Promoting an understanding of Islam that recognises the principles of
justice, equality, freedom, and dignity within a democratic nation state

Nafkah anak tanggungjawab bapa
email to someone printer friendly

Soalan :

SIS,

Saya sudah lama menduda dan mempunyai seorang anak lelaki yang kini dijaga oleh bekas isteri. Setiap bulan saya memberi RM600 sebagai nafkah anak, ini termasuklah simpanan melanjutkan pelajaran di universiti kelak. Baru-baru ini, saya telah berkahwin dengan seorang janda yang mempunyai 2 orang anak perempuan berumur 11 dan 10 tahun. Namun demikian, saya terkilan dengan sikap bekas suami isteri baru saya yang lepas tangan seolah-olah tanggungjawab menyara anak telah berpindah ke bahu saya. Setahu saya, tanggungjawab bapa ke atas anak tidak akan terputus. Apakah bentuk perintah pelaksanaan yang boleh diambil ke atas bekas suami isteri saya?

Azhari Hashim
Ipoh, Perak

Jawapan:

Hukum Syara’ menggariskan bahawa nafkah anak adalah hak mutlak anak. Tanggungjawab bapa membayar nafkah anak tidak terhapus hanya kerana ada orang lain yang boleh menyara anak-anaknya. Kepentingan nafkah bukan sekadar untuk memastikan anak-anak hidup dalam keadaan cukup serba-serbi. Nafkah turut berfungsi sebagai pengerat hubungan antara bapa dengan anak-anak kerana ia menunjukkan bahawa dia masih sayang dan mengambil berat akan kebajikan anak-anaknya, walaupun hubungan suami-isteri telah putus.

Kewajipan bapa membayar nafkah anak termaktub di bawah Seksyen 73 (1) Enakmen Keluarga Islam (Perak) 2004 [Enakmen Keluarga]. Seksyen ini menyatakan bahawa, melainkan terdapatnya perjanjian antara ibu bapa atau ada perintah mahkamah yang memperuntukkan sebaliknya, bapa wajib memberi nafkah kepada anak-anaknya sama ada mereka berada dalam jagaannya atau orang lain.

Untuk makluman saudara, isteri saudara boleh memohon perintah pelaksanaan di mahkamah supaya bekas suaminya membayar nafkah anak-anak demi mengatasi masalah yang dihadapi. Perintah ini bertujuan memastikan perintah nafkah yang telah dikeluarkan oleh mahkamah sebelum ini dipatuhi oleh bekas suami isteri saudara.

Merujuk kepada Seksyen 159 Enakmen Tatacara Mal (Perak) 2004 [Enakmen Tatacara], terdapat beberapa cara pelaksanaan perintah yang boleh dibuat:

(a) Perintah penyitaan dan penjualan di mana mahkamah boleh merampas dan menjual harta alih bekas suaminya, dan menyerahkan hasilnya kepada isteri saudara sebagai bayaran nafkah;

(b) Prosiding garnismen di mana mahkamah akan menahan dan menjual harta alih kepunyaan bekas suaminya yang berada dalam milikan atau kawalan pihak ketiga, atau menahan hutang yang perlu dibayar oleh pihak ketiga kepada bekas suaminya, dan hasilnya akan diberikan sebagai bayaran nafkah anak-anak;

(c) Perintah pengkomitan di mana mahkamah akan merampas mana-mana barang yang diperintahkan untuk diserahkan oleh bekas suaminya kepada iseri saudara dan menyerahkan barang tersebut sebagai bayaran nafkah anak-anak; dan

(d) Perintah penahanan pendapatan di mana mahkamah akan menahan dan memotong sebahagian daripada wang pendapatan bekas suaminya untuk diberikan kepada anak-anak sebagai nafkah.

Jenis pelaksanaan yang disenaraikan di atas adalah tindakan-tindakan yang akan diambil oleh mahkamah agar perintah bayaran nafkah dipatuhi oleh bekas suami. Isteri saudara boleh memilih kaedah pelaksanaan perintah yang difikirkan sesuai dan efektif terhadap bekas suami.

Seperkara lagi, merujuk Seksyen 147 Enakmen Tatacara, bekas suami wajib mematuhi perintah yang dikeluarkan oleh mahkamah. Perbuatan mengingkari perintah mahkamah merupakan satu penghinaan kepada mahkamah.

Untuk pengetahuan saudara, seksyen 74 (3) Enakmen Keluarga membenarkan saudara untuk menuntut sejumlah wang yang telah saudara gunakan untuk menyara anak-anak isteri daripada bekas suami isteri saudara. Untuk mengupas persoalan jangkamasa pemberian nafkah, seksyen 80 Enakmen Keluarga menyatakan tempoh masa perintah bagi nafkah anak. Seksyen tersebut manyatakan bahawa perintah nafkah adalah tamat apabila anak telah mencapai umur 18 tahun.

Walaubagaimanapun jika perintah dibuat bagi anak perempuan yang belum berkahwin, atau bagi anak yang tidak berupaya menanggung dirinya disebabkan oleh kecacatan otak atau jasmani, maka perintah itu tidak terhenti walaupun anak itu mencapai umur 18 tahun. Perintah melanjutkan pemberian nafkah juga boleh dilakukan untuk membolehkan anak itu mengikuti pelajaran atau latihan yang lebih tinggi. Menurut seksyen 76 Enakmen, Mahkamah boleh mengubah perintah nafkah anak jika berpuas hati bahawa sesuatu perubahan penting telah berlaku.

Copyright | Privacy Policy | Contact Us | Sitemap