Promoting an understanding of Islam that recognises the principles of
justice, equality, freedom, and dignity within a democratic nation state

Kenyataan Media Sisters in Islam Terhadap Ugutan Berbentuk Jenayah Kepada Aishah Tajuddin (20 March 2015)
email to someone printer friendly


Kenyataan Media Sisters in Islam Terhadap Ugutan Berbentuk Jenayah Kepada Aishah Tajuddin

Sisters in Islam mengecam sebarang tindakan kekerasan dan ugutan terhadap Aishah Tajuddin berikutan daripada video satira “Kupas” terbitan bersama BFM dan Projek Dialog yang membincangkan tentang Rang Undang-Undang Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) Negeri Kelantan 1993 yang telah diluluskan di Dewan Undangan Negeri Kelantan pada 18 March 2015 yang lepas.

Ugutan yang diterima oleh Aishah Tajuddin merupakan satu tindakan jenayah di bawah Seksyen 503 dan 506 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih darui tujuh tahun dan denda atau kedua-duanya. Kami juga menyeru agar Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dan Kamar Peguam Negara mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap pihak-pihak yang melakukan ugutan jenayah tersebut.

Ugutan berbentuk jenayah yang dilakukan terhadap Aishah Tajuddin adalah bercanggah dengan prinsip-prinsip Islam dan kebebasan berpendapat yang telah dijamin oleh Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan. Kami juga percaya bahawa Rang Undang-Undang Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) Negeri Kelantan 1993 bukanlah sesuatu yang sakral dan tidak boleh dikritik secara substantif dan dari sudut pelaksanaannya. Ia juga terbuka kepada cabaran perundangan di Mahkamah melalui satu semakan kehakiman.

Isu-isu yang dibangkitkan oleh Aishah Tajuddin di dalam video satira tersebut seperti masalah pasca-banjir, dadah dan kemiskinan juga harus diambil perhatian oleh Kerajaan Negeri Kelantan dan dijadikan keutamaan (awlawiyat) berbanding dengan melaksanakan Rang Undang-Undang Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) Negeri Kelantan 1993.

Dr Yusuf Al Qaradawi di dalam Kitabnya Fi Al Fiqhi Al Awlawiyat: Dirasah Jadidah Fi Daw’I Al Quran Wa Al Sunnah menyatakan bahawa antara kesalah fahaman yang sering terjadi kepada para pejuang Islam adalah kerana terlalu taksub dan berlebih-lebihan di dalam memberikan tumpuan kepada pelaksanaan Hudud, Qisas dan Ta’zir sehingga menimbulkan tanggapan yang kurang baik terhadap kalangan orang awam.

Terbaru, dalam satu temuramah Al Jazeera pada tahun 2011 beliau menyatakan pelaksanaan Hudud bukanlah satu keutamaan di saat rakyat masih lagi kelaparan, peluang pekerjaan juga sukar untuk di dapati dan negara masih gagal menyediakan kemudahan-kemudahan asas yang mencukupi kepada rakyat.

Kami menyeru agar kita bersikap lebih objektif dan berlapang dada dalam menerima sebarang kritikan dan tidak terburu-buru menuduh Aishah Tajuddin atau sesiapa sahaja yang mengkritik dan memberikan sarana terhadap pelaksanaan Rang Undang-Undang Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) Negeri Kelantan 1993.

Kerajaan Negeri Kelantan telah memperkenalkan Rang Undang-Undang Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) Negeri Kelantan 1993 untuk memasuki ruang awam melalui saluran demokrasi oleh yang demikian sesiapa sahaja berhak bersuara tentang undang-undang tersebut sebagaimana yang telah dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

Sisters in Islam

20 Mac 2015

Copyright | Privacy Policy | Contact Us | Sitemap