Promoting an understanding of Islam that recognises the principles of
justice, equality, freedom, and dignity within a democratic nation state



Soalan:

Saya mempunyai sebuah rumah yang didaftarkan atas nama saya dan isteri. Rumah tersebut dibeli secara pinjaman bank dan kami masih lagi berhutang dengan bank berkenaan sehingga tahun 2020. Kami bercadang untuk memberikan rumah tersebut kepada anak perempuan kami yang berumur 17 tahun. Kami bimbang jika berlaku apa-apa kepada saya dan isteri, hidup anak perempuan kami nanti tidak terjamin.

Tetapi, bolehkah pemindahan nama ini dilakukan sedangkan rumah itu masih di bawah pinjaman bank?

Sophan Sofian
Pahang

Jawapan:

Apabila sesebuah rumah dibeli melalui pinjaman bank, sebagai jaminannya, pihak bank akan mensyaratkan pembeli mencagarkan rumah tersebut. Ini untuk melindungi pihak bank jika peminjam gagal membuat bayaran pada masa depan kelak.

Pada kebiasaannya, apabila adanya perjanjian cagaran, pemilik rumah tidak dibenarkan memindahmilik rumah tersebut tanpa kebenaran pihak bank. Seperti yang telah diterangkan, tujuannya untuk memberi jaminan kepada pihak bank terhadap wang yang telah dipinjamkannya.

Namun begitu, ada caranya untuk menjamin masa depan anak saudara. Kami di Sisters In Islam memahami niat saudara yang ingin melindungi anak perempuan saudara.

Salah satu cara pembahagian harta yang diiktiraf dalam Islam, tetapi kurang popular praktisnya ialah al-Wisoyah. Al-Wisoyah ini merupakan satu konsep amanah, sama dengan konsep amanah (trust) di bawah undang-undang sivil.

Apabila sesuatu harta atau kepentingan terhadap harta ini diletakkan di bawah jagaan pemegang amanah, maka harta atau kepentingan terhadap harta ini bukan lagi dikira sebagai harta pusaka.

Sebaliknya, pemegang amanah itu berhak sepenuhnya melaksanakan terma-terma yang ditetapkan dalam suratcara amanah tersebut.

Apa yang saudara dan isteri boleh lakukan ialah melantik seseorang atau institusi yang boleh dipercayai sebagai pemegang amanah kepada rumah tersebut bagi pihak anak saudara. Malah, saudara atau isteri saudara boleh menjadi pemegang amanah.  

Kerana rumah tersebut akan habis bayarannya pada tahun 2020, saudara boleh meletakkan syarat bahawa rumah tersebut akan dipindahmilik kepada anak saudara pada tahun 2020 nanti. Dengan syarat ini, pihak bank tentunya tiada bantahan kerana pertukaran pemilik hanya akan berlaku apabila bayaran pinjaman selesai. Tetapi, saudara perlu juga mendapatkan kebenaran pihak bank apabila membuat amanah ini.

Adalah elok sekiranya al-Wisoyah dibuat secara bertulis agar tidak menimbulkan kesulitan dan keraguan di kemudian hari. Kelebihan al-Wisoyah ini ialah, syarat-syaratnya boleh diubah jika saudara, sebagai pemberi amanah, bertukar fikiran kelak.  Silalah rujuk kepada badan-badan professional yang menyediakan perkhidmatan ini untuk membuat satu surat ikatan amanah yang sah di sisi undang-undang.   

(Segala kemusykilan boleh dikemukakan kepada Sisters In Islam di alamat No. 7, Jalan 6/10, 46000, Petaling Jaya, Selangor, atau telefon ke Talian TeleNisa 03-77843733 pada hari Isnin, Khamis dan Jumaat atau e-mel: telenisa@sistersinislam.org.my This e-mail address is being protected from spam bots, you need JavaScript enabled to view it

Copyright | Privacy Policy | Contact Us | Sitemap