Promoting an understanding of Islam that recognises the principles of
justice, equality, freedom, and dignity within a democratic nation state

Anak Perempuan Berhak Mewarisi Kesemua Harta
email to someone printer friendly

Soalan :

Salam SIS, saya dan suami ada kemusykilan mengenai waris kepada harta-harta kami. Kami dianugerahkan tiga orang anak perempuan dan tidak mempunyai anak lelaki. Persoalannya, bolehkah kami mewariskan atau mewasiatkan kesemua harta kami kepada anak-anak perempuan kami tanpa mewariskan kepada mana-mana waris lelaki keluarga kami? Kami juga ingin memastikan bahawa tiada pencanggahan dalam Hukum Faraid terhadap pembahagian yang bakal dilaksanakan. Kami berharap SIS dapat membantu.

Ibubapa Prihatin
Melaka

Jawapan :


Perundangan Islam kaya dalam tatacara pembahagian harta. Pembahagian harta bergantung kepada cara dan peraturan pembahagiaannya dan berlandaskan Hukum Syara’ dan undang-undang. Antara cara yang boleh dilakukan adalah hibah atau hadiah, sedekah, wasiat dan pembahagian secara faraid.

Terdapat perbezaan pembahagian harta ketika puan dan suami masih hidup dan setelah meninggal dunia. Pembahagian harta ketika puan dan suami masih hidup boleh dilakukan melalui pemberian hibah  (pemindahan hakmilikan) dan mewasiatkan harta tersebut.

Manakala pembahagian harta selepas meninggal dunia atau pembahagian harta pusaka dilakukan secara faraid apabila tuan punya harta tidak membahagikan harta semasa hayatnya. Perlu dinyatakan bahawa faraid tidak akan terpakai sekiranya si mati, sebelum kematiannya, telah memindahkan harta bendanya kepada orang lain.

Jika puan dan suami ingin melaksanakan pemberian harta secara hibah, terdapat rukun yang harus dipenuhi. Rukun-rukun ini adalah lafaz ijab daripada pemberi hibah dan qabul daripada penerima hibah. Perlu juga ada ketentuan mengenai harta yang mahu dihibahkan. Untuk makluman puan dan suami, hibah perlu dilakukan semasa puan dan suami masih hidup.
Pemberian harta secara hibah dinyatakan  di dalam kitab I’annatul Taalbin, juzuk ketiga pada muka surat 168 telah diberi pengertian hibah seperti berikut:
“Hibah bererti memberi milik sesuatu barang yang mana mengikut kebiasaannya barang itu sah untuk dijual, atau diberi hutang kepada seseorang oleh ahli tabarru’ (orang yang suka membuat kebajikan) dengan tidak ada barang tukaran.”

Maka, puan dan suami boleh membahagikan harta-harta secara hibah dengan melakukan pemindahan hakmilikan harta-harta tersebut. Pemindahan hakmilikan adalah berdasarkan syarat dan prosedur yang telah ditetapkan oleh undang-undang di Malaysia. Contohnya, jika puan dan suami ingin memindah milik tanah kepada anak, pemindahan tersebut mestilah berdasarkan Kanun Tanah Negara.

Manakala pemberian harta secara wasiat adalah berlandaslan kepada empat rukun wasiat iaitu al musi (orang yang berwasiat), al-muso lahu (orang yang diwasiatkan), al-muso bihi (barang yang diwasiatkan) dan sighah iaitu ijab dan qabul.  Wasiat adalah suatu peluang yang diberikan oleh Allah SWT kepada umat Islam untuk meluaskan pembahagian harta pusaka yang mereka tinggalkan kepada orang-orang yang selain daripada orang yang ditentukan oleh Al-Quran dan Sunnah sebagai ahli waris atau kepada pihak-pihak tertentu yang pada pendapat mereka baik diberikan sebahagian harta mereka.

Di dalam isu pemberian wasiat, menurut pandangan ulama-ulama Sunni, terdapat 2 syarat yang perlu diikuti iaitu, syarat pertama ialah  harta yang diwasiatkan tidak boleh melebihi 1/3 dari jumlah harta si mati. Ini adalah berdasarkan pendapat ulama Sunni yang mendasarkan kesimpulan mereka daripada hadith Rasulullah s.a.w (diriwayatkan oleh Sunan Abu Dawud) yang telah menghadkan wasiat kepada satu pertiga.

Manakala syarat kedua adalah merujuk kepada wasiat harta tidak boleh diwariskan kepada waris yang telah tersenarai di dalam hukum faraid. Peraturan asas wasiat, ia hanya boleh diberikan kepada bukan waris. Anak adalah ahli waris, oleh itu merujuk nas, tidak boleh membuat wasiat kepada anak berkenaan. Riwayat Abu Daud, Rasulullah SAW bersabda bermaksud, “Sesungguhnya Allah mengurniakan hak kepada setiap yang berhak. Tidak harus wasiat untuk pewaris”.

Merujuk kepada soalan yang diajukan, puan dan suami ingin mewasiatkan semua harta kepada anak-anak perempuan kerana tiada anak lelaki. Merujuk kepada nas dan pendapat utama mazhab Syafie, wasiat sebegini hukumnya harus, tetapi tidak boleh dilaksanakan kecuali selepas mendapat persetujuan waris lain.

Hanya dengan persetujuan waris lain barulah wasiat itu boleh dilaksanakan. Perlu dinyatakan bahawa waris lain merujuk kepada ibu bapa, abang atau adik lelaki di mana mereka berhak melalui hukum faraid mendapat bahagian melalui pusaka puan dan suami. Maka, sama ada puan dan suami membuat wasiat semua harta atau 1/3 saja kepada anak perempuan saja, hukum asalnya sama seperti pendapat utama mazhab Syafie iaitu mendapat pesetujuan ahli waris lain seperti yang dinyatakan di atas.

Kesimpulannya, puan dan suami boleh mewariskan kesemua harta tersebut kepada anak-anak perempuan melalui hibah dengan pemindahan hakmilik harta-harta tersebut semasa puan dan suami masih hidup. Manakala, pemberian harta secara wasiat kepada anak-anak perempuan boleh dilakukan jika mendapat persetujuan daripada ahli waris yang lain.

Di harap penjelasan dan informasi yang diberikan dapat membantu puan dan suami. Untuk makluman lanjut puan dan suami boleh menghubungi secara terus melalui alamat dan website yang dinyatakan di bawah.

Copyright | Privacy Policy | Contact Us | Sitemap