Promoting an understanding of Islam that recognises the principles of
justice, equality, freedom, and dignity within a democratic nation state

Pemerkosaan Dalam Perkahwinan Tidak Islamik (27 April 2015)
email to someone printer friendly


PRESS STATEMENT

Kenyataan Akhbar
Pemerkosaan Dalam Perkahwinan Tidak Islamik

Sisters in Islam (SIS) memandang serius kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan mutakhir ini berikutan kempen “Without Consent” yang dilancarkan oleh Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang cuba mempertahankan pemerkosaan dalam perkahwinan atas nama Islam.

Sebagai agama yang sangat menyantuni wanita, perhubungan suami isteri di dalam Islam di bina atas dasar kasih-sayang dan hormat menghormati sebagaimana yang dinyatakan oleh Al Quran di dalam Surah Al Ruum ayat 21:

Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antara kamu berdua rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir’

Islam memberikan hak-hak yang sama rata di antara suami dan isteri di dalam perkahwinan dan menyangkut soal perhubungan seksual, Al Quran menyatakan di dalam Surah Al Nisaa’ ayat 19: ‘…dan gaulilah isterimu dengan cara yang makruf...’

Imam Al Ghazali sewaktu menyatakan tentang tanggungjawab suami terhadap isteri memetik firman Allah S.W.T di dalam Surah Al Nisaa’ ayat 36 yang menyatakan : “…Dan berbuat baiklah kepada dua orang ibu bapa, saudara mara, anak-anak yatim,  orang-orang miskin, jiran yang dekat dan jiran yang jauh, teman sejawat, ibnu sabil, dan hamba sahaya kamu…” dan beliau menyatakan bahawa ‘teman sejawat’ yang dirujuk oleh Allah di dalam ayat tersebut bermaksud isteri. Beliau selanjutnya menyatakan bahawa menyantuni isteri dengan baik bukan sahaja bermaksud tidak menyakiti mereka secara fizikal, bahkan juga secara emosional.

Pemaksaan kepada isteri untuk melakukan hubungan seksual bukan sahaja satu penderaan fizikal bahkan ia merupakan penderaan emosil yang dilarang oleh Islam.

Kenyataan-kenyataan yang membenarkan pemerkosaan dalam perkahwinan adalah bercanggah dengan objektif Al-Quran yang menjamin kesetaraan hubungan antara suami dan isteri berdasarkan semangat mawaddah wa rahmah.

Sisters in Islam
27 April 2015

Copyright | Privacy Policy | Contact Us | Sitemap