Promoting an understanding of Islam that recognises the principles of
justice, equality, freedom, and dignity within a democratic nation state

Berbohong Untuk Berpoligami
email to someone printer friendly


Soalan:
Suami saya telah membuat permohonan untuk berpoligami di mahkamah syariah. Pihak mahkamah juga memberikan satu tarikh kepada saya untuk hadir di mahkamah. Tujuannya untuk mendapatkan pandangan saya sama ada suami saya layak berpoligami atau tidak. Saya tahu bahawa suami saya tidak mampu berpoligami. Duit gajinya hanya cukup-cukup untuk kami sekeluarga. Malah, dia sebenarnya berbohong kepada mahkamah tentang pendapatannya. Saya berharap agar mendapat panduan tentang apa yang perlu saya ketengahkan kepada mahkamah. Saya hanya mahukan keadilan kepada semua pihak.

Amylea Sinderella
Kuala Lumpur

Jawapan:
Poligami merupakan satu tanggungjawab, bukannya hak. Sebab itulah Allah berfirman bahawa keadilan merupakan faktor paling penting untuk berpoligami.

Kerajaan Malaysia amat mengambil berat persoalan keadilan ini. Undang-undang keluarga Islam tentang poligami telah dirangka supaya faktor keadilan dijadikan kayu pengukur bagi suami-suami yang berhasrat berpoligami. Justeru, dalam memberikan keizinan, mahkamah akan melihat kepada pelbagai sudut untuk menentukan aspek keadilan.

Selain melihat kepada kemampuan kewangan, mahkamah tentunya ingin melihat kepada keupayaan suami memberi layanan sama rata kepada semua isterinya. Malah, mahkamah juga akan menyiasat bahawa perkahwinan yang dicadangkan itu tidak akan menyebabkan darar syarie (bahaya yang menyentuh isteri mengenai agama, nyawa,  tubuh badan, akal fikiran, akhlak atau hartabenda mengikut kebiasaan yang diakui oleh hukum syara')  kepada isteri yang sedia ada. (Sila rujuk Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984, seksyen 23(4) perenggan (a), (b), (c) dan (d)).

Tentunya mahkamah memerlukan keterangan daripada isteri sedia ada untuk mendapatkan maklumat-maklumat ini. Ini merupakan peluang bagi isteri-isteri menyuarakan pandangan mereka berkenaan perkahwinan poligami suami mereka, kerana sudah tentunya isteri-isteri sedia ada akan terbabit sama dalam senario poligami ini.    

Malah, aspek keadilan adalah selaras dengan firman Allah berkaitan poligami.

Ayat-ayat al-Quran yang berkaitan dengan poligami ialah surah an-Nisa’ ayat 3:

Dan jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil terhadap anak-anak yatim, maka kahwinilah wanita-wanita yang kamu senangi, dua, tiga atau empat, tetapi jika takut tidak dapat berlaku adil (terhadap isteri-isteri), maka kahwinilah seorang sahaja … yang demikian itu adalah lebih dekat kepada tidak berbuat aniaya.

surah an-Nisa’ ayat 129:

Dan kamu sekali-kali tidak dapat berlaku adil di antara isteri-isteri, walaupun kamu sangat ingin berbuat demikian

Mengenai surah an-Nisa’ ayat 3, Maulana Muhammad Ali (The Holy Qur’an (Lahore 1973) nota kaki 535, dipetik dalam Asghar Ali Engineer The Rights of Women in Islam, ms 156) memberi ulasan berikut:

Adalah diakui bahawa surah ini telah diturunkan untuk memberi panduan kepada orang-orang Islam dalam keadaan selepas peperangan Uhud… dalam pertempuran tersebut, 70 orang lelaki Islam daripada bilangan 700 orang telah terkorban dan dengan itu bilangan kaum lelaki telah berkurangan dengan banyaknya, dan kaum lelaki itu merupakan golongan yang menyara kaum perempuan. Bilangan kaum lelaki mungkin akan berkurangan lagi di dalam pertempuran yang akan dihadapi selepas itu. Dengan demikian, ramai anak yatim menjadi tanggungan perempuan-perempuan balu yang menghadapi kesulitan untuk menyara diri mereka.      

Oleh itu, dalam ulasannya, kepentingan penjagaan anak-anak yatim menjadi keutamaan dalam isu poligami.  

Faktor kemampuan kewangan adalah antara perkara penting yang dilihat oleh mahkamah. Dalam kes Rajamah lwn. Abdul Wahab (1990) 7 JH 171, Jawatankuasa Ulang Bicara Syariah di Selangor telah membatalkan kelulusan permohonan poligami suaminya kerana mendapati suami tidak mampu dari segi kewangan.

Manakala dalam kes Aishah bte Abdul Rauf lwn. Wan Mohd Yusof bin Wan Othman [1990] 7 JH 152, Jawatankuasa Rayuan, Mahkamah Syariah, Selangor memutuskan bahawa empat syarat dalam seksyen 23(4) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 1984 di Selangor, sama dengan syarat-syarat di bawah seksyen 23(4) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984, perlu dipenuhi oleh setiap suami yang ingin berpoligami. (Syarat-syarat adalah seperti yang disebut di atas).

Jawatankuasa Rayuan dalam kes ini menyatakan bahawa keempat-empat syarat yang dikenakan tersebut tidak bertentangan dengan al-Qur’an. Tujuannnya untuk memastikan keadilan kepada pihak isteri yang dituntut sebagai wajib oleh al-Qur’an – di pangkal ayat surah an-Nisa’ membolehkan suami berpoligami, tetapi di hujung ayat menyekat poligami sekiranya suami tidak dapat berlaku adil.

Memberi keterangan palsu kepada mahkamah adalah satu kesalahan dan boleh dihukum. Tindakan suami puan berbohong mengenai pendapatannya akan mendatangkan masalah kepadanya. Ini juga menunjukkan peribadinya yang kurang elok dan kemungkinan besar tidak layak berpoligami.

Diharap, dengan hujah-hujah yang kami berikan dapat memberi panduan kepada puan nanti.  

(Segala kemusykilan boleh dikemukakan kepada Sisters In Islam di alamat No. 7, Jalan 6/10, 46000, Petaling Jaya, Selangor, atau telefon ke Talian TeleNisa 03-77843733 pada hari Isnin, Khamis dan Jumaat atau e-mel: telenisa@sistersinislam.org.my This e-mail address is being protected from spam bots, you need JavaScript enabled to view it

Copyright | Privacy Policy | Contact Us | Sitemap