Promoting an understanding of Islam that recognises the principles of
justice, equality, freedom, and dignity within a democratic nation state

Elak Harta Pusaka Jatuh Ke Tangan Yang Salah
email to someone printer friendly

Soalan:

Saya seorang wanita berkerjaya berumur 47 tahun. Saya tidak berkahwin dan tinggal bersama ibu dan seorang anak angkat perempuan berumur 8 tahun. Tiga bulan yang lepas, saya telah didiagnos dan telah disahkan mengidap penyakit kanser. Doktor memberi saya anggaran tempoh hayat selama enam bulan ke satu tahun. Persoalan saya adalah mengenai isu pembahagian harta selepas saya meninggal dunia kelak. Untuk pengetahuan Sisters, bapa saya masih hidup dan saya merupakan anak tunggal. Namun,  kami tidak mempunyai perhubungan yang baik. Bapa telah meninggalkan ibu semasa saya masih kecil. Saya tidak mahu harta saya dibahagikan kepada bapa yang tidak bertanggungjawab atau adik-beradik tiri yang langsung tidak pernah mengambil peduli tentang saya atau ibu selama ini. Bagaimanakah saya boleh memastikan ibu dan anak angkat saya akan menerima harta peninggalan saya sepenuhnya.

Ummi Kalsom
Perlis Indra Kayangan

Jawapan:

Pembahagian harta pusaka bertujuan untuk memberikan kepada yang berhak dan untuk membantu waris yang ditinggalkan. Syarak telah menetapkan apabila seseorang itu meninggal, hartanya akan dibahagikan mengikut pembahagian faraid. Pembahagian harta secara faraid adalah salah satu cara pembahagian harta di dalam Islam. Ayat-ayat 7, 11, 12 dan 176 dalam surah al-Nisaa’ menggariskan panduan berkenaan waris-waris yang berhak dan juga bahagian-bahagian yang harus diperoleh setiap waris.
Merujuk kepada kitab Mughil Muhtaj tulisan As-Sheikh Muhammad Al-Khatib As-Syarbini yang telah menyatakan bahawa antara perkara yang perlu diselesaikan ke atas harta si mati adalah zakat yang belum ditunaikan, barang-barang gadaian yang belum ditebus, hutang si mati ke atas harta yang ditinggalkan, harta sepencarian, wakaf, nazar, hibah yang telah sempurna rukunnya tetapi belum dipindah milik, perbelanjaan pengebumiannya, hutang dan wasiat.
Setelah diselesaikan perkara-perkara tersebut barulah baki harta itu dibahagikan menurut hukum faraid.

"Di dalam kitab tersebut wasiat telah ditafsirkan sebagai pemberian disandarkan atau dikaitkan sesudah mati iaitu pemberian tersebut diserahkan setelah pemberiannya sudah mati."

Pemberian wasiat orang Islam boleh diberikan dengan kadar tidak melebihi 1/3 bahagian sahaja. Wasiat yang melebihi kadar 1/3 adalah tidak berkuatkuasa kecuali mendapat persetujuan ahli waris yang lain atau kadar tersebut mesti dikurangkan sehingga sekadar 1/3 sahaja. Hukum Syarak juga telah menetapkan bahawa penerima harta pusaka melalui wasiat ini adalah seseorang yang tidak disenaraikan sebagai ahli waris.

Legaliti dan legitimasi wasiat adalah berpandukan firman Allah s.w.t dalam surah Al-Baqarah, ayat 180 yang bermaksud “ di wajibkan ke atas kamu, apabila seseorang di atas kamu kedatangan tanda-tanda kematian, jika dia meninggalkan harta yang banyak, berwasiat lah untuk ibu dan bapa dan karib kerabatnya secara ma’ruf. Ini adalah kewajipan atas orang yang bertakwa”


Merujuk kepada soalan saudari iaitu mengenai pembahagian harta kepada anak angkat. Anak angkat saudari bukanlah seorang waris yang tersenarai dalam hukum faraid. Oleh itu, saudari bolehlah mewasiatkan harta-harta saudari yang nilainya tidak melebihi satu pertiga (1/3) nilai jumlah keseluruhan kepada anak angkat tersebut.

Manakala, bahagian untuk  ibu saudari ditetapkan melalui pembahagian harta secara faraid.  Secara amnya, nisbah pembahagian harta pusaka menurut hukum faraid secara lazimnya ditentukan oleh Mahkamah Syariah melalui suatu sijil faraid dalam setiap kes.

Manakala kaedah kedua adalah melalui pemberian harta tersebut secara hibah. Hukum Syarak menetapkan tiga rukun yang mesti dipatuhi dalam pemberian harta secara hibah. Rukun-rukun tersebut adalah seperti berikut:-
1. pihak-pihak di bawah perjanjian hibah yakni pemberi hibah (wahib) dan penerima hibah (mawhub lahu),
2. lafaz terhadap hibah tersebut (merangkumi perjanjian atau pengakuan)
3. barang atau harta yang dihibahkan itu (mawhab).

Saudari boleh memperuntukan harta tersebut kepada ibu dan anak angkat saudari melalui kaedah hibah tersebut. Hibah boleh disempurnakan semasa saudari masih hidup, berbeza dengan wasiat di mana ia sempurna dari segi perlaksanaannya apabila pemberi wasiat meninggal dunia. Oleh itu, saudari bolehlah memindahkan harta-harta tersebut kepada ibu atau anak angkat semasa hayat saudari masih ada secara hibah seperti yang telah dinyatakan di atas.

Proses pindahmilik harta-harta tersebut ini boleh dilakukan dalam beberapa cara. Contohnya, jika saudari memiliki harta seperti tanah, saudari boleh memindahkan rumah tersebut kepada nama ibu menerusi prosedur di bawah Kanun Tanah Negara 1965. Melalui proses ini, waris-waris saudari yang lain tidak akan berhak langsung kepada harta benda saudari kelak.

Sebarang maklumat lanjut, saudari boleh menghubungi pihak kami. Sekiranya saudari masih tidak jelas berkenaan prosedur perceraian ini, dinasihatkan agar mendapatkan khidmat guaman sama ada Biro Bantuan Guaman atau Pusat Bantuan Guaman atau mana-mana peguam syarie bagi mendapatkan nasihat berhubung dengan prosedur tersebut.

Copyright | Privacy Policy | Contact Us | Sitemap