Promoting an understanding of Islam that recognises the principles of
justice, equality, freedom, and dignity within a democratic nation state

Hak Suami dan Isteri dalam Harta Sepencarian
email to someone printer friendly

Soalan :

Keputusan cerai antara saya dan bekas isteri telah di sahkan oleh Mahkamah Syariah di sini. Salah seorang Pegawai Sulh telah menyarankan bahawa saya dan bekas isteri untuk menjalani kaedah Sulh dalam menyelesaikan tuntutan bersama yang dipohon oleh kami. Antara tuntutan yang dituntut ialah harta sepencarian, nafkah dan hak penjagaan anak-anak kami. Namun begitu, bekas isteri menyatakan saya tidak ada hak langsung dalam menuntut harta sepencarian. Adakah perkara ini benar? Dan bukan niat saya untuk lepas tanggugjawab terhadap bekas isteri dan anak-anak. Saya hanya perlukan kepastian. Semoga jawapan yang diberi dapat dikongsi bersama dengan pembaca yang lain terutamanya para suami. Tolong beri penjelasan kepada saya.

Zulkamal
Seksyen 13, Shah Alam

Jawapan :

Perkahwinan boleh dianggap sebagai satu usahasama antara suami dan isteri. Namun, ada rumahtangga yang dibina bermasalah dan tidak berpanjangan. Masalah ini boleh timbul daripada pelbagai punca sama ada disebabkan faktor keadaan atau kesesuaian dalam menyempurnakan tanggungjawab dan peranan masing-masing.

Walaupun perkahwinan tersebut putus di tengah jalan, Islam sebagai agama yang adil telah menetapkan hak-hak yang wajib dituntut atau diterima bagi mengimbangi kehidupan hamba-hambanya. Hak-hak yang dimaksudkan khususnya selepas sesuatu penceraian adalah seperti harta sepencarian, nafkah iddah isteri, mutaah, nafkah anak-anak, hak penjagaan anak dan lain-lain.

Isu mengenai harta isteri dan harta suami masih lagi tidak jelas kedudukannya lebih-lebih lagi dalam hal pembahagian harta sepencarian. Secara amnya, harta sepencarian pada asalnya diambil daripada adat resam Melayu yang telah diterimapakai oleh masyarakat setempat. Penerimaan adat resam ini menurut perspektif Islam menyatakan bahawa apabila sesuatu adat atau uruf diakui kebaikannya dan telah diberi pengiktirafan undang-undang, kedudukannya tidak lagi sebagai adat, tetapi telah menjadi suatu peraturan atau perundangan yang mesti diikuti dan dikuatkuasakan. 

Harta sepencarian berdasarkan Hukum Syara’ ditafsirkan sebagai pemerolehan harta sepanjang tempoh perkahwinan sama ada membabitkan harta alih atau tak alih dan pihak yang memberi sumbangan sama ada secara langsung atau tidak langsung.  Maka, pembahagian harta sepencarian menunjukkan pengiktirafan Syara’ terhadap hak, habuan dan pemilikan pihak berusaha mendapatkan harta itu sepanjang perkahwinan. Pembahagian itu dibuat bersandarkan kemaslahatan pihak atas prinsip keadilan dan hak.

Tuntutan terhadap harta sepencarian bukanlah dihadkan kepada isteri saja, malah suami juga berhak menuntut harta sepencarian daripada isteri. Jika diteliti tafsiran ini, ia menunjukkan bahawa harta yang sama-sama diperolehi oleh suami isteri, bukannya harta yang diperolehi oleh isteri sahaja ataupun harta yang diperolehi oleh suami sahaja.

Manakala dari perspektif undang-undang, seksyen 122(1) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Selangor) 2003 memperuntukan bahawa mahkamah mempunyai kuasa apabila membenarkan lafaz talak atau apabila membuat suatu perintah perceraian untuk memerintah supaya aset yang diperoleh dalam masa perkahwinan dengan usaha bersama dibahagikan antara mereka atau supaya aset yang diperoleh pihak itu dalam masa perkahwinan dengan usaha bersama mereka dibahagikan antara mereka atau supaya mana-mana aset itu dijual dan dibahagikan antara pihak-pihak itu. Manakala seksyen 122(2) merujuk kepada faktor-faktor yang diambilkira oleh mahkamah dalam permbahagian harta sepencarian tersebut. Antara perkara yang ambilkira oleh mahkamah adalah:
•    Takat sumbangan yang dibuat tiap-tiap satu pihak dalam bentuk wang, harta, atau kerja bagi memperoleh aset itu;
•    Apa-apa yang terhutang oleh salah satu pihak yang telah dilakukan bagi manfaat bersama mereka;
•    Keperluan anak yang belum dewasa daripada perkahwinan itu, jika ada.

Tertakluk kepada seksyen 122(2), mahkamah juga boleh memerintahkan supaya aset itu dijual dan hasil jualan dibahagikan sama rata antara kedua pihak sebagaimana dinyatakan dalam seksyen 122(3). Manakala seksyen 122(4), mahkamah dengan kuasa yang ada boleh membahagikan aset itu atau hasil jualan mengikut apa-apa kadar yang difikirkan munasabah, tetapi walau bagaimanapun, pihak yang memperoleh aset itu dengan usahanya hendaklah menerima suatu kadar yang lebih besar.

Oleh itu, walaupun harta itu atas nama isteri sahaja, tetapi jika saudara berjaya membuktikan kepada mahkamah bahawa saudara juga ada menyumbang terhadap harta tersebut, maka mahkamah akan memutuskan bahawa itu adalah harta sepencarian. Merujuk Kitab At-Turuq al-Hukmiyah karya Ibnu Qayyim al-Juziyyah mengatakan, dalam tuntutan suami isteri membabitkan harta sepencarian, tuntutan hendaklah berdasarkan keterangan pihak yang membuktikan tuntutan itu. Kenyataan mengenai hak terhadap harta sepencarian bukan hanya diambilkira berdasarkan nama harta itu didaftarkan semata-mata sedangkan pihak satu lagi mungkin menyumbang cuma namanya tiada dalam daftar hakmilik harta itu.

Namun begitu, Hukum Syarak menetapkan bahawa suami tidak ada hak ke atas harta mutlak isteri, contohnya harta isteri yang diperolehi melalui harta pusaka daripada keluarganya. Selain itu, harta-harta perseorangan yang dibeli sebelum perkahwinan dan harta-harta tersebut tidak diusahakan bersama sepanjang tempoh perkahwinan juga bukan harta sepencarian. Saudara juga perlu memastikan bahawa harta-harta itu adalah harta perolehan bersama dan bukan hadiah atau hibah yang dihadiahkan kepada bekas isteri. Oleh itu, saudara tidak boleh menuntut hadiah yang telah diberikannya kepada bekas isteri sebagai harta sepencarian.

Menurut satu hadis yang diriwayatkan oleh al-Tirmizi dan al-Hakim yang bermaksud:

“Tidak halal bagi seseorang menuntut balik sesuatu pemberian atau barang yang telah dihibahkannya kepada orang lain kecuali dia adalah ayah yang mana ayah boleh menuntut balik ke atas pemberian yang diberikan kepada anaknya.”

Diharap segala penjelasan dan informasi yang diberi dapat membantu saudara dalam memahami konsep hak dan pembahagian harta sepencarian. Perlu diberi perhatian bahawa Hukum Syara’ dan undang-undang ini bertujuan untuk memelihara kedua-dua hak suami dan isteri. Selanjutnya, pihak kami mengalu-alukan sebarang pertanyaan atau kemusykilan mengenai perkara-perkara berkaitan.

Copyright | Privacy Policy | Contact Us | Sitemap