Promoting an understanding of Islam that recognises the principles of
justice, equality, freedom, and dignity within a democratic nation state

Permohonan Ex-parte dalam Kes Hadhanah untuk Kepentingan Anak-anak
email to someone printer friendly

Soalan :

SIS, saya mempunyai dua orang anak yang masih kecil. Anak lelaki saya berumur lima tahun dan anak kedua saya berumur tiga tahun. Suami telah menceraikan saya dan perbicaraan mengenai kes kami masih belum selesai. Untuk pengetahuan SIS, suami saya adalah warganegara Yeman.  Apa yang menyedihkan saya, suami mengugut untuk mengambil anak-anak saya dan ingin membawa anak-anak ke luar negara. Suami juga berkeras mahu mengambil anak-anak selama tempoh kes kami dijalankan. Apakah yang perlu saya lakukan untuk mendapat hak penjagaan terhadap anak-anak saya? Saya buntu.

Ummi Farissa
Ampang

Jawapan :


Islam amat mengambil berat tentang penjagaan anak-anak atau hadhanah kerana pendidikan dan pembentukan sahsiah anak-anak itu perlu diberi perhatian oleh penjaga mereka. Secara amnya, apabila berlaku penceraian di antara suami dan isteri dan jika anak mereka belum lagi pandai memenuhi keperluan mereka sendiri atau belum mumaiyiz, maka ibulah yang paling layak mendapat hak penjagaan anak tersebut.

Hadis riwayat Abu Daud yang bermaksud:
“Seorang perempuan berkata, “Ya Rasulullah! Sesungguhnya ini adalah anak lelakiku, perutku ini yang mengandungnya, dadaku ini yang menyusuinya dan ribaku ini tempat dia berlingkar. Bapanya telah menceraikan aku dan menyangka dirinya berhak merampasnya dariku.” Maka Rasulullah s.a.w berkata, “Kamu adalah lebih baik berhak ke atasnya (penjagaan anak) selama mana kamu tidak berkahwin lain”.

Adalah disarankan bahawa puan memohon kepada mahkamah untuk satu permohonan hak jagaan sementara secara ex-parte sehingga kes hak jagaan anak kekal diputuskan di mahkamah. Permohonan ex-parte dalam kes hak jagaan anak atau hadhanah adalah apabila pihak pemohon membuat suatu permohonan di mahkamah Syariah secara sebelah pihak tanpa perlu menyampaikan notis permohonan kepada pihak yang satu lagi (responden) untuk mendapatkan hak penjagaan anak. Setelah mahkamah berpuas hati dengan keterangan dan permohonan yang difailkan oleh pemohon, mahkamah akan mengeluarkan perintah ex-parte.

Antara perkara yang perlu diambil perhatian ialah keadaan atau faktor yang membolehkan hadhanah dipohon secara ex-parte. Antara keadaan yang membolehkan permohonan ini adalah ditakuti anak boleh dilarikan ke luar negara. Seterusnya, keadaan yang menunjukkan bahawa ibu atau bapa anak tersebut murtad. Selain itu, jika ibu atau bapa anak tersebut rosak akhlaknya juga membolehkan permohonan perintah hadhanah secara ex-parte dilaksanakan. Perlu diingatkan bahawa perkara yang dititikberatkan oleh mahkamah ialah kebajikan dan kepentingan masa depan anak-anak tersebut.

Terdapat syarat-syarat dalam permohonan hadhanah secara ex-parte yang perlu dipertimbangkan oleh mahkamah. Puan perlu membuktikan kepada mahkamah bahawa permohonan itu dipohon disebabkan keadaan puan yang terdesak. Mahkamah akan melihat jika pemohon mengambil tindakan melalui proses biasa, haknya akan terjejas disebabkan faktor masa atau prosedur lain.

Selain itu, puan perlu menyegerakan permohonan ex-parte dan mengelakkan sebarang penangguhan. Perlu diingatkan bahawa perintah ex-parte ini adalah bersifat sementara. Pihak responden diberi hak untuk mengenepikan atau mengubahsuaikan perintah ex-parte ini atau mana-mana bahagian darinya dalam tempoh 14 hari dari tarikh perintah tersebut diterima.

Puan juga tidak perlu bimbang mengenai hak penjagaan mutlak terhadap anak-anak tersebut. Seksyen 81(1) Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 menyatakan bahawa tertakluk kepada seksyen 82 Akta tersebut, hak seorang ibu ke atas anaknya adalah melebihi hak bapa dalam hadhanah. Peruntukan ini terpakai sama ada ibu itu masih dalam perkahwinan dan juga selepas perkahwinannya dibubarkan. Seksyen 82 Enakmen tersebut merujuk kepada kriteria-kriteria kelayakan untuk sesuatu hak penjagaan. Kriteria-kriteria yang digariskan adalah penjaga itu seorang Islam, sempurna akalnya, kelayakan umur dan mampu memberi kasih sayang yang sewajarnya terhadap kanak-kanak tersebut dan berakhlak baik. Selain itu, peruntukan tersebut menggariskan bahawa penjaga hendaklah tinggal dikawasan yang tidak membawa pengaruh negatif terhadap anak-anak itu.

Keputusan mahkamah bergantung kepada fakta sesuatu kes. Penghakiman atau suatu perintah terhadap sesuatu kes boleh berubah melihat kepada keadaan yang menjurus kepada kebajikan dan kepentingan anak.

Diharap informasi dan maklumat di atas sedikit sebanyak dapat membantu puan dalam mendapat hak penjagaan terhadap anak-anak puan. Pihak kami mengalu-alukan sebarang pertanyaan atau kemusykilan mengenai perkara-perkara yang berkaitan.

Copyright | Privacy Policy | Contact Us | Sitemap