Promoting an understanding of Islam that recognises the principles of
justice, equality, freedom, and dignity within a democratic nation state

Kutuk Perbuatan Lucah, Jadikan Ruang Awam Selamat Untuk Wanita (7 Julai 2017)
email to someone printer friendly


Kenyataan Akhbar

Merujuk kepada kenyataan di laman sesawang rasmi ISMA, Sisters in Islam menegaskan bahawa penggunaan imej wanita dalam pengiklanan bukanlah masalah di dalam gambar-gambar di mana iklan pekerja Shell diperlakukan dengan lucah. Perkara yang merupakan masalah di dalam gambar-gambar tersebut adalah perlakuan lucah itu sendiri. Pandangan ISMA mengalihkan beban tanggungjawab perlakuan lucah lelaki-lelaki tersebut terhadap iklan yang memaparkan imej wanita.


Perlakuan lucah terhadap wanita seperti ini tidak patut diterima sebagai hanya suatu gurauan atau perkara yang biasa. Ia mencerminkan pemikiran bahawa wanita dianggap hanya sebagai objek yang boleh dipegang, dibelek dan dicabul sesuka hati dan bukan insan manusia yang mempunyai martabat diri dan patut dihormati. Gangguan seksual dan kekerasan terhadap wanita tidak berlaku tanpa keadaan atau persekitaran yang menerima pemikiran bahawa wanita boleh diperlakukan sebegitu. Ia menunjukkan keadaan masyarakat yang tidak langsung menghormati wanita.

Tindakan untuk menyembunyikan wanita dari ruang awam atau mengurangkan pilihan dan peluang bagi wanita untuk menduduki ruang awam dengan selamat bukanlah jalan penyelesaian untuk membina dan mengukuhkan ruang yang selamat bagi wanita. Ia menjadi tanggungjawab kita semua sebagai masyarakat di Malaysia untuk membina, memupuk dan mengukuhkan setiap ruang, termasuk ruang pemikiran, ruang fizikal dan ruang maya, sebagai selamat bagi semua dewasa dan kanak-kanak, tidak kira gender atau agama.

Dalam masa yang sama, perbuatan atau kenyataan yang mencabul, menghina atau merendahkan martabat wanita tidak boleh sekalipun diterima sebagai norma masyakarat dan mesti ditentangi dengan sesungguhnya. Sisters in Islam berasa amat kesal atas kejadian ini dan menyeru agar kita semua mengambil langkah proaktif untuk mendidik diri, keluarga dan masyarakat sekeliling bahawa kaum wanita adalah manusia yang wajar dihormati di setiap ruang, pada setiap masa.

Sisters in Islam
7 Julai 2017

Copyright | Privacy Policy | Contact Us | Sitemap