Promoting an understanding of Islam that recognises the principles of
justice, equality, freedom, and dignity within a democratic nation state

Lindungi Anak-anak Kita: Naikkan Umur Minimum Perkahwinan (2 Disember 2015)
email to someone printer friendly


PRESS STATEMENT

Lindungi Anak-anak Kita: Naikkan Umur Minimum Perkahwinan

Sisters in Islam (SIS) mengecam sekeras-kerasnya insiden yang dilaporkan di akhbar Harian Metro pada 26 November 2015 tentang seorang lelaki berumur 35 tahun yang telah merogol adik iparnya yang berumur 11 tahun dan memaksa isterinya yang berumur 14 tahun untuk merakam insiden keji tersebut. Sumber berita juga melaporkan bahawa lelaki tersebut pernah merogol isterinya yang merupakan orang kelainan upaya (OKU), sebelum mereka berkahwin.

Insiden ini sekali lagi menunjukkan kesan negatif perkahwinan bawah umur sehingga ia menjadikan kanak-kanak mangsa rogol di rumah sendiri. Dalam usaha kerajaan menangani jenayah keganasan terhadap wanita, adalah amat dikesali apabila seorang lelaki berumur 35 tahun diberi kebenaran oleh mahkamah untuk berkahwin dengan seorang kanak-kanak OKU. Tindakan yang tidak bertanggungjawab ini bukan sahaja menjejaskan keselamatan kanak-kanak OKU tersebut, malah telah memberi peluang untuk lelaki tersebut melakukan jenayah rogol terhadap adik iparnya sendiri.

Pelbagai kajian sudah dilakukan untuk menunjukkan kesan negatif perkahwinan kanak-kanak kepada kesihatan fizikal, mental dan emosi. Kajian yang dilakukan oleh Universiti Al-Azhar dan United Nations International Children’s Emergency Fund (UNICEF) telah menegaskan bahawa perkahwinan bawah umur adalah merbahaya untuk kanak-kanak dan ibu-bapa bertanggungjawab untuk melindungi anak-anak mereka daripada berkahwin sebelum mereka bersedia. Perkahwinan dalam Islam adalah berlandaskan perasaan kasih sayang, hormat-menghormati antara suami dan isteri dan kematangan mental daripada kedua-dua pihak.  Oleh itu, sebarang perkahwinan bawah umur yang tidak membenarkan kanak-kanak mencapai kematangan dan akan merosakkan hidup kanak-kanak tersebut adalah amat bertentangan dengan Maqasid Syariah. Tambahan itu, Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia juga telah mengeluarkan fatwa mengatakan bahawa perkahwinan kanak-kanak lebih banyak mendatangkan keburukan daripada kebaikan.

Malaysia, sebagai salah satu negara yang telah menandatangani Konvensyen Hak Asasi Kanak-Kanak (CRC) memikul tanggungjawab yang besar untuk melindungi kanak-kanak daripada perkahwinan bawah umur. Selain itu, sebagai negara yang ingin menuju status negara maju, kerajaan tidak boleh mengabaikan kanak-kanak dan membenarkan mereka menjadi mangsa perkahwinan bawah umur. Oleh itu, SIS sekali lagi menggesa pihak kerajaan meminda undang-undang domestik untuk menaikkan umur perkahwinan kepada 18 tahun bagi kedua-dua lelaki dan perempuan, tanpa pengecualian.

Sisters in Islam
2 Disember 2015


Copyright | Privacy Policy | Contact Us | Sitemap