Promoting an understanding of Islam that recognises the principles of
justice, equality, freedom, and dignity within a democratic nation state

Rasisme Bukan Ajaran Islam (21 September 2015)
email to someone printer friendly

RASISME BUKAN AJARAN ISLAM

Sisters in Islam melahirkan kebimbangan terhadap kenyataan yang dikeluarkan oleh Tan Sri Annuar Musa dalam satu ucapan di Perhimpunan Merah 169 tempoh hari yang menjustifikasikan tindakan perkauman (asabiyah) kononnya ia tidak bercanggah dengan ajaran Islam. Beliau merujuk kepada hadith yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan Ibn Majah – Seorang lelaki datang bertemu dengan Rasulullah S.A.W dan bertanya “Adakah termasuk dalam asabiyah jika seorang itu mencintai bangsanya? Rasullulah menjawab: Tidak, tetapi asabiyah itu ialah orang yang menyokong kaumnya melakukan kezaliman”.

Tindakan mengapi-apikan semangat perkauman melampau dengan menggunakan agama merupakan penyakit yang boleh memecahbelahkan masyarakat. Bahkan tindakan untuk mengajak kepada semangat perkauman melampau ini adalah bercanggah dengan prinsip-prinsip Islam. Rasulullah S.A.W diutuskan oleh Allah S.W.T kepada musyrikin Mekah yang pada waktu itu mengimani semangat perkauman yang melampau (asabiyah). Sikap perkauman yang melampau ini menyebabkan masyarakat Arab jahiliyah dikenali sebagai kaum yang suka berperang sesama kabilah, menindas golongan yang lemah dan tidak menghormati wanita dan anak-anak. Islam datang untuk menghapuskan segala bentuk penindasan yang berasaskan perkauman melampau ini.

Semangat perkauman atau asabiyah ini telah wujud sebelum kedatangan Islam. Sekiranya semangat perkauman ini di biarkan tanpa sebarang sekatan, ia akan memudaratkan kerukunan dan kehidupan bermasyarakat di Malaysia. Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, Rasulullah S.A.W menyatakan: “Barangsiapa berperang di bawah bendera buta tuli; marah atas dasar asabiyah, menyeru kepada asabiyah atau membela asabiyah lalu dia mati, maka matinya dalam keadaan mati jahiliyah.”

Malaysia adalah negara yang dibina atas penyatuan semua kaum dan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara memberikan hak-hak yang samarata kepada setiap orang di Malaysia. Artikel 8 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa setiap orang adalah sama di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata. Perkara 8 ini begitu istimewa kerana ia meletakkan prinsip kesamarataan bukan sahaja kepada warganegara Malaysia, bahkan kepada setiap orang yang berada di Malaysia secara am tanpa mengenal bangsa dan keturunan.

Artikel 8 dalam Perlembagaan Malaysia membela kesamarataan antara rakyat Malaysia dan menolak sebarang diskriminasi atas dasar kaum atau latar belakang agama. Kenyataan yang dikeluarkan oleh Tan Sri Annuar Musa jelas sekali bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Dalam usaha kerajaan memupuk perpaduan rakyat melalui 1Malaysia, adalah amat merisaukan apabila tiada tindakan diambil apabila seorang bekas menteri mengeluarkan kenyataan yang bahaya dan menyalahgunakan agama Islam yang murni. Ucapan yang menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan rakyat Malaysia perlu dibanteras untuk memastikan kestabilan dan keharmonian Negara Malaysia terjaga. Kami menyeru agar kerajaan mengotakan janjinya dan konsisten dalam membina Malaysia yang makmur.

Sisters in Islam

21 September 2015

Copyright | Privacy Policy | Contact Us | Sitemap