Promoting an understanding of Islam that recognises the principles of
justice, equality, freedom, and dignity within a democratic nation state



Soalan:

Saya sedang dalam proses perceraian. Mula-mula kes itu difailkan di Shah Alam, tetapi atas permohonan suami, kes saya didengar di Johor Bahru pula. Boleh ke dia buat macam ni? Dia bukannya tinggal di Johor, cuma ibubapanya saja yang tinggal di sana. Kemudian, dia telah memohon perintah Mahkamah untuk membekukan akaun saya kerana katanya untuk tuntutan harta sepencarian. Tapi itu hadiah daripadanya, kenapa dia kata harta sepencarian pula? Lagi pun, akaun itu bukannya akaun bersama, akaun itu atas nama saya sahaja. Saya tidak bekerja, duit dari akaun itulah punca pendapatan saya dahulu dan hadiah perkahwinan daripadanya dan keluarga. Sanggup dia buat saya macam ni.

Zabedah Mustar,
Subang

Jawapan:

Untuk menentukan di mana sepatutnya sesuatu tindakan Mahkamah dimulakan, Mahkamah akan melihat kepada alamat tempat tinggal kedua-kedua pihak yang terlibat. Ini adalah kerana bidang kuasa Mahkamah Syariah adalah berdasarkan tempat puan tinggal. Di Malaysia setiap negeri mempunyai Mahkamah Syariah yang terhad bidang kuasanya menurut setiap negeri dan mempunyai undang-undang syariah tersendiri.

Ini juga dapat menyenangkan pihak-pihak terbabit kerana proses tindakan di Mahkamah memerlukan mereka turun-naik Mahkamah beberapa kali juga, bergantung kepada kerumitan satu-satu kes.

Suami puan mungkin menggunakan alasan bahawa beliau kini menetap di Johor Bahru bersama dengan ibu bapanya dan menggunakan alamat tersebut sebagai alamatnya. Oleh itu beliau kini adalah tertakluk di bawah undang-undang syariah dan Mahkamah Syariah negeri Johor.

Tetapi Mahkamah harus mengambil kira keadaan puan juga. Puan berhak untuk membantah perpindahan kes ini atas alasan bahawa adalah sukar untuk puan berulang-alik ke Johor Bahru. Puan boleh menggunakan alasan bahawa ia akan menelan belanja yang banyak, tambahan lagi puan tidak bekerja. Puan haruslah menunjukkan kepada Mahkamah bahawa adalah lebih adil jika kes ini didengar di Shah Alam.

Malah puan juga mestilah menunjukkan kepada Mahkamah bahawa suami puan sebenarnya tidak tinggal di Johor Bahru tetapi hanyalah menggunakan alamat ibu bapanya sahaja. Puan hendaklah mengemukakan kepada Mahkamah bukti yang menunjukkan suami masih menetap di alamat tempat tinggalnya. Puan boleh membawa saksi yang menyatakan bahawa suami tidak tinggal di Johor Bahru dan apa-apa dokumen yang dapat menyokong fakta ini.

Bagi bahagian kedua persoalan puan itu pula, berkenaan harta sepencarian, kita perlu melihat kepada tafsiran perundangan apa itu harta sepencarian. Menurut seksyen 2 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Johor) 2003, "harta sepencarian'' ertinya harta yang diperolehi bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan berkuatkuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh Hukum Syarak.

Oleh itu, walaupun harta itu atas nama puan sahaja, tetapi jika suami berjaya membuktikan kepada Mahkamah bahawa dia ada menyumbang terhadap harta tersebut, maka Mahkamah akan memutuskan bahawa itu adalah harta sepencarian.
Tindakan suami puan yang mendakwa bahawa hadiah yang diberikannya kepada puan dahulu adalah harta sepencarian merupakan satu perkara yang sangat mengaibkan.

Dalam perbicaraan permohonan suami untuk membekukan akaun puan, puan hendaklah membawa bukti kepada Mahkamah bahawa harta tersebut bukanlah harta sepencarian dan ia adalah hadiah daripada suami.

Menurut hukum syarak, sesuatu hadiah atau hibah adalah lengkap apabila rukun-rukun hibah ini dipenuhi iaitu pihak-pihak yang melakukan aqad hibah iaitu pemberi hibah dan penerima hibah, aqad hibah melalui ijab dan qabul dan barang yang hendak dihibahkan itu.

Tindakan suami yang memasukkan wang ke dalam akaun atas nama puan boleh dilihat sebagai tindakannya menawarkan (ijab) hadiah kepada puan, dan juga tindakan puan menggunakan wang yang telah dimasukkan ke dalam akaun puan itu adalah tanda puan telah menerima (qabul) tawaran itu tadi.

Panel Peguam Sisters In Islam.

Copyright | Privacy Policy | Contact Us | Sitemap