Promoting an understanding of Islam that recognises the principles of
justice, equality, freedom, and dignity within a democratic nation state

Nafkah anak tanggungjawab bapa
email to someone printer friendly

Soalan :

SIS, ibu bapa saya telah berpisah sejak setahun lalu. Sejak berpisah bapa tidak pernah mempedulikan tentang anak-anaknya. Ibu terpaksa bekerja untuk menampung perbelanjaan rumah dan persekolahan kami adik beradik. Setahu saya walaupun ibu dan ayah telah bercerai tetapi tanggungjawab ayah untuk memberi nafkah kepada kami adik beradik tidak terhenti. Bolehkah SIS jelaskan dengan lebih lanjut

Anak terbiar
Kg. Baru KL

Jawapan :

Pertalian darah antara anak dan bapa tidak terputus meskipun sesuatu perkahwinan itu telah berakhir. Bapa tetap perlu menjalankan tanggungjawabnya untuk memberi nafkah kepada anak-anak sehingga tamat pengajian peringkat tertinggi dan mampu berdikari.

Sesungguhnya kewajipan bapa untuk memberi nafkah kepada anak-anak merupakan perkara yang jelas dan dinyatakan dalam perundangan Islam di Malaysia dan juga hukum syarak.

Kita boleh lihat kewajipan bapa memberi nafkah dengan merujuk kepada surah al-Baqarah ayat 223 yang bermaksud, “…dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada (ibu dan anaknya itu) menurut cara yang adil…”

Berdasarkan ayat inilah maka Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 memperuntukkan seksyen 72 yang menyatakan bahawa adalah kewajipan bapa untuk memberi nafkah kepada anak-anak, tidak kira sama ada anak-anak itu di bawah jagaannya atau orang lain. Seksyen ini juga menyatakan bapa perlu menyediakan tempat tinggal, pakaian, makanan, perubatan dan pelajaran atau sebagai gantinya, kos kepada perkara-perkara tersebut.

Manakala Seksyen 59(1) mentafsirkan nafkah sebagai “…tempat tinggal, pakaian, makanan, dan pelajaran sebagaimana yang munasabah memandang kepada kemampuan dan taraf kehidupannya atau dengan membayar kosnya.” Dalam menentukan kemampuan bapa pula, antara faktor-faktor yang akan dipertimbangkan oleh Mahkamah ialah pendapatan dan tanggungan lain bapa dan sebagainya.

Kita boleh merujuk kepada kes Mohamed v Selamah (1980) 2 JH 95, di mana ibu telah memohon nafkah anak-anak yang berusia 13 dan 9 tahun sebanyak RM90 sebulan bagi kedua-dua anaknya. Bapa menyatakan bahawa pendapatan beliau ialah RM120 sebulan. Mahkamah juga telah mendapati bahawa bapa tidak mempunyai tanggungan lain dan tinggal bersama ibubapanya yang menjaga makan minum bapa ini. Mahkamah telah memutuskan bahawa bapa membayar RM70 sebulan sebagai nafkah anak-anaknya. Ini merupakan 58% daripada pendapatan bulanan bapa.

Alasan bahawa bapa tidak bekerja tidak boleh digunakan bagi mengelak pembayaran nafkah. Nafkah merupakan hak seorang anak dan ia mestilah ditunaikan. Anak tidak boleh “dihukum” dengan mengurangkan nafkahnya apabila terjadi perceraian. Ini tidak adil bagi anak tersebut. Bapa haruslah berusaha untuk memberi yang terbaik kepada anaknya termasuklah jumlah nafkah yang adil.

Sesuatu kadar nafkah yang telah diperintahkan oleh Mahkamah tidaklah kekal dan boleh diubah. Ia boleh diubah mengikut kemampuan bapa dan anak-anak. Nafkah anak yang masih kecil tentunya tidak sama jika anak tersebut telah bersekolah. Justeru itu Seksyen 62 Enakmen menyatakan bahawa Mahkamah berkuasa untuk mengubah sesuatu perintah pembayaran nafkah jika sesuatu perubahan  telah berlaku.

Oleh itu jelaslah di sini bahawa bapa wajib memberi nafkah kepada anak-anaknya walaupun telah berlaku perceraian.

Copyright | Privacy Policy | Contact Us | Sitemap