Promoting an understanding of Islam that recognises the principles of
justice, equality, freedom, and dignity within a democratic nation state

Bapa mahu harta bagi sama rata
email to someone printer friendly


Soalan:

BARU-BARU ini kami adik-beradik dipanggil berbincang tentang pembahagian harta jika sekiranya ayah kami meninggal dunia. Ayah menyatakan hasratnya untuk mewasiatkan harta peninggalannya kepada kami tiga beradik semua sama rata.

Namun, abang-abang saya tidak bersetuju. Katanya, jika mengikut faraid dia seharusnya mendapat bahagian yang lebih daripada saya (anak perempuan). Tetapi ayah berkeras mahu meneruskan niatnya. Adakah wasiat seperti ini tidak sah jika waris-waris tidak setuju?

Arissa Mubaraq,
Shah Alam.

Jawapan:

Kini, dokumen wasiat semakin diterima oleh masyarakat sebagai salah satu alternatif perancangan harta yang mampu menzahirkan hasrat pewasiat tentang agihan hartanya yang akan dilaksanakan selepas kematiannya.
Firman Allah dalam surah al-Baqarah menyatakan betapa pentingnya wasiat ini. Ayat 180 yang bermaksud, "Kamu diwajibkan, apabila seseorang dari kamu hampir mati, jika ia ada meninggalkan harta, supaya membuat wasiat untuk ibu bapa dan kaum kerabat dengan cara yang baik sebagai suatu kewajipan atas orang-orang yang bertaqwa."

Namun, masyarakat perlulah tahu apakah fungsi dan kesan sesuatu wasiat itu supaya dapat memenuhi tujuan sebenar orang yang berwasiat.

Perkataan wasiat berasal daripada 'wassa' yang bermaksud menjanjikan, memerintahkan atau memberi hak milik selepas kematian. Para fuqaha' pula mentakrifkan wasiat sebagai satu pemberian oleh seseorang kepada pihak lain setelah kematian pewasiat.

Enakmen Wasiat Orang Islam (Selangor) 1999 pula mendefinisikan wasiat sebagai iqrar seseorang dibuat pada masa hayatnya ke atas hartanya atau manafaat untuk menyempurnakan sesuatu bagi maksud kebajikan atau apa-apa maksud yang dibenarkan menurut hukum syarak, selepas dia mati.

Menurut pendapat empat imam Sunni, wasiat tidak boleh diberikan kepada ahli waris, kecuali waris-waris yang lain bersetuju. Malah, jumlah wasiat juga dihadkan kepada satu pertiga sahaja. Jika pewasiat mahu mewasiatkan lebih daripada jumlah yang ditetapkan, dia perlulah mendapatkan persetujuan daripada kesemua warisnya.

Oleh itu, sememangnya wasiat itu akan dianggap tidak sah jika abang-abang saudari tidak bersetuju terhadap pembahagiannya.

Namun, wasiat bukanlah satu-satunya cara membahagikan harta pusaka. Satu lagi cara yang boleh saudari cadangkan kepada ahli keluarga ialah al-Wisoyah yang mana merupakan satu konsep amanah yang diperakui perundangan Islam.

Konsep amanah ini sama sahaja dengan konsep amanah (trust) undang-undang sivil. Apabila sesuatu harta atau kepentingan terhadap harta ini diletakkan di bawah jagaan pemegang amanah, maka harta atau kepentingan terhadap harta ini bukan lagi dikira sebagai harta pusaka.

Sebaliknya, pemegang amanah itu berhak sepenuhnya melaksanakan terma-terma yang ditetapkan dalam suratcara amanah tersebut.

Lagi pula, tidak ada sesiapa yang boleh membantah kehendak pemberi amanah apabila dia ingin melaksanakannya. Bapa saudari, selaku pemilik harta, mempunyai kebebasan sepenuhnya untuk membuat sebarang syarat bagi memastikan niatnya terlaksana. Kelebihannya pula, bapa saudari boleh mengubah syarat-syarat yang ditetapkan jika dia berubah fikiran kemudian hari.

Adalah elok sekiranya al-Wisoyah ini dibuat secara bertulis agar tidak menimbulkan kesulitan dan keraguan di kemudian hari.



(VERSI ASAL)

Soalan:
Baru-baru ini kami adik-beradik dipanggil berbincang tentang pembahagian harta jika sekiranya ayah kami meninggal dunia. Ayah menyatakan hasratnya untuk mewasiatkan harta peninggalannya kepada kami tiga beradik semua sama rata. Namun, abang-abang saya tidak bersetuju. Katanya, jika mengikut faraid dia seharusnya mendapat bahagian yang lebih daripada saya (anak perempuan). Tetapi ayah berkeras mahu meneruskan niatnya membahagikan harta sama rata dan memaksa abang-abang saya bersetuju. Saya ada terdengar yang wasiat seperti ini tidak sah jika waris-waris tidak setuju? Betulkah ini? (Adakah wasiat seperti ini tidak sah jika waris-waris tidak setuju?

Arissa Mubaraq,
Shah Alam.

Jawapan:
Kini, dokumen wasiat semakin diterima oleh masyarakat sebagai salah satu alternatif perancangan harta yang mampu menzahirkan hasrat pewasiat tentang agihan hartanya yang akan dilaksanakan selepas kematiannya.

Firman Allah dalam surah al-Baqarah menyatakan betapa pentingnya wasiat ini. Ayat 180 yang bermaksud, "Kamu diwajibkan, apabila seseorang dari kamu hampir mati, jika ia ada meninggalkan harta, supaya membuat wasiat untuk ibu bapa dan kaum kerabat dengan cara yang baik sebagai suatu kewajipan atas orang-orang yang bertaqwa."

Namun begitu masyarakat perlulah tahu apakah fungsi dan kesan sesuatu wasiat itu supaya dapat memenuhi tujuan sebenar orang yang berwasiat.

Perkataan wasiat berasal daripada "wassa" yang bermaksud menjanjikan, memerintahkan atau memberi hak milik selepas kematian. Para fuqaha' pula mentakrifkan wasiat sebagai satu pemberian oleh seseorang kepada pihak lain setelah kematian pewasiat.

Manakala Enakmen Wasiat Orang Islam (Selangor) 1999 pula mendefinisikan wasiat sebagai iqrar seseorang dibuat pada masa hayatnya ke atas hartanya atau manafaat untuk menyempurnakan sesuatu bagi maksud kebajikan atau apa-apa maksud yang dibenarkan menurut hukum syara', selepas dia mati.

Menurut pendapat empat imam Sunni, wasiat tidak boleh diberikan kepada ahli waris, kecuali waris-waris yang lain bersetuju. Malah, jumlah wasiat juga dihadkan kepada satu pertiga sahaja. Jika pewasiat mahu mewasiatkan lebih daripada jumlah yang ditetapkan, dia perlulah mendapatkan persetujuan daripada kesemua warisnya.

Oleh itu, sememangnya wasiat itu akan dianggap tidak sah jika abang-abang saudari tidak bersetuju terhadap pembahagiannya.

Namun begitu, wasiat bukanlah satu-satunya cara membahagikan harta pusaka. Satu lagi cara yang boleh saudari cadangkan kepada ahli keluarga ialah al-Wisoyah yang mana merupakan satu konsep amanah yang diperakui perundangan Islam.

Konsep amanah ini sama sahaja dengan konsep amanah (trust) undang-undang sivil. Apabila sesuatu harta atau kepentingan terhadap harta ini diletakkan di bawah jagaan pemegang amanah, maka harta atau kepentingan terhadap harta ini bukan lagi dikira sebagai harta pusaka.

Sebaliknya, pemegang amanah itu berhak sepenuhnya melaksanakan terma-terma yang ditetapkan dalam suratcara amanah tersebut.

Lagi pula, tidak ada sesiapa yang boleh membantah kehendak pemberi amanah apabila dia ingin melaksanakannya. Bapa saudari, selaku pemilik harta, mempunyai kebebasan sepenuhnya untuk membuat sebarang syarat bagi memastikan niatnya terlaksana. Kelebihannya pula, bapa saudari boleh mengubah syarat-syarat yang ditetapkan jika di aberubah fikiran kemudian hari.

Adalah elok sekiranya al-Wisoyah ini dibuat secara bertulis agar tidak menimbulkan kesulitan dan keraguan di kemudian hari. Silalah rujuk kepada badan-badan professional yang menyediakan perkhidmatan ini.

Nota:
Di Negara Lubnan dan Mesir yang menerima pakai mazhab Hanafi, Maliki, Shafie dan Hanbali dalam hal ehwal pembahagian wasiat, kini menerima pakai pendapat mazhab Jaafari yang membenarkan waris-waris mendapat bahagian dalam peninggalan wasiat, walaupun ahli waris yang lain tidak bersetuju. Tetapi mazhab Jaafari masih menetapkan had harta pusaka yang boleh diwasiatkan ialah satu pertiga sahaja .

Panel Peguam Sisters In Islam.

(Segala kemusykilan boleh dikemukakan kepada Sisters In Islam di alamat No. 7, Jalan 6/10, 46000, Petaling Jaya, Selangor, atau telefon ke Talian TeleNisa 03-77843733 pada hari Isnin, Khamis dan Jumaat atau e-mel: telenisa@sistersinislam.org.my This e-mail address is being protected from spam bots, you need JavaScript enabled to view it

Copyright | Privacy Policy | Contact Us | Sitemap