harta tersebut. Kitab ini telah dirujuk oleh Jawatankuasa Ulangbicara Syariah Wilayah Persekutuan di dalam kes Rokiah lawan Mohd Idris (1989) 7 JH 111. Bagi isteri yang tidak bekerja atau tidak bekerja sepenuh masa, dia telah kehilangan atau kekurangan peluang mencari pendapatan sendiri atau memajukan kerjayanya. Kehilangan atau kekurangan peluang ekonomi (economic value) ini perlulah diberi pampasan. Undang-undang tradisional berbagai masyarakat, termasuk di Barat, memanglah mengutamakan hak pihak lelaki, tetapi telah berubah pada masakini dengan kecenderungan ke arah kesamarataan. Bahasa tidak mengira jantina dalam harta sepencarian UUKI yang digunakan adalah sama dengan peruntukan pembahagian aset perkahwinan di bawah undang-undang sivil dalam Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 bagi penganut agama lain. Tetapi ini tidak adil dan mempunyai kesan diskriminasi ke atas perempuan Islam kerana di dalam UUKI tidak terdapat kesamarataan hak di antara pihak lelaki dan perempuan. Di bawah undang-undang keluarga sivil, terdapat kesamarataan hak. Misalnya perkahwinan monogami, proses perceraian tidak mengira jantina (gender neutral), dan pembahagian harta pusaka sama banyak. Maka pembahagian aset perkahwinan yang tidak mengira jantina adalah adil bagi mereka. SIS menerima banyak aduan daripada pihak wanita Islam yang mengatakan mereka telah terpaksa bersetuju melepaskan tuntutan mereka mengenai harta sepencarian dan muta’ah agar mendapat persetujuan suami untuk perceraian. Malah terdapat juga aduan mengenai suami yang mengugut hendak membuat tuntutan harta sepencarian terhadap harta yang sebenarnya harta isteri sekiranya isteri tidak mengikut kehendaknya mengenai terma-terma perceraian itu. Pihak isteri Islam berada dalam kedudukan tawar-menawar yang lebih lemah mengenai terma-terma perceraian kerana proses perceraian mengutamakan suami, tetapi pembahagian harta sepencarian pula tidak lagi mengutamakan isteri tetapi meletakkan suami isteri atas kedudukan yang sama. Ketidakadilan ini bertimpal lagi kerana suami berhak berpoligami dan dapat berumah tangga dengan perempuan lain, tetapi isteri sedia ada gantung tidak bertali. i. Dengan memasukkan subseksyen baru (6) yang berikut: “(6) Bagi mengelakkan keraguan, adalah dinyatakan bahawa – (a)oleh kerana ia merupakan kewajipan suami di bawah hukum syara’ untuk menyara nafkah isteri dan anak-anak, apa-apa peruntukan atau sumbangan kewangan yang dibuat oleh suami untuk saraan belanja rumahtangga tidaklah boleh dikira sebagai sumbangan kewangan bagi aset yang diperolehi oleh usaha pihak isteri, tetapi (b)oleh kerana ia bukanlah kewajipan isteri di bawah hukum syara’ untuk menyara nafkah suami atau anak-anak, apa-apa peruntukan atau sumbangan kewangan yang dibuat oleh pihak isteri untuk saraan belanja rumahtangga hendaklah dikira sebagai sumbangan kewangan bagi aset yang diperolehi oleh usaha pihak suami.” ii. Dengan memasukkan subseksyen baru (2A) yang berikut: “(2A) Bagi mengelakkan keraguan, adalah dinyatakan bahawa apa-apa aset yang didaftarkan dalam nama bersama suami isteri hendaklah dianggap sebagai harta sepencarian yang hendaklah dibahagi sama banyak di antara mereka.” iii. Supaya ditambah peruntukan baru sebagai Seksyen 122 (7) yang berikut: “(7) Berkenaan dengan harta sepencarian di antara suami isteri: (a) apa-apa aset yang didaftarkan atas nama suami yang diperolehinya dalam tempoh perkahwinan hendaklah dianggap sebagai harta sepencarian di mana pembahagiannya adalah dua pertiga kepada pihak suami dan satu pertiga kepada pihak isteri kecuali jika -- (i) suami itu membuktikan bahawa aset itu adalah hartanya sendiri; atau bahawa isteri patut diberi bahagian yang kurang daripada satu pertiga; atau (ii) isteri itu membuktikan bahawa dia patut diberi bahagian yang lebih daripada satu pertiga; (b) apa-apa aset yang didaftarkan atas nama pihak isteri, walaupun diperolehinya dalam tempoh perkahwinan, hendaklah dianggap sebagai hartanya sendiri kecuali jika pihak suami membuktikan bahawa aset itu adalah harta sepencarian di mana suami itu patut diberi bahagian yang tidak lebih daripada satu pertiga.”
6.PERINTAH LARANGAN Seksyen 107A Seksyen baru ini membolehkan Mahkamah membuat suatu perintah melarang isteri daripada melupuskan asetnya, secara usaha bersama atau usaha satu pihak semata-mata. Seperti ulasan di atas, bahasa “gender neutral” (tidak mengira jantina) yang digunakan membawa kesan diskriminasi terhadap wanita. Hak baru yang diberi kepada suami ini akan lebih lagi menguatkan kuasa lelaki dalam tawar-menawar (bargaining position). Sisters in Islam sudah pun menerima beberapa email dari para isteri yang berkahwin dengan lelaki yang tidak bertanggung jawab. Kerana tidak dapat bergantung kepada suami, mereka sudah mengumpul harta untuk masa depan mereka dan anak-anak. Sekarang, mereka merasa takut dan cemas bahawa suami mereka boleh mendapat perintah melarang mereka daripada melupuskan aset mereka untuk menuntut harta sepencarian. Kekhuatiran ini lebih lagi kerana pengalaman sahabat dan keluarga dengan mahkamah syariah yang dianggap menyebelah pihak lelaki. Sisters in Islam sudahpun menerima dua aduan dalam beberapa minggu ini sebagai kesan daripada peruntukan ini. Di Johor, seorang suami berjaya mendapat perintah ex-parte membekukan akaun-akaun simpanan yang didaftarkan atas nama isteri nya seorang sahaja. Sudah 15 bulan berlepas, dan Puan Zaidah Abdul Rahman masih tidak dapat mengenepikan perintah ex-parte tersebut. Sebaliknya, bekas suaminya dalam masa dua minggu berjaya mengenepikan perintah larangan yang diperolehi oleh Puan Zaidah terhadap dua akaun simpanan utamanya. Hakim yang mendengar kes ini juga dituduh sebagai berat sebelah kerana menurun tanda tangannya sebagai saksi kepada affidavit bekas suami Puan Zaidah. Di Selangor pula, seorang isteri yang sedang menerusi kes perceraian gagal dalam permohonannya untuk mendapat perintah larangan keatas harta suami nya kerana Hakim berkata tidak cukup bukti yang kukuh untuk dia menuntut harta sepencarian. Tetapi Hakim ini telah memberi suaminya perintah melarang si isteri daripada melupuskan asetnya untuk si suami menuntut harta sepencarian. Supaya kuasa yang diberi kepada Mahkamah untuk membuat perintah larangan ke atas harta isteri dimansuhkan; atau Sekurang-kurangnyanya, dengan memasukkan proviso yang berikut kepada subseksyen (1) “Dengan syarat bahawa Mahkamah tidaklah boleh mengeluarkan perintah larangan terhadap apa-apa harta yang didaftarkan dalam nama pihak isteri, melainkan jika diadakan peruntukan bagi nafkah atau pemberian sara hidup yang mencukupi bagi pihak isteri selama berkuatkuasanya perintah larangan itu, dan terdapat kes prima facie bahawa harta itu harta sepencarian dan bukan harta isteri itu sendiri atau harta yang telah diberikan oleh suami kepada isteri.”
7.PEMBAYARAN MUT'AH i. Seksyen 2 Tafsiran Mut'ah diperjelaskan sebagai pampasan dan bukan saguhati. ii. Seksyen 56 diadakan garispanduan bagi pembayaran muta'ah. Mazhab Shafie menekankan kewajipan pembayaran mut'ah atau wang pampasan oleh suami. Ia harus menurut garispanduan yang perlu ditetapkan supaya tidak timbul kekeliruan mengenai tahap pampasan yang boleh diberi oleh Mahkamah. Tempoh perkahwinan haruslah diambilkira dalam menentukan jumlah mut’ah. Tujuan mut’ah adalah untuk mententeramkan perasaan isteri apabila dicerai. Sudah tentu perasaan isteri yang sudah berumur dan telah lama berkahwin akan lebih hancur berbanding dengan isteri yang lebih muda dan telah berkahwin bagi tempoh yang singkat, dan berkemungkinan lebih berupaya untuk menyesuaikan dirinya untuk mencari pendapatannya sendiri. Hendaklah juga ditekankan bahawa sebab perceraian itu, sama ada terdapat sebab yang patut ataupun tidak, adalah menjadi salah satu pertimbangan mengenai jumlah mut’ah, tetapi bukanlah merupakan faktor penentuan mengenai hak isteri mendapat mut’ah. Misalnya, dalam kes Piah lwn Che Lah (1983) 3 JH 220, Kadi Besar, setelah merujuk kepada Kitab Kifayah al-Akhyar, membenarkan tuntutan isteri untuk mendapat mut’ah walaupun isteri itu didapati nusyuz kerana telah meninggalkan suaminya. Kekhuatiran terhadap masa hadapan yang gelap untuk memperolehi bantuan terhadap sara hidup tentulah menambah kehancuran perasaan isteri. Perceraian yang berlaku setelah lama tempoh perkahwinan biasanya merupakan pengalaman yang lebih pahit dari perceraian yag berlaku di dalam perkahwinan yang singkat tempohnya. Mengenai ukuran minimum bagi mut’ah, terdapat beberapa cara yang telah digunakan oleh Mahkamah Syariah di negara lain. Kami mengesyorkan agar pengiraan mut’ah mengambil kira faktor-faktor jumlah pendapatan, taraf hidup, umur, kesihatan dan hal ehwal kewangan pihak-pihak berkenaan, tempoh perkahwinan itu dan keadaan perceraiannya. Kami mengesyorkan apabila suami melafazkan talaq di luar Mahkamah dan tanpa kebenaran Mahkamah maka pengiraan mut’ah kepada isteri haruslah dinaikkan kerana adalah jelas bahawa suami telah cuba mengelakkan dari prosedur Mahkamah dan tanggungjawabnya. Pengubahsuaian dalam syor peruntukan di sini kepada pengiraan muta’ah adalah untuk memastikan lagi keadilan bagi kedua-dua pihak suami serta isteri. Bayaran ini haruslah ditetapkan semasa proses perceraian. i. Supaya takrif “mut’ah” pada Seksyen 2 dipinda seperti berikut: “Mut’ah” ertinya bayaran pampasan yang kena diberi dari segi Hukum Syarak kepada isteri yang diceraikan”. ii. Ditambah peruntukan bar

Copyright | Privacy Policy | Contact Us | Sitemap