Promoting an understanding of Islam that recognises the principles of
justice, equality, freedom, and dignity within a democratic nation state

Bapa Wajar Tanggung Nafkah Anak Sehingga ke Peringkat Universiti
email to someone printer friendly


Soalan:
Saya telah bercerai dengan isteri pada bulan Jun yang lalu. Saya mempunyai tiga orang anak; yang sulung  adalah perempuan berumur 18 tahun, bakal melanjutkan pelajaran di Universiti, yang kedua adalah lelaki berumur 15 tahun, belajar dan anak yang bongsu adalah perempuan berumur 4 tahun. Hak penjagaan anak-anak saya diberikan kepada bekas isteri dengan perintah mahkamah. Saya tahu menjadi kewajipan saya sebagai bapa mereka untuk memberi nafkah anak walaupun saya telah bercerai dengan isteri saya. Soalan saya ialah, sampai bila saya perlu memberi nafkah kepada anak-anak saya? Adakah saya perlu memberi nafkah kepada anak sulung walaupun dia sudah baligh? Bagaimana Mahkamah menentukan jumlah nafkah terhadap anak-anak? Abah Abooya
Melaka   

Jawapan:
Hukum Syarak mewajibkan nafkah anak disediakan oleh bapa. Kewajipan membayar nafkah anak berdasarkan firman Allah dalam Surah Al-Baqarah, ayat 233 yang menyatakan “…dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah diberatkan seseorang menurut kemampuannya. Janganlah menjadikan seseorang ibu itu menderita kerana anaknya…” Untuk makluman saudara, undang-undang keluarga termaktub di bawah undang-undang negeri. Oleh itu, Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Melaka) 2002 terpakai memandangkan saudara menetap di Melaka.  Seksyen 73 Enakmen tersebut memperuntukkan bahawa bapa berkewajipan untuk menanggung nafkah anak dalam apa jua keadaan walaupun hak penjagaan diberikan kepada bekas isteri. Nafkah yang dimaksudkan adalah merangkumi tempat tinggal, pakaian, makanan, dan pelajaran sebagaimana yang munasabah memandang kepada kemampuan dan taraf kehidupannya atau dengan membayar kosnya. Merujuk kepada soalan yang diajukan iaitu mengenai tempoh pemberian nafkah kepada anak-anak saudara. Jumhur Fuqaha berdasarkan dalil-dalil Al-Quran dan Hadith sependapat menyatakan bahawa seorang bapa wajib memberi nafkah untuk anak-anaknya dengan syarat:
1. Bahawa anak itu belum boleh berdikari. Bagi anak perempuan sehingga ia berkahwin atau sehingga ia ada pekerjaan.
2. Bahawa anak itu miskin tidak mempunyai harta sendiri untuk menafkahkannya.
3. Bapa itu mampu memberi nafkah. Berdasarkan pendapat Fuqaha dan proviso tersebut, maka bapa wajib memberi nafkah untuk keperluan perbelanjaan seharian dan pembelajaran dan lain-lain keperluan mereka.  Manakala seksyen 80 Enakmen tersebut memperuntukkan bahawa hak anak-anak terhadap nafkah akan terhenti apabila anak itu mencapai umur 18 tahun. Tetapi seksyen ini juga membenarkan Mahkamah, atas permohonan anak, atau seseorang lain, untuk melanjutkan tempoh perintah nafkah tersebut bagi membolehkan anak menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi atau untuk mengikuti latihan lanjut. Seperti yang dinyatakan di atas, bapa sememangnya berkewajipan dalam memberi nafkah terhadap anak-anaknya sehingga anak tersebut belum berkahwin bagi anak perempuan. Bagi nafkah anak sulung saudara, adalah wajar bagi saudara memberi hak nafkah terhadapnya walaupun telah baligh. Ini adalah selari dengan keperluannya dan keadaannya yang masih lagi belajar di Universiti.  Merujuk kepada kadar nafkah yang telah diperintahkan oleh Mahkamah, dapat dinyatakan di sini bahawa sesuatu kadar nafkah yang telah diperintahkan oleh Mahkamah tidaklah kekal dan boleh diubah. Perubahan kadar nafkah tersebut adalah berdasarkan kepada kemampuan bapa, keperluan anak-anak tersebut dan taraf ekononomi semasa.  Perkara ini terdapat di bawah peruntukan seksyen 67 Enakmen tersebut.  Contoh kes yang berkaitan dengan perubahan nafkah ini, kes Fatimah v Shaikh Mohamed (1977) 1 JH(1) 39,  Mahkamah telah mempertimbangan taraf hidup di Kuala Lumpur dan berpendapat bahawa kadar lama sebanyak RM90 tidak mencukupi untuk menampung kehidupan anak itu dan telah menaikkan kadar nafkah kepada RM110 sebulan.  Permohonan untuk mengubah perintah ini boleh dibuat oleh orang yang memberi nafkah, orang yang menerima nafkah, dan bagi anak yang belum baligh, penjaganya.  Sebarang maklumat lanjut, saudara boleh menghubungi pihak kami. Sekiranya saudara masih tidak jelas berkenaan prosedur perceraian ini, dinasihatkan agar mendapatkan khidmat guaman sama ada daripada Biro Bantuan Guaman atau Pusat Bantuan Guaman atau mana-mana peguam syarie bagi mendapatkan nasihat berhubung dengan prosedur tersebut.

(Segala kemusykilan boleh dikemukakan kepada Sisters In Islam di alamat No. 7, Jalan 6/10, 46000, Petaling Jaya, Selangor, atau telefon ke Talian TeleNisa 03-77843733 pada hari Isnin, Khamis dan Jumaat atau e-mel: telenisa@sistersinislam.org.my This e-mail address is being protected from spam bots, you need JavaScript enabled to view it

Copyright | Privacy Policy | Contact Us | Sitemap