Promoting an understanding of Islam that recognises the principles of
justice, equality, freedom, and dignity within a democratic nation state

Berpoligami tanpa pengetahuan isteri
email to someone printer friendly


Soalan:

Baru-baru ini, saya dapat tahu bahawa suami saya sudah berkahwin lain. Dia langsung tidak pernah menyuarakan kepada saya keinginannya untuk berpoligami, apatah lagi meminta pendapat saya akan keputusannya untuk berkahwin lagi!

Di sini saya ingin mendapatkan kepastian, bolehkah suami saya mengahwini perempuan lain tanpa pengetahuan dan kebenaran saya. Bolehkah saya membawa sebarang tindakan mahkamah terhadap suami saya atas sebab ini?

Fatimatuzzahrah Mohd. Fahmy,
Sungai Buloh, Selangor.


Jawapan:

Fenomena suami yang berpoligami tanpa pengetahuan isteri asal amat kerap berlaku sekarang berikutan undang-undang syariah Malaysia yang tidak mengawal praktis poligami dengan ketat.

Undang-undang syariah Malaysia berkaitan poligami agak longgar. Mengikut perundangan Malaysia, poligami dibenarkan dengan beberapa syarat. Bagi lelaki yang ingin berpoligami di Selangor, dia perlu mendapatkan kebenaran bertulis daripada Mahkamah Syariah, menurut Seksyen 23 (1) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

Untuk membenarkan permohonan berpoligami, Mahkamah Syariah akan mempertimbangkan beberapa faktor. Menurut seksyen 23 (4), faktor-faktor yang dipertimbangkan termasuklah sebab poligami itu patut dan perlu, pendapatan suami, serta tanggungannya yang sedia ada dan yang bakal ditanggungnya. Suami yang ingin berpoligami perlu membuat satu ikrar mengandungi perkara-perkara tersebut.

Sama ada izin atau pandangan isteri asal terhadap perkahwinan poligami itu telah diperoleh juga merupakan salah satu perkara yang perlu diikrarkan oleh suami.

Walaupun keizinan isteri adalah faktor yang perlu dipertimbangkan oleh Mahkamah Syariah dalam memberi kebenaran berpoligami, ia sebenarnya bukan keperluan wajib. Dalam realiti, isteri hanya diminta menandatangani borang permohonan sahaja.

Tambahan pula, Seksyen 23 (5) yang menggariskan syarat-syarat berpoligami tidak menyenaraikan bahawa kebenaran isteri asal mesti sudah diperoleh. Yakni, kebenaran puan bukan faktor yang menentukan sama ada kebenaran berpoligami dikeluarkan oleh mahkamah atau tidak.

Berkemungkinan juga suami puan bukan sahaja berkahwin lain di luar pengetahuan puan, malah tanpa keizinan Mahkamah Syariah. Menurut Seksyen 23 (5), mahkamah hendaklah memanggil puan untuk memberi keterangan tentang permohonan suami puan untuk berpoligami.

Terdapat beberapa tindakan yang puan boleh ambil sehubungan dengan ini.

Suami puan telah melakukan kesalahan apabila dia berpoligami tanpa kebenaran bertulis daripada Mahkamah Syariah. Seksyen 124 dan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Selain itu, seksyen 23 (8) menyatakan suami puan secara serta-merta perlu membayar keseluruhan jumlah mas kahwin dan pemberian kepada puan, dan jika nilai tersebut tidak dibayar, puan boleh menuntut wang itu di Mahkamah Syariah.

Puan juga boleh membuat satu ta'liq tambahan yang meletakkan syarat-syarat tentang pembahagian hari, nafkah bulanan, harta sepencarian untuk melindungi hak-hak puan dan juga anak-anak nanti.


(VERSI ASAL)

Soalan:
Baru-baru ini, saya dapat tahu bahawa suami saya sudah berkahwin lain. Patutlah kebelakangan ini dia asyik keluar bekerja berhari-hari lamanya, kononnya berjumpa pelanggan. Rupa-rupanya, dia ke rumah isteri barunya! Perempuan mana yang tidak rasa tertipu. Dia langsung tidak pernah menyuarakan kepada saya keinginannya untuk berpoligami, apatah lagi meminta pendapat saya akan keputusannya berkahwin lagi!

Di sini saya ingin mendapatkan kepastian, bolehkah suami saya mengahwini perempuan lain tanpa pengetahuan dan kebenaran saya. Bolehkah saya membawa sebarang tindakan mahkamah terhadap suami saya atas sebab ini?

Fatimatuzzahrah Mohd Fahmy
Sungai Buloh, Selangor.

Jawapan:
Fenomena suami yang berpoligami tanpa pengetahuan isteri asal amat kerap berlaku sekarang berikutan undang-undang syariah Malaysia yang tidak mengawal praktis poligami dengan ketat.

Ini berbeza sekali dengan negara-negara Islam lain. Contohnya, undang-undang Negara Maghribi menetapkan monogami sebagai norma: suami yang ingin berpoligami perlu menunjukkan sebab yang benar-benar kukuh untuk berkahwin lagi semasa memohon kebenaran berpoligami di mahkamah. Dia juga perlu menjamin bahawa dia boleh menyara lebih daripada sebuah keluarga dan boleh berlaku adil dalam semua aspek kehidupan. Selain itu, isteri juga boleh memasukkan syarat perkahwinan yang menetapkan bahawa suaminya tidak boleh berpoligami.

Arab Saudi, Siria, Jordan, Lubnan dan Mesir adalah antara negara-negara Islam lain yang mana undang-undangnya menggalakkan amalan monogami.

Sebaliknya, undang-undang syariah di Malaysia berkaitan poligami adalah longgar. Mengikut perundangan Malaysia, poligami dibenarkan dengan beberapa syarat. Bagi lelaki yang ingin berpoligami di Selangor, dia perlu mendapatkan kebenaran bertulis daripada mahkamah syariah, menurut Seksyen 23 (1) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

Untuk membenarkan permohonan berpoligami, mahkamah syariah akan mempertimbangkan beberapa faktor. Menurut seksyen 23 (4), faktor-faktor yang dipertimbangkan termasuklah sebab poligami itu patut dan perlu, pendapatan suami, serta tanggungannya yang sedia ada dan yang bakal ditanggungnya. Suami yang ingin berpoligami perlu membuat satu iqrar mengandungi perkara-perkara tersebut.

Sama ada izin atau pandangan isteri asal terhadap perkahwinan poligami itu telah diperolehi juga merupakan salah satu perkara yang perlu diiqrarkan oleh suami.

Walaupun keizinan isteri adalah faktor yang perlu dipertimbangkan oleh mahkamah syariah dalam memberi kebenaran berpoligami, ia sebenarnya bukan keperluan wajib. Dalam realiti, isteri hanya diminta menandatangani borang permohonan sahaja. Malah, ada suami yang menyatakan bahawa isteri asal telah memberikan kebenaran kepadanya untuk berkahwin lagi dalam iqrarnya walaupun ini tidak benar.

Tambahan pula, Seksyen 23 (5) yang menggariskan syarat-syarat berpoligami tidak menyenaraikan bahawa kebenaran isteri asal mestilah sudah diperolehi. Yakni, kebenaran puan bukan faktor yang menentukan sama ada kebenaran berpoligami dikeluarkan oleh mahkamah atau tidak.

Berkemungkinan juga suami puan bukan sahaja berkahwin lain di luar pengetahuan puan, malah tanpa keizinan mahkamah syariah. Menurut Seksyen 23 (5), mahkamah hendaklah memanggil puan untuk memberi keterangan tentang permohonan suami puan untuk berpoligami. Memandangkan puan tidak pernah dipanggil ke mahkamah, suami puan mungkin tidak membuat permohonan untuk kebenaran berpoligami.

Malangnya, menurut undang-undang Malaysia, jika lelaki berpoligami tanpa mendapat kebenaran mahkamah dan melanggar undang-undang sekalipun, perkahwinan itu masih dianggap sah selagi ia dilangsungkan menurut hukum syara'. Mahkamah syariah juga boleh memerintahkan agar perkahwinan itu didaftarkan agar ianya sah di sisi perundangan. Ini berdasarkan Seksyen 23 (2), dan merupakan salah satu contoh kelonggaran perundangan syariah Malaysia dalam mengawal perkahwinan poligami.

Terdapat beberapa tindakan yang puan boleh ambil sehubungan dengan ini.

Suami puan telah melakukan kesalahan apabila dia berpoligami tanpa kebenaran bertulis daripada mahkamah syariah. Seksyen 124 mengenakan denda tidak melebihi RM1000.00 atau penjara tidak lebih daripada 6 bulan atau kedua-duanya sekali kepada suami yang melakukan kesalahan ini. Puan boleh membuat aduan terhadap suami puan di mahkamah syariah akan hal ini dan tindakan akan diambil ke atasnya apabila sabit kesalahan.

Selain itu, seksyen 23 (8) menyatakan bahawa jika suami puan berpoligami dengan tidak menurut undang-undang yang disebutkan di atas, dia secara serta-merta perlu membayar keseluruhan jumlah mas kahwin dan pemberian kepada puan, dan, jika nilai tersebut tidak dibayar, puan boleh menuntut wang itu sebagai hutang. Ini adalah tuntutan yang puan boleh buat di mahkamah syariah.

Kami turut menyarankan agar puan (juga boleh) membuat satu ta'liq tambahan yang meletakkan syarat-syarat tentang pembahagian hari, nafkah bulanan, harta sepencaraian dan perkara-perkara lain yang mungkin timbul akibat daripada perkahwinan poligami nanti untuk melindungi hak-hak puan dan juga anak-anak (nanti). Ta'liq tambahan sedemikian dibenarkan di bawah Seksyen 22 (1) Enakmen yang sama.

Panel Peguam Sisters In Islam.

(Segala kemusykilan boleh dikemukakan kepada Sisters In Islam di alamat No. 7, Jalan 6/10, 46000, Petaling Jaya, Selangor, atau telefon ke Talian TeleNisa 03-77843733 pada hari Isnin, Khamis dan Jumaat atau e-mel: telenisa@sistersinislam.org.my This e-mail address is being protected from spam bots, you need JavaScript enabled to view it

Copyright | Privacy Policy | Contact Us | Sitemap