Promoting an understanding of Islam that recognises the principles of
justice, equality, freedom, and dignity within a democratic nation state

Kenyataan Media Sisters in Islam Terhadap Desakan Penurunan Lambang Salib di Gereja Taman Medan (20 April 2015)
email to someone printer friendly


KENYATAAN MEDIA SISTERS IN ISLAM TERHADAP DESAKAN PENURUNAN LAMBANG SALIB DI GEREJA TAMAN MEDAN

Sisters in Islam (SIS) amat berdukacita dan kecewa terhadap tindakan sekumpulan penduduk di Taman Medan yang telah mengadakan bantahan sehingga memaksa penurunan lambang salib di sebuah gereja, seperti yang dilaporkan di akhbar baru-baru ini.

Perbuatan yang melanggar adab menghormati hak kebebasan beragama ini amatlah bertentangan dengan ajaran Islam yang mulia, serta mencabuli peruntukan dari Artikel 11 di dalam Perlembagaan Persekutuan negara ini.

Di dalam sebuah negara yang majmuk seperti Malaysia, adalah amat penting begi setiap penganut agama untuk saling menghormati hak beribadat agama penganut  lain. Khas bagi orang-orang Islam, perundingan secara baik adalah dianjurkan seperti maksud firman Allah di dalam Surah al-Ankabut 29: 46 :“Dan janganlah kamu berbahas dengan Ahli Kitab melainkan dengan cara yang lebih baik, kecuali orang yang berlaku zalim di antara mereka dan katakanlah: Kami beriman kepada apa yang diturunkan kepada kami dan kepada apa yang diturunkan kepada kamu dan Tuhan kami, juga Tuhan kamu, adalah Satu dan kepada-Nyalah, kami patuh dengan berserah diri.”

Kenyataan kumpulan yang membantah adanya lambang salib di gereja tersebut di kawasan yang majoritinya beragama Islam dan kebimbangan mereka bahawa golongan muda Islam akan tergugat iman adalah tidak munasabah. Lambang salib sudah menjadi identiti fizikal mana-mana gereja di Malaysia dan seluruh dunia dan bukannya sesuatu yang mempunyai kuasa ajaib yang dapat menggugat keimanan mana-mana orang Islam. Sebagai orang Islam juga, mereka patut mempunyai keimanan yang sebenar bahawa Allah adalah Pemilik Kuasa yang mutlak, dan tidak perlu ada ketakutan terhadap sesuatu lambang agama lain. Tidak pernah ada  satu laporan bercetak di Malaysia yang generasi muda Islam bertukar agama selepas melihat  lambang salib yang dipaparkan di bangunan gereja. Alasan yang diberikan oleh kumpulan yang membantah tersebut lebih berbaurkan elemen ekstremis yang bahaya dan perlu dibanteras dan ditolak oleh masyarakat Malaysia.

Lambang salib sudah digunapakai berkurun lamanya dan tidak pernah ada pengajaran dari Al Quran mahupun hadis Nabi yang menyuruh umat Islam untuk membuat bantahan seperti mana yang berlaku di Taman Medan. Malahan, Islam mempunyai kadar pertumbuhan penduduk agama yang paling tinggi di dunia menurut kajian Pew Research Centre.

SIS juga ingin memperingatkan di dalam sejarah permulaan Islam semasa berhadapan dengan tentangan dari kaum kafir Quraish di Mekah, tempat perlindungan yang pertama diberikan kepada ‘penghijrahan kecil’ orang Islam adalah daripada Raja Habsyah yang beragama Kristian. Kisah riwayat hidup Rasulullah s.a.w juga menekankan kepada bersikap baik dengan orang-orang yang bukan Islam, contohnya layanan baik baginda sendiri  terhadap jirannya seorang wanita Yahudi. Ada juga satu peristiwa apabila sekumpulan Kristian dari Najran melawat Rasulullah s.a.w, dan mereka diizinkan oleh baginda untuk melakukan ibadah di suatu sudut di dalam masjid di Madinah manakala Rasulullah s.a.w. dan kaum Muslimin melakukan solat jemaah di waktu yang sama.

Sebagai golongan majoriti Islam di negara ini, seharusnya kita menunjukkan sikap yang mulia dan menghormati hak beribadat kepada golongan minoriti, dan bukannya bersikap angkuh dan tidak sensitif seperti yang berlaku di Taman Medan.


Sisters in Islam
20 April 2015

Copyright | Privacy Policy | Contact Us | Sitemap