Promoting an understanding of Islam that recognises the principles of
justice, equality, freedom, and dignity within a democratic nation state



Soalan:

Saya mempunyai persoalan tentang harta pusaka. Saya baru memeluk Islam lima bulan lalu tetapi keluarga saya masih menganut agama asal mereka. Hubungan saya dengan keluarga masih baik dan sebagai seorang yang suka merancang masa hadapan, saya ingin tahu tentang pembahagian harta pusaka bagi seorang Muslim kepada saudaranya yang bukan Islam. Bolehkah saya meninggalkan harta kepada ibubapa saya walaupun berlainan agama?

Sean Murad Abdullah
Klang

Jawapan:

Walaupun berbeda agama, talian darah tetap utuh. Tiada ada yang dapat memisahkan hubungan kekeluargaan saudara dan ibubapa.

Sememangnya jika mengikut sistem pembahagian faraid, saudara mara yang berlainan agama tidak tersenarai sebagai waris yang sah. Namun, harus diingat bahawa pembahagian secara faraid bukanlah satu-satunya cara pembahagian harta pusaka dalam Islam.

Melihat kepada persoalan saudara, kami ingin mencadangkan saudara merujuk kepada wasiat dan juga penyediaan suratcara amanah.

Surah al-Nisa ayat 11 menyatakan “…pembahagian itu ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayarkan hutangnya…”

Maka, jika ada wasiat, haruslah ditunaikan dahulu sebelum harta pusaka difaraidkan. Dalam isu pemberian wasiat, menurut pandangan ulama-ulama Sunni, dua syarat yang perlu diikuti ialah: (i) harta yang diwasiatkan tidak boleh melebihi 1/3 daripada jumlah harta si mati; dan (ii) tidak boleh diwariskan kepada waris yang tersenarai mengikut faraid.

Oleh itu, saudara boleh meninggalkan wasiat kepada ibubapa saudara sebanyak 1/3 daripada jumlah keseluruhan harta.

Manakala jika saudara mahu meninggalkan jumlah harta yang melebihi 1/3 kepada ibubapa, ataupun saudara mahu mencari alternatif lain, penyediaan al-Wisoyah atau surat cara ikatan amanah merupakan jalan penyelesaiannya.

Konsep amanah ini sama dengan konsep amanah (trust) undang-undang sivil. Apabila harta atau kepentingan terhadap harta ini diletakkan di bawah jagaan pemegang amanah, maka harta atau kepentingan terhadap harta ini bukan lagi dikira sebagai harta pusaka. Pemegang amanah berhak melaksanakan sepenuhnya terma-terma yang ditetapkan dalam suratcara amanah tersebut.

Tidak ada sesiapa yang boleh membantah kehendak pemberi amanah apabila dia ingin melaksanakannya. Selaku pemilik harta dan pemberi amanah, saudara mempunyai kebebasan sepenuhnya untuk membuat sebarang syarat bagi memastikan niat saudara terlaksana. Contohnya, jika saudara ingin meletakkan sebuah rumah sebagai amanah atas nama ibubapa saudara. Saudara boleh melantik seseorang atau pun satu institusi pemegang amanah seperti bank sebagai pemegang amanah. Saudara boleh juga menetapkan bahawa selama saudara masih hidup, saudara masih lagi boleh mendapat faedah daripada rumah tersebut. Faedah daripada rumah tersebut akan hanya dinikmati oleh ibubapa setelah saudara meninggal.  

Jika ada perubahan yang berlaku di masa hadapan, syarat-syarat dalam al-Wisoyah boleh saudara ubah.

Adalah penting wasiat dan al-Wisoyah dibuat secara bertulis untuk menangkis kesulitan dan keraguan. Saudara bolehlah merujuk kepada badan-badan professional dalam menyediakan dokumen-dokumen ini. 

(Segala kemusykilan boleh dikemukakan kepada Sisters In Islam di alamat No. 7, Jalan 6/10, 46000, Petaling Jaya, Selangor, atau telefon ke Talian TeleNisa 03-77843733 pada hari Isnin, Khamis dan Jumaat atau e-mel: telenisa@sistersinislam.org.my This e-mail address is being protected from spam bots, you need JavaScript enabled to view it

Copyright | Privacy Policy | Contact Us | Sitemap