Promoting an understanding of Islam that recognises the principles of
justice, equality, freedom, and dignity within a democratic nation state

SIS: Majlis Dialog dengan Jawatankuasa Fatwa Selangor tidak Membincangkan Liberalisme dan Pluralisme (10 November 2014)
email to someone printer friendly


KENYATAAN MEDIA

SIS: Majlis Dialog dengan Jawatankuasa Fatwa Selangor tidak Membincangkan Liberalisme dan Pluralisme

Sisters in Islam (SIS) amat kesal dan hairan dengan kenyataan Mufti Selangor Datuk Seri Mohd. Tamyes Abd. Wahid, seperti yang dilaporkan oleh media pada 7 November 2014, yang menyifatkan majlis dialog SIS bersama Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor pada 12 Januari 2012 sebagai ‘bukti’ pihaknya telah bertemu dengan SIS tentang isu liberalisme dan pluralisme agama.

Untuk makluman, undangan ke ‘Majlis Dialog’ dan agenda yang diterima oleh SIS pada 14 Disember 2011 tidak menyentuh langsung isu akidah. Malah, terma ‘liberalisme dan pluralisme agama’ sama sekali tidak dibangkitkan oleh pihak Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor semasa majlis dialog tersebut.

Dalam pertemuan 2012 itu, kami memberikan taklimat mengenai aktiviti-aktiviti SIS, antaranya kes – kes yang dikendalikan melalui program Bantuan Guaman TeleNisa serta keperluan reformasi undang-undang. Kami juga membentangkan hasil kajian terbaru SIS iaitu “Impak Poligami Ke Atas Keluarga Muslim di Malaysia”.

Jika pihak Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor ingin membincangkan isu liberalisme dan pluralisme agama, mereka sepatutnya memberi keterangan dan menjelas kekhuatiran mereka terhadap fahaman  liberalisme dan pluralisme yang mereka maksudkan, dan membincangkan aspek-aspek aktiviti SIS yang dianggap berunsur pemikiran-pemikiran fahaman liberalisme dan pluralisme agama.

Sehubungan dengan itu, SIS mempersoalkan mengapa Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor tidak menyatakan kebimbangan mereka serta menasihati kami mengenai fahaman liberalisme dan pluralisme agama pada waktu itu? Mengapa hanya selepas dua tahun enam bulan dari perbincangan tersebut barulah fatwa ini dikeluarkan iaitu mengisytiharkan SIS adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam?

Jika Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor memutuskan untuk mengeluarkan fatwa yang mempunyai elemen tuduhan yang amat berat terhadap SIS hasil daripada majlis dialog pada tahun 2012, tidakkah mereka berasa perlunya memaklumkan pihak yang dituduh iaitu SIS untuk megetahui keputusan hasil daripada majlis tersebut? Jika majlis dialog itu adalah titik tolak bagi Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor mengeluarkan fatwa dua tahun enam bulan kemudiannya, apakah proses yang telah diambil oleh mereka untuk memberi ruang bagi pihak tertuduh (SIS) untuk membuat pembelaan?

Setelah menggazetkan fatwa tersebut, mengapakah ia tidak diumumkan kepada orang awam? Bukankah orang awam perlu diberitahu sekiranya SIS dianggap “sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam”?

Dalam keadaan yang mengelirukan seperti ini, besarlah harapan SIS bahawa kenyataan ini mampu membantu masyarakat memahami intipati pertemuan majlis dialog pada 12 Januari 2012 yang dirujuk oleh Mufti Selangor. Justeru, sekali lagi ditegaskan pertemuan tersebut tidak membincangkan tuduhan liberalisme dan pluralisme seperti yang dihujahkan.

SISTERS IN ISLAM
Isnin, 10 November 2014

Copyright | Privacy Policy | Contact Us | Sitemap