Promoting an understanding of Islam that recognises the principles of
justice, equality, freedom, and dignity within a democratic nation state

Bolehkah Kaedah Muafakat Digunakan?
email to someone printer friendly


Soalan:

Arwah nenek saya mempunyai harta peninggalan iaitu dua bidang tanah RM54,000 setelah dinilai oleh Pejabat Tanah Rembau baru-baru ini. Semasa perbicaraan, Pegawai Pembahagi Harta Pusaka Kecil telah menyerahkan kepada keluarga untuk berunding sama ada hendak membahagikan harta mengikut sistem faraid (waris terdiri daripada tiga lelaki dan empat perempuan) atau cara pembahagian lain yang dipersetujui oleh semua waris.

Kami sekeluarga telah bersetuju untuk meletakkan satu nama pewaris kerana penama itu telah bersetuju untuk membeli tanah tersebut dan wang itu akan dibahagikan kepada keluarga yang lain. Soalan saya bagaimana cara yang betul pembahagian wang akan dibayar oleh penama tadi pada ahli keluarga yang lain. Adakah perlu menggunakan kaedah hukum syarak sedangkan pada fahaman saya, semua ahli keluarga telah menggunakan kaedah muafakat dengan persetujuan bersama ahli keluarga membenarkan satu penama. Mohon penjelasan daripada SIS. Terima kasih.

Arman Saad,
Negeri Sembilan.


Jawapan:

Ayat-ayat perwarisan yang diturunkan dan terdapat dalam surah al-Nisa dijadikan pedoman oleh umat Islam pada masa kini dalam pembahagian harta pusaka. Intipati ayat-ayat 11, 12 dan 176 ini merupakan asas ilmu faraid, iaitu sistem pembahagian harta pusaka. Ayat-ayat ini berisi aturan dan tatacara berkenaan dengan hak dan pembahagian warisan.

Namun begitu, ini hanyalah panduan. Jika terdapat persetujuan antara semua waris tentang pembahagian harta, eloklah dilaksanakan mengikut persetujuan itu.

Oleh itu, adalah tepat apabila Pentadbir Tanah Bahagian Harta Pusaka Kecil itu menasihatkan keluarga saudara sama ada untuk membuat pembahagian harta pusaka mengikut pembahagian sistem faraid ataupun membahagikannya sama rata, tertakluk kepada persetujuan semua waris yang terlibat. Ini kerana Islam amat menggalakkan muafakat antara umatnya.

Malah, berdasarkan iman mereka, orang Muslim sentiasa digalakkan memberi lebih daripada apa yang telah ditentukan oleh hukum syarak sebagai satu hak secara sukarela. Dalam surah al-Baqarah ayat 237, firman Allah yang bermaksud, "Dan perbuatan kamu bermaaf-maafan (halal-menghalalkan) itu lebih hampir kepada taqwa. Dan janganlah pula kamu lupa berbuat baik dan berbudi sesama sendiri: Sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa jua yang kamu kerjakan."

Persetujuan saudara dan keluarga untuk melantik seorang sebagai penama ini diistilahkan dalam perundangan sebagai melantik seorang pentadbir harta pusaka. Ini bermakna pentadbir ini diberi kuasa untuk membahagikan kesemua harta pusaka yang ditinggalkan oleh nenek saudara kepada waris yang berhak, sama ada hendak mengikut sistem pembahagian faraid, ataupun mana-mana cara yang telah dipersetujui oleh semua waris.

Nampaknya saudara sekeluarga telah pun mencapai kata sepakat bagaimana mahu membahagikan harta pusaka tersebut. Berbincang secara baik dan mencapai satu kata putus adalah sebaik-baiknya untuk mengelakkan pertelingkahan sesama saudara. Tidak ada masalah jika harta pusaka tersebut dibahagikan menurut persetujuan yang telah dicapai.

Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab pentadbir yang telah dilantik itu untuk membahagikan harta mengikut apa yang telah dipersetujui. Sama ada ingin membahagikan tanah mengikut bahagian-bahagian yang dipersetujui ataupun membahagikan wang mengikut nilai bahagian yang telah dipersetujui.

Jika ingin membahagikan tanah mengikut bahagian-bahagian yang telah dipersetujui, maka tanah tersebut hendaklah ditukarkan hak miliknya kepada nama-nama yang berhak. Geran tanah hendaklah dikemukakan kepada Pejabat Tanah Rembau untuk proses pendaftaran.

Jika ingin membahagikan wang mengikut nilai bahagian tanah yang telah dipersetujui, dan bersetuju menjualkan tanah tersebut kepada pentadbir harta, maka hak milik tanah itu dipunyai oleh pentadbir itu seorang sahaja. Waris-waris lain, setelah harga bahagian tanah itu dibayar, tidak mempunyai hak ke atas tanah tersebut.

Memandangkan saudara menetap di Negeri Sembilan, Akta Harta Pesaka Kecil (Pembahagian) 1955 memperuntukkan satu bahagian khas bagi Negeri Sembilan, iaitu Bahagian Tiga, yang menekankan tentang undang-undang adat. Akta ini menerima pakai pembahagian harta pusaka mengikut adat pepatih.

Maka bukan sahaja saudara sekeluarga boleh mengikut pembahagian menurut sistem faraid ataupun apa yang telah dipersetujui, malah saudara boleh juga mengikut adat pepatih. Adalah lebih baik jika persetujuan ini direkodkan di hadapan Pentadbir Tanah Bahagian Harta Pusaka Kecil agar tiada masalah timbul kelak.

Panel Peguam Sisters In Islam.

Copyright | Privacy Policy | Contact Us | Sitemap