Promoting an understanding of Islam that recognises the principles of
justice, equality, freedom, and dignity within a democratic nation state

Isteri boleh tuntut hutang atas harta pusaka bekas suami.
email to someone printer friendly


Soalan:

Bekas suami saya meninggal dunia pada bulan lepas dan ada meninggalkan harta seperti tanah kebun, rumah sewa, duit simpanan dan lain-lain. Tetapi arwah telah berkahwin lain dan mempunyai dua orang anak perempuan. Manakala bersama saya, kami dikurniakan seorang anak lelaki dan dua orang anak perempuan. Arwah ada berhutang dengan saya semasa dia masih hidup. Dia juga ada membuat pinjaman peribadi dan saya adalah penjaminnya. Saya tidak mahu dipertanggungjawabkan atas hutangnya, tambahan pula saya tidak berkemampuan untuk membayar pinjaman tersebut. Bolehkah saya menuntut harta pusakanya untuk membayar hutang-hutangnya? Selain itu, arwah bekas suami saya masih berhutang duit mas kahwin. Masih bolehkah saya tuntut mas kahwin tersebut?Marina Marjan
Perak.  

Jawapan:

Pihak kami mengucapkan takziah kepada puan sekeluarga. Semoga rohnya dicucuri rahmat Allah S.W.T.Secara lazimnya apabila ada ahli keluarga yang meninggal dunia, sudah tentu kita dihadapi dengan persoalan pembahagian harta pusaka. Daripada segi perundangan Islam, Malaysia secara amnya mengambil pendapat Mazhab Shafii.Menurut Mazhab Shafie harta peninggalan si mati ialah segala apa yang menjadi kepunyaan si mati di masa hidupnya kemudian ditinggalkan untuk waris-warisnya, sama ada berupa harta benda, hak kepunyaan. Begitu juga dengan apa yang dikerjakannya semasa hidup tetapi hasilnya diperolehi setelah ia mati. Pembahagian harta pusaka melalui sistem faraid merupakan cara biasa yang dipakai oleh umat Islam di Malaysia. Tetapi, sebelum harta si mati difaraidkan, ada beberapa perkara yang perlu diselesaikan terlebih dahulu.

Pertamanya, harta pusaka itu akan diguna untuk perbelanjaan urusan jenazah dan pengkebumian arwah. Kemudian, harta pusaka digunakan untuk melangsaikan segala hutang-piutang yang masih belum dibayar oleh arwah. Contohnya, jika masih ada hutang di bank, hutang sesama manusia, perlulah dibayar. Hutang arwah dengan puan dan pinjaman peribadinya wajib dilangsaikan. Puan haruslah menunjukkan dokumen-dokumen yang berkenaan supaya boleh dilampirkan dalam permohonan pembahagian harta nanti. Begitu juga dengan mas kahwin yang masih belum dijelaskan.  Setelah itu, waris-waris arwah haruslah memastikan jika ada wasiat yang ditinggalkan. Wasiat ini perlulah dipenuhi terlebih dahulu sebelum harta pusakanya dibahagikan mengikut faraid.   Akhir sekali, harta pusaka yang masih tinggal akan dibahagikan mengikut faraid.Pembahagian harta pusaka secara faraid adalah pembahagian di mana waris-waris yang berhak akan mendapat bahagian yang tertentu. Ini berdasarkan ayat 7 Surah An-Nisa yang bermaksud: “Bagi lelaki ada hak bahagian daripada harta peninggalan ibu bapa dan kerabatnya dan bagi wanita ada hak bahagian daripada harta peninggalan ibu bapa dan kerabatnya…”Anak-anak hasil daripada perkahwinan puan dan arwah merupakan waris yang sah. Bahagian mereka ialah pada kadar dua bahagian untuk anak lelaki dan satu bahagian anak perempuan. Permohonan mengenai harta pusaka adalah di bawah dua bidang kuasa perundangan iaitu di Mahkamah Syariah bagi memperolehi Sijil Faraid dan kemudiannya mendapatkan perintah pembahagian dari Mahkamah Tinggi atau Pejabat Pembahagian Pusaka Kecil. Untuk maklumat lanjut, puan boleh merujuk kepada:-

Biro Bantuan Guaman,
Tingkat 4, Blok A,
Bangunan Persekutuan  Ipoh,
Jalan Dato’ Ahmad Sahid,
(Greentown)
30450 Ipoh,
PerakTel: 05-2544027/2552240
Faks: 05-2556007              

Kesimpulannya, keluarga arwah haruslah mengambil kira akan hutang-hutang si mati sebelum membahagikan harta pusakanya. Sesungguhnya memberikan kepada yang hak adalah perlakuan seorang yang mukmin.

(Segala kemusykilan boleh dikemukakan kepada Sisters In Islam di alamat No. 7, Jalan 6/10, 46000, Petaling Jaya, Selangor, atau telefon ke Talian TeleNisa 03-77843733 pada hari Isnin, Khamis dan Jumaat atau e-mel: telenisa@sistersinislam.org.my This e-mail address is being protected from spam bots, you need JavaScript enabled to view it

Copyright | Privacy Policy | Contact Us | Sitemap