Promoting an understanding of Islam that recognises the principles of
justice, equality, freedom, and dignity within a democratic nation state

Pendapat: Antara Persepsi Dan Kebenaran
email to someone printer friendly


Sudah setahun Pakatan Harapan menjadi kerajaan. Pelbagai kad laporan, forum dan temuramah yang telah dihidangkan kepada rakyat memberi penilaian terhadap prestasi PH dan rata-ratanya, rakyat serta pihak NGO dan sebagainya adalah kritikal terhadap pretasi PH.

Rakyat dan pihak NGO berat mulut untuk memberi pujian yang berlebih-lebihan walaupun terdapat perubahan yang signifikan di sesetengah ruang.

Walaupun dibanjiri kritikan, namun Pakatan Harapan tidak merespon secara negatif terhadap penilaian ini, dan adapun, tidak bersikap mempertahankan diri.

Malah, PH terus mengorak langkah positif ke arah pembaharuan institusi dengan pengumuman penubuhan IPCMC yang telah diusulkan 15 tahun yang lepas.

Dalam kehangatan penilaian PH semalam, ada juga kekecohan di media sosial tentang penyiaran program Analisis oleh TV Al-Hijrah berkaitan tajuk “Islam Dibuli PH”.

Telah banyak yang telah diperkatakan dan didebatkan tentang penyiaran ini dan lanjutan daripada program tersebut, telah ada sebuah artikel oleh ISMA tulisan Dr Ahmad Sanusi Azmi dari Oxford Centre for Islamic Studies yang memberi contoh insiden yang berlaku menunjukkan Islam dan kaum Muslimin kelihatan ditekan.

Salah satu daripadanya ialah: "Tindakan YB Hannah Yeoh yang memberikan sumbangan kepada Sisters in Islam dilihat menjadi isu sensitiviti di kalangan muslim. Ini kerana, Sisters in Islam telah diwartakan sesat dan menyeleweng oleh Majlis Agama Islam Selangor. Tindakan Hannah itu dilihat seakan memberikan sokong terhadap kumpulan yang telah diisytiharkan sebagai mengamalkan pemikiran liberal yang bercanggah dengan fatwa yang dikeluarkan oleh MAIS."

Ini diikuti oleh poster yang diedarkan oleh Gerakan Pengundi Sedar yang mengangkat mesej yang sama oleh Dr. Ahmad Sanusi Azmi dengan kenyataan iaitu: "Pertubuhan yang difatwakan sesat dan meyeleweng, Sisters in Islam (SIS) mendapat peruntukan RM20,000 dengan alasan Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat ingin membantu ‘wanita Islam’. SIS terkenal sebagai sebuah pertubuhan feminis liberal tegar yang sering mengelirukan masyarakat."

Dari kenyataan-kenyataan ini, nampaknya orang Islam harus dijaga sensitiviti mereka dari apa-apa yang dilakukan oleh kerajaan PH yang ingin menyokong kerja-kerja baik oleh Sisters in Islam untuk wanita Islam atas dasar SIS telah difatwakan sebagai sesat, adalah liberal, feminis dan sentiasa mengelirukan masyarakat.

Hakikatnya ialah, Sisters in Islam pun sensitif juga. Kami sensitif kepada:

- penderitaan isteri-isteri yang mengalami keretakan rumahtangga dan sukar untuk mendapatkan keadilan bagi diri mereka dari segi perceraian sehingga ramai yang gantung tak bertali bertahun-tahun,

- penderitaan anak-anak mereka dari segi nafkah anak bila ayah mereka langsung tidak memberi atau tidak cukup pemberian nafkah yang telah diarahkan mahkamah,

- perasaan dan pengalaman isteri-isteri yang tidak mendapat layanan yang adil dari segi perkahwinan poligami,

- perit kesakitan yang dirasai isteri-isteri yang ditimpa keganasan rumahtangga bukan sahaja dari segi fizikal, mental, kewangan, sosial dan emosi tapi juga dari segi kekerasan seksual dalam rumahtangga,

- kehilangan suara-suara anak-anak yang tidak berdaya untuk menolak perkahwinan yang kononnya akan meyelamatkan hidup mereka walaupun mereka telah diperkosa oleh bakal suami,

- tenggelamnya suara-suara perempuan yang tidak dapat membuat keputusan untuk kebaikan diri mereka kerana mereka tidak dianggap sebagai penting dan saksama sebagai ahli keluarga dan harus akur kepada keputusan orang lain.

Natijahnya ialah, ramai orang lebih senang memegang persepsi bahawa SIS ini adalah sesat, feminis, liberal, menyeleweng dan mengelirukan masyarakat.

Hakikatnya ialah, SIS adalah pejuang hak wanita Islam. Itu adalah fakta. Dan semua persepsi dalam dunia ini tidak akan mengubah kebenaran itu.

Rozana Isa adalah Pengarah Eksekutif, Sisters in Islam
10 May 2019

Copyright | Privacy Policy | Contact Us | Sitemap