Promoting an understanding of Islam that recognises the principles of
justice, equality, freedom, and dignity within a democratic nation state



Soalan:

Assalamualaikum,

Saya ingin meminta bantuan bagi mendapatkan hak penjagaan terhadap anak saya. Saya telah bercerai pada tahun 2006. Anak saya, lelaki, sekarang berumur 10 tahun. Saya masih menjaganya sehingga sekarang. Bapanya akan berjumpa dengan anak saya sekali-sekala dan tiada apa-apa masalah di situ. Malangnya, baru-baru ini bekas suami saya mahu anak saya tinggal dengan neneknya ( ibu bekas suami saya ) dan bersekolah di sana sehingga dia mengambil UPSR.

Dia telah memaksa anak saya membuat pilihan, dan anak saya sekarang sungguh tertekan.
Untuk pengetahuan, saya bekerja sebagai akauntan di syarikat swasta. Saya mampu menanggung anak saya, memberikan rumah, pakaian, pelajaran dll. Bekas suami saya hanya memberikan RM300 sebulan dan sejak 3 bulan lepas hanya RM 150 sebulan, tetapi saya tidak menuntut apa-apa dari dia. Dia juga duduk menyewa dengan rakan-rakannya dan telah beberapa kali bertukar kerja.

Sekiranya pihak bekas suami mendesak untuk mengambil anak saya, saya mahu menuntut hak penjagaan rasmi. Apakah yang harus saya buat?

Terima kasih.

Puan Su
Bukit Cerakah


Jawapan:

Terima kasih kerana sudi merujuk masalah puan kepada kami di SIS. Di sini, kami berharap agar penerangan kami akan dapat membantu puan dalam membuat sebarang keputusan. Isu utama yang puan utarakan ialah hak penjagaan dan nafkah anak.

Hak Penjagaan anak atau ‘hadhanah’ adalah menjaga, mengasuh, mendidik anak-anak yang masih kecil sama lelaki atau perempuan yang belum mumaiyiz. Skop penjagaan anak ini adalah termasuk menyediakan sesuatu yang menjadi kebaikannya, menjaganya dari sesuatu yang menyakiti dan merosakkannya, mendidik jasmani, rohani dan akalnya.

Ibu kanak-kanak itu berhak menjaga sama ada dalam masa masih suami isteri atau selepas penceraian. Merujuk kepada amalan Akta atau Enakmen Undang-undang Keluarga Islam di negara ini, secara amnya hak penjagaan anak yang belum mumaiyyiz diserahkan kepada ibunya.

Sehubungan dengan ini, seksyen 82 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Selangor), 2003  memperuntukan bahawa, tertakluk kepada Seksyen 83, ibu adalah yang paling berhak dari segala orang bagi menjaga anak kecilnya dalam masa ibu itu masih dalam perkahwinan dan juga selepas perkahwinannya dibubarkan. Peruntukan ini sama juga telah diperuntukan dalam Enakmen Undang-undang Keluarga Islam bagi Negeri-negeri di Malaysia.

Dalam situasi puan pada masa sekarang, tidak dinafikan bahawa puan telah memenuhi syarat-syarat kelayakan untuk menjalankan hak terhadap hadhanah berbanding dengan bekas suami puan yang masih belum mempunyai kedudukan yang stabil dari segi kewangan.

Perkara seperti keadaan emosi anak iaitu sama ada akan terganggu jika tinggal berasingan dengan ibu atau bapa, persekolahan dan faktor umur akan dipertimbangkan oleh Mahkamah. Ini kerana, sudah menjadi lumrah bahawa anak yang masih kecil memerlukan perhatian daripada ibunya lebih daripada bapanya. Jadi, sedikit sebanyak faktor ini juga akan mempengaruhi keputusan Mahkamah.

Dalam menentukan hak penjagaan anak ini, ada beberapa perkara yang akan diteliti oleh Mahkamah. Ia akan meneliti karektor ibu dan bapa, sama ada akan memberi pengaruh yang buruk ataupun tidak kepada pembentukan peribadi anak. Tetapi perkara utama yang akan diteliti oleh Mahkamah ialah kebajikan anak itu sendiri. Ini ditekankan dalam seksyen 87 Enakmen tersebut yang menyatakan bahawa dalam membuat perintah tentang hak penjagaan anak, pertimbangan yang utama adalah kebajikan anak itu.

Puan boleh membuat permohonan hadhanah di Mahkamah Tinggi Syariah melalui Notis Permohonan dan Affidavit Sokongan merujuk kepada Enakmen Tatacara MAL (Negeri Selangor) 2003.

Permohonan puan haruslah didaftarkan di mahkamah tersebut untuk tindakan selanjutnya. Adalah dinasihati agar melantik seorang peguam syarie untuk membantu puan agar permohonan akan berjalan dengan lancar.

Sebarang pertanyaan lanjut, puan boleh menghubungi pihak kami atau Pusat Bantuan Guaman yang beralamat di:
Pusat Bantuan Guaman Negeri Selangor
Tingkat 6, Plaza Perangsang Persiaran Perbandaran
40000 Shah Alam Selangor.
T: 03-55106192/55106298
F: 03-55190846

(Segala kemusykilan boleh dikemukakan kepada Sisters In Islam di alamat No. 7, Jalan 6/10, 46000, Petaling Jaya, Selangor, atau telefon ke Talian TeleNisa 03-77843733 pada hari Isnin, Khamis dan Jumaat atau e-mel: telenisa@sistersinislam.org.my)

Copyright | Privacy Policy | Contact Us | Sitemap