Promoting an understanding of Islam that recognises the principles of
justice, equality, freedom, and dignity within a democratic nation state

Menuntut cerai melalui fasakh
email to someone printer friendly

Soalan dipetik daripada MyMetro:

Saya sudah berkahwin selama 15 tahun dan bergelar isteri kedua. Saya ingin menuntut fasakh kerana perangai suami yang sering memukul saya setiap kali berlaku pertengkaran.

Saya juga menanggung nafkah zahir selama perkahwinan ini termasuk kos bersalin empat anak, yuran sekolah malah persiapan hari raya. Suami cuma lepas tangan dalam tanggungjawab ini.
Meskipun dia mempunyai tiga anak dengan isteri pertama, ia bukan lesen kepada dia untuk menafikan hak anak saya.

Masalahnya perkahwinan ini dilakukan di Thailand dan tidak didaftarkan di Malaysia. Apakah proses untuk saya membatalkan perkahwinan ini?

Bagi saya, perkahwinan ini adalah seksaan fizikal dan mental sedangkan suami seharusnya melaksanakan tanggungjawab sebagai ketua keluarga. Saya perlu menyelesaikan masalah ini mengikut undang-undang supaya kepentingan anak pada masa depan terpelihara.

Lina
Kuala Lumpur


Jawapan:

Assalamualaikum Puan Lina,

Merujuk kepada persoalan Puan, sebelum Puan boleh memfailkan perceraian di Mahkamah, terlebih dahulu Puan perlu mengesahkan dan mendaftarkan perkahwinan tersebut supaya diiktiraf sebagai pasangan yang telah berkahwin di bawah undang-undang Syariah di Malaysia. Ini juga bermaksud agar Puan boleh menuntut hak-hak Puan sebagai isteri, dan juga anak-anak yang lahir daripada perkahwinan tersebut.

Perkahwinan Tidak Berdaftar

Memang benar ada kalanya perkahwinan yang dilakukan di Thailand atau sempadannya, boleh jadi tidak sah oleh kerana sindiket, atas alasan ia tidak mematuhi rukun-rukun perkahwinan seperti yang dituntut oleh Hukum Syarak. Untuk mengetahui sama ada akad nikah tersebut saha atau sebaliknya, hanya Mahkamah Syariah yang mempunyai bidangkuasa tersebut. Oleh itu kami nasihatkan agar Puan ke Mahkamah Syariah berhampiran tempat tinggal Puan dan membuat permohonan pengesahan pernikahan. Mahkamah Syariah akan membuat siasatan berdasarkan bukti-bukti yang dibawa sama ada perkahwinan tersebut adalah sah menurut Hukum Syarak. Apabila Mahkamah menentukan bahawa ianya sah, maka seterusnya Puan boleh terus memfailkan fasakh di Mahkamah Syariah.

Perceraian Secara Fasakh

Fasakh merupakan salah satu hak seorang wanita untuk menuntut perceraian melalui permohonan kepada Mahkamah untuk membubarkan perkahwinan tersebut. Ini bukan sahaja termaktub di dalam Hukum Syarak, bahkan undang-undang keluarga Islam di Malaysia.

Fasakh nikah disyariatkan untuk membendung mudarat yang menimpa ke atas isteri. Dalam situasi Puan, Puan mendakwa bahawa Puan seringkali dikasari, bahkan nafkah yang sewajarnya jadi tanggungjawab bapa/suami diabaikan, mengakibatkan mudarat kepada Puan dan juga anak-anak. 

Bagi mereka yang bermastautin di Wilayah Persekutuan, Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 adalah dirujuk, dan fasakh diperuntukkan di bawah seksyen 52(1). Di bawah seksyen tersebut, terdapat pelbagai alasan-alasan yang boleh dijadikan asbab kepada permohonan perceraian fasakh itu. Berdasarkan kepada situasi Puan, antara alasan-alasan yang bersangkut-paut adalah:

(b) bahawa suami telah cuai atau telah tidak mengadakan peruntukan bagi nafkahnya selama tempoh tiga bulan;
(h) bahawa suami menganiayainya, iaitu, antara lain—
(i) lazim menyakiti atau menjadikan kehidupannya menderita disebabkan oleh kelakuan aniaya;
(vi) jika dia mempunyai isteri lebih daripada seorang, dia tidak melayani isteri yang berkenaan secara adil mengikut kehendak Hukum Syarak;

Maka, daripada alasan-alasan tersebut, Puan layak mengemukakannya dengan memberi bukti yang sesuai bagi menguatkan dakwaan di Mahkamah. Seandainya Mahkamah yakin dan mendapati bahawa tuntutan Puan adalah benar, maka Mahkamah akan membubarkan perkahwinan tersebut tanpa persetujuan suami atau kehadirannya di Mahkamah.

Apabila Puan memfailkan perceraian fasakh di Mahkamah kelak, kami mencadangkan agar Puan turut menuntut beberapa perkara termasuklah nafkah iddah, nafkah isteri, nafkah isteri tertunggak, nafkah anak-anak, hak penjagaan, harta sepencarian dan sebagainya.

Perbuatan Memukul Isteri

Sesungguhnya Islam amat melarang perbuatan menzalimi wanita sebagaimana firman Allah SWT di dalam sebahagian surah al-Baqarah ayat 231 yang bermaksud:

“….dan janganlah kalian pegang mereka (isteri) dengan maksud memberi mudarat kerana kami hendak melakukan kezaliman terhadap mereka….”

Sebagaimana yang Puan nyatakan, untuk makluman, sebarang perbuatan memukul atau mendera isteri sama ada secara fizikal, mental, psikologi, kewangan, dan sosial adalah satu kesalahan di bawah Akta Keganasan Rumahtangga 1994 yang mana suami boleh dijatuhkan hukuman penjara jika didapati telah mencederakan isteri.

Jika Puan ada membuat laporan polis dan juga mendapatkan laporan di hospital, ia bukan sahaja boleh menjadi bukti bagi kes fasakh Puan, malah Puan boleh menggunakannya untuk mendapatkan IPO (Perintah Perlindungan Sementara). Perintah tersebut akan menghalang suami daripada terus mendekati dan mengasari Puan, sehingga siasatan jenayah terhadapnya selesai dijalankan.

Perbuatan Suami yang Tidak Bertanggungjawab

Berpoligami bukanlah satu alasan yang boleh dipergunakan untuk mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang suami dan juga bapa. Seseorang suami yang telah gagal memenuhi tanggungjawabnya terhadap isteri menurut Hukum Syarak adalah berbuat dosa dan nusyuz. Jika isterinya tidak redha maka isteri berhak untuk memohon cerai.

Isteri dan anak-anak merupakan satu tanggungjawab yang telah diamanahkan oleh Allah SWT. Dia berhak mendapat perlindungan serta keperluan hidup dan nafkah yang mencukupi daripada suaminya. Ini dapat dilihat dengan jelas melalui hadith yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Ashaba Al-Sunan yang bermaksud:

Hindun, isteri Abu Sufian telah mengadu kepada Rasulullah bahawa suaminya tidak memberi nafkah yang cukup kepadanya dan anak-anaknya. Lalu Rasulullah memerintahkan Hindun mengambil dari harta Abu Sufian bahagian untuk nafkahnya dan anak-anaknya dengan sebaik-baiknya.

Berdasarkan hadis ini jelaslah bahawa suami wajib menyediakan nafkah terhadap isteri dan jika suami enggan dengan sengaja, cuai ataupun nafkah yang diberi tidak mencukupi maka seorang isteri berhak mengambil harta suaminya sebagai nafkah buat isteri dan anak-anaknya.

Diharap penjelasan kami dapat membantu Puan. Sekiranya puan mempunyai sebarang kemusykilan atau pertanyaan, puan boleh menghubungi kami semula di talian Telenisa 03-7690 8802 pada setiap hari Selasa, Rabu dan Khamis dari jam 10.00 pagi – 5.00 petang. Sekian.

Ikhlas,
Klinik Telenisa
Sisters In Islam

Copyright | Privacy Policy | Contact Us | Sitemap