Promoting an understanding of Islam that recognises the principles of
justice, equality, freedom, and dignity within a democratic nation state



Soalan:

Selepas suami saya meninggal baru-baru ini saya mendapat tahu bahawa dia mempunyai isteri kedua. Bayangkanlah betapa hancurnya hati saya. Isteri keduanya datang untuk membuat tuntutan harta pusaka pula tu. Dia menyatakan bahawa menurut faraid, anak lelakinya akan mendapat bahagian yang besar. Mentang-mentanglah anak saya dua-dua perempuan. Tetapi suami saya ada meninggalkan wasiat. Dalam wasiatnya, tiada pun tertulis nama perempuan itu dan anaknya. Satu lagi masalah ialah perempuan itu menyatakan bahawa hanya nama dia diletakkan sebagai waris KWSP arwah. Bila saya tanya KWSP, memang diletakkan nama perempuan itu dan anak lelakinya sebagai waris. Jadi, macam mana dengan pembahagian harta pusaka ini?

Saripah Adawiyyah,
Kluang


Jawapan:

Suami yang menyembunyikan tentang perkahwinan kedua mereka sebenarnya hanya mengundang masalah. Walaupun mereka memberikan alasan tidak mahu melukakan hati isteri pertama, namun akhirnya kebenaran akan terbongkar.

Adalah menyedihkan bagi seorang isteri untuk mengetahui perkara sebenar dengan cara ini. Sudahlah sedih kehilangan suami belum hilang, terpaksa pula berhadapan dengan perebutan harta dengan madu yang tiba-tiba muncul.

Terdapat dua persoalan yang dikemukakan oleh puan di sini. Pertama tentang kedudukan wasiat arwah suami dan kedua tentang hak puan dan anak-anak kepada wang KWSP arwah.

Kedudukan wasiat dari hukum syarak boleh kita lihat dalam ayat 11 surah al-Nisaa yang bermaksud,
“Allah perintahkan kamu mengenai (pembahagian harta pusaka untuk) anak-anak kamu, iaitu bahagian seorang anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan. Tetapi jika anak-anak perempuan itu lebih dari dua, maka bahagian mereka ialah dua pertiga dari harta yang ditinggalkan oleh si mati. Dan jika anak perempuan itu seorang sahaja, maka bahagiannya ialah seperdua (separuh) dari harta itu.

Dan bagi ibu bapa (si mati), tiap-tiap seorang dari keduanya: seperenam dari harta yang ditinggalkan oleh si mati, jika si mati itu mempunyai anak. Tetapi jika si mati tidak mempunyai anak sedang yang mewarisinya hanyalah kedua ibubapanya, maka bahagian ibunya ialah sepertiga. Kalau pula si mati itu mempunyai beberapa orang saudara (adik-beradik), maka bahagian ibunya ialah seperenam. (Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh si mati dan sesudah dibayarkan hutangnya.''


Pada dasarnya perundangan di Malaysia mengguna pakai sepenuhnya hukum faraid dalam pembahagian harta pusaka orang muslim. Oleh itu, menurut ayat di atas, syarak mengenal pasti wasiat sebagai salah satu cara pembahagian harta.

Walaupun dalam ayat al-Quran di atas dengan jelas tidak menghadkan jumlah wasiat yang harus diberikan oleh orang muslim, namun sistem perundangan Islam di Malaysia memperuntukkan had ke atas wasiat ini. Muslimin di Malaysia hanya dibenarkan mewasiatkan satu pertiga daripada hartanya untuk wasiat dan penerima wasiat itu juga hendaklah bukan daripada kalangan waris.

Ini adalah berdasarkan pendapat ulama Sunni yang mendasarkan kesimpulan mereka daripada hadith Rasulullah s.a.w (diriwayatkan oleh Sunan Abu Dawud) yang telah menghadkan wasiat kepada satu pertiga. Hadith ini mengenai sahabat Baginda yang hanya mempunyai seorang anak perempuan dan ingin mewasiatkan seluruh hartanya bagi tujuan khairat kebajikan am.

Rasulullah s.a.w kemudiannya telah bersabda bahawa bahagian yang boleh diwasiatkan itu adalah satu pertiga supaya anak perempuannya tidak dibiarkan tanpa harta.

Oleh itu, wasiat yang ditinggalkan oleh arwah suami puan boleh dicabar oleh waris-waris lain yang berhak. Malah mereka boleh menuntut supaya harta itu dibahagikan secara faraid.

Hukum faraid
Manakala bagi wang KWSP arwah, telah difatwakan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia bahawa penama yang tercatat dalam borang KWSP merupakan wasi atau pentadbir harta sahaja. Majlis Fatwa juga telah memutuskan bahawa adalah menjadi tanggungjawab penama untuk membahagikannya menurut hukum faraid.

Di KWSP, apabila satu kematian telah diadukan, maka atas permohonan penama yang bertindak sebagai pentadbir harta, wang tersebut akan dikeluarkan kepada penama. Adalah menjadi tanggungjawab penama kemudiannya untuk mengagih-agihkan harta tersebut mengikut hukum faraid.

Puan sebenarnya hanya boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap penama itu supaya mengagihkan harta tersebut mengikut hukum faraid. Puan tidak boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap KWSP untuk menghalangnya mengeluarkan wang tersebut kepada penama. Ini kerana KWSP tidak bertanggungjawab atas urusan pembahagian harta pusaka ahlinya.

Mengikut perundangan Malaysia, muslimin adalah tertakluk kepada hukum faraid dalam pembahagian harta pusaka. Walaupun adanya wasiat ataupun penama, hukum faraid tetap diguna pakai.

Harus diingat juga bahawa harta sepencarian hendaklah ditolak terlebih dahulu daripada harta pusaka arwah suami. Puan dan isteri kedua masing-masing berhak ke atas harta sepencarian yang telah diusahakan bersama-sama sepanjang tempoh perkahwinan.

Bahagian lebih yang diperuntukkan mengikut hukum faraid diberikan kepada anak lelaki adalah sangat berkait rapat dengan tanggungjawab seorang lelaki terhadap keluarganya. Oleh itu, menjadi tanggungjawab anak lelaki arwah suami puan untuk menjaga kebajikan kedua-dua keluarga. Adalah menjadi syariat Islam bahawa harta yang diberikan hendaklah digunakan ke atas balu dan anak-anak arwah.

Tanggungjawab ini amat diambil berat dan jika anak lelaki itu enggan untuk bertanggungjawab, undang-undang memperuntukkan bahawa tindakan boleh diambil di Mahkamah bagi satu tuntutan nafkah. Kita boleh rujuk kepada seksyen 60 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Johor) 1990 yang memberi kuasa kepada Mahkamah mengeluarkan perintah membayar nafkah.

Dalam keadaan ini, lebih elok sekiranya puan sekeluarga dapat mencapai satu kata sepakat untuk membahagikan harta peninggalan arwah dengan cara yang baik. Ini sebenarnya untuk kebaikan semua pihak lebih-lebih lagi untuk masa depan anak-anak.

Panel Peguam Sisters In Islam.

Copyright | Privacy Policy | Contact Us | Sitemap