Promoting an understanding of Islam that recognises the principles of
justice, equality, freedom, and dignity within a democratic nation state

Kenyataan Akhbar: Angka Perkahwinan Kanak-Kanak di Terengganu Membimbangkan SIS (20 Disember 2018)
email to someone printer friendly

Sisters in Islam (SIS) amat bimbang dengan dakwaan yang dibuat oleh Ketua Hakim Mahkamah Syariah Terengganu, Wan Mohd Zakri bahawa terdapat 444 permohonan perkahwinan bawah umur di antara tahun 2013 hingga 2018 di negeri tersebut, dan 397 daripadanya telah diluluskan. Angka ini jelas menunjukkan bahawa berlaku ketidakadilan dan penyalahgunaan kuasa di negeri tersebut.

Menurut Jabatan Mahkamah Syariah Terengganu, permohonan tersebut melibatkan 522 kanak-kanak. SIS amat khuatir dengan jumlah ini kerana ia menunjukkan sekurang-kurangnya 125 perkahwinan bawah umur di negeri ini melibatkan perkahwinan dengan pasangan yang lebih berumur.

Kami juga risau melihat bahawa lebih separuh daripada permohonan yang diluluskan melibatkan pemohon di bawah umur 15 tahun, dan dari jumlah tersebut, 10 permohonan yang diluluskan melibatkan pemohon berumur 13 tahun.

Antara alasan untuk berkahwin yang diberi dan diluluskan oleh jabatan adalah pasangan itu “suka sama suka” dan kanak-kanak itu “ingin” berkahwin (jumlah permohonan sebanyak 252). Kami percaya bahawa mahkamah mempunyai tanggungjawab untuk memastikan keperluan dan bukan kehendak diberikan keutamaan, dan keperluan utama bagi semua kanak-kanak ialah pendidikan.

Kami juga khuatir bahawa 20 permohonan telah diluluskan beralasan untuk mengurangkan “beban keluarga”, 11 daripada permohonan diluluskan disebabkan kanak-kanak yang terlibat tidak bersekolah dan mengalami masalah peribadi dan satu permohonan diluluskan kerana kes rogol. Kes-kes ini menunjukkan yang terdapat unsur paksaan dalam perkahwinan dan secara tidak langsung mendedahkan mereka kepada bahaya.

Ketua hakim juga mendakwa bahawa 72 permohonan yang lulus adalah kerana telah hamil dan 39 permohonan diluluskan kerana kanak-kanak itu telah melakukan hubungan seks. Ini adalah trend yang bahaya kerana ia tidak mengetengahkan isu yang lebih serius iaitu hubungan seks (dipersetujui atau tidak) bersama kanak-kanak ialah rogol statutori di Malaysia. Secara tidak langsung, ini seolah-olah membenarkan pesalah memintas undang-undang dengan mengahwini mangsa mereka. Mahkamah perlu melindungi kanak-kanak yang tidak dapat memahami erti persetujuan yang diberikan dan kemudaratan yang berkait dengan hubungan seks, terutama apabila mereka dipujuk oleh orang yang lebih tua.

SIS amat kecewa dengan ketua hakim Syariah Terengganu yang mahu membenarkan perkahwinan kanak-kanak terus berlaku di Terengganu walaupun ia membawa bahaya dan kemudaratan kepada kanak-kanak. Kami menggesa agar Jabatan Mahkamah Syariah Terengganu mengutamakan pendidikan dan perlindungan dengan menaikkan had umur perkahwinan kanak-kanak di negeri ini kepada 18 tahun tanpa sebarang pengecualian.

Sisters in Islam
20 Disember 2018

Copyright | Privacy Policy | Contact Us | Sitemap