Promoting an understanding of Islam that recognises the principles of
justice, equality, freedom, and dignity within a democratic nation state

Wasiat elak perebutan harta
email to someone printer friendly


Soalan:

Saya terbaca Ruangan Keluarga & Undang-Undang bertarikh 1.6.2007 dan juga 30.11.2007. Kedua-dua artikel ini menyebut tentang pembahagian harta pusaka bagi orang Islam.

Apa yang menarik minat saya adalah bahagian berkenaan harta pusaka yang dibahagikan menurut wasiat. Di sini saya ingin mendapatkan penerangan tentang cara dan di mana saya boleh menulis surat wasiat.

Ahmad Mursyidi Yusof,
Kuala Lumpur.

Jawapan:

Wasiat sememangnya boleh disediakan oleh orang Islam yang mahu meninggalkan hartanya kepada orang tertentu selepas kematiannya. Dengan menulis wasiat, harta pusaka boleh diagihkan kepada pewaris mengikut keinginan arwah dan melalui cara yang betul. Arwah juga dapat menamakan pihak yang boleh dipercayai untuk menjaga kebajikan warisnya dalam wasiat tersebut.

Menurut kitab Mughnil Muhtaj tulisan As-Sheikh Muhammad Al-Khatib As-Syarbini, wasiat bermaksud “pemberian disandarkan atau dikaitkan sesudah mati iaitu pemberian tersebut diserahkan setelah pemberinya sudah mati.”

Empat rukun wasiat turut digariskan di dalam kitab berkenaan. Rukun-rukun tersebut adalah:

* Orang yang berwasiat;

* Orang yang diwasiatkan;

* Barang yang diwasiatkan; dan

* Sighah iaitu ijab dan kabul.

Menurut pandangan ulama-ulama Sunni, terdapat dua syarat yang perlu diikuti dalam menulis wasiat. Syarat pertama, harta yang diwasiatkan tidak boleh melebihi satu pertiga daripada jumlah keseluruhan harta arwah.

Mewasiatkan harta melebihi satu pertiga daripada jumlah keseluruhan harta pusaka hanya boleh dibuat jika waris-waris lain menyetujui kandungan wasiat tersebut.

Syarat kedua yang perlu dipenuhi dalam menulis wasiat pula adalah waris yang telah tersenarai sebagai penerima harta di bawah pembahagian faraid tidak boleh dinamakan sebagai penerima harta dalam wasiat.

Ini berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Abu Dawud dan Tarmidzi yang berbunyi: “Sesungguhnya Allah memberikan hak kepada masing-masing orang yang berhak menerimanya, oleh sebab itu tidak ada wasiat bagi ahli waris.”

Berkenaan cara membuat wasiat, saudara boleh mendapatkan khidmat nasihat Peguam Syarie yang boleh menulis wasiat untuk saudara berdasarkan terma-terma yang ditetapkan. Saudara juga boleh menamakan Peguam Syarie itu sebagai Pelaksana Wasiat untuk memastikan terma-terma wasiat saudara dilaksanakan dengan sebaik-baiknya.

Selain itu, saudara juga boleh ke Amanah Raya Berhad (ARB). Mereka ada menyediakan perkhidmatan nasihat serta bantuan untuk menulis wasiat berdasarkan prinsip syariah. Pihak ARB juga boleh dilantik sebagai Pelaksana Wasiat.

Perkhidmatan yang sama juga ada disediakan oleh Bank Muamalat dengan kerjasama ARB. Anda boleh ke Jabatan Pembangunan Konsumer, Tingkat 26, Menara Bumiputra, Jalan Melaka, 50100 Kuala Lumpur atau telefon kepada 03-26157096 untuk maklumat lanjut berkenaan perkhidmatan yang mereka sediakan untuk membuat wasiat.

Semoga panduan dan maklumat yang diberikan di atas dapat membantu saudara dan juga pembaca sekalian dalam hal berkenaan penulisan wasiat.

NOTA: Negara Mesir menerima pandangan Mazhab Jaafari yang membenarkan ahli waris menerima wasiat lebih daripada satu pertiga apabila semua waris bersetuju. Persetujuan ini tidak boleh ditarik balik, berbeza dengan pandangan mazhab Shafie, yang membenarkan persetujuan ini ditarik balik apabila pemberi wasiat meninggal dunia.

Panel Peguam Sisters In Islam.

(Segala kemusykilan boleh dikemukakan kepada Sisters In Islam di alamat No. 7, Jalan 6/10, 46000, Petaling Jaya, Selangor, atau telefon ke Talian TeleNisa 03-77843733 pada hari Isnin, Khamis dan Jumaat atau e-mel: telenisa@sistersinislam.org.my This e-mail address is being protected from spam bots, you need JavaScript enabled to view it

(Versi asal tidak diubah oleh editor Utusan Malaysia)

Copyright | Privacy Policy | Contact Us | Sitemap