Promoting an understanding of Islam that recognises the principles of
justice, equality, freedom, and dignity within a democratic nation state

Bapa Rogol Anak Masih Sah Jadi Wali?
email to someone printer friendly


Soalan:

Saya bakal melangsungkan perkahwinan dengan pemuda pilihan sendiri pada bulan Mac tahun hadapan. Saya difahamkan bahawa di dalam Islam, seseorang perempuan yang mahu berkahwin perlu diwalikan oleh bapanya.   Soalan saya adalah mengenai kesahan wali bapa saya. Ini adalah kerana bapa pernah merogol saya berulang-kali sehingga saya terpaksa lari dari rumah masih layak untuk menjadi wali? Adakah cara lain untuk saya bernikah tanpa diwalikan oleh bapa?

Angah
Kuala Lumpur

Jawapan:

Hukum Syarak telah menggariskan bahawa wali adalah salah satu syarat yang terdapat di dalam rukun nikah.  Tidak sah sesuatu perkahwinan jika ketiadaan salah satu rukun-rukun nikah tersebut. Manakala undang-undang Syariah di Malaysia memperuntukan seseorang wali di dalam perkahwinan Islam adalah perlu bagi memastikan perkahwinan tersebut diiktiraf dan boleh didaftarkan. Wali atau wali nasab (keturunan) merujuk kepada bapa sebagai wali  mujbir dan wali  aqrab  yang mempunyai kedudukan teratas dalam senarai wali nasab. Wali-wali yang lain (senarai selepas bapa seperti datuk sebelah bapa, abang dan bapa saudara saudara selepas dan seterusnya) tidak berhak menikahkan anaknya sekiranya wali mujbir seperti bapanya atau datuknya masih hidup  dan cukup syarat-syaratnya menjadi wali.

Secara amnya, jumhur fuqaha berpendapat bahawa syarat-syarat kelayakan wali adalah merujuk kepada sempurna akalnya, seorang dewasa dan beragama Islam.

Namun, terdapat beberapa pengecualian kelayakan wali seperti wali fasik. Mengikut pendapat Mazhab Syafi’e dan Hambali wali fasik tidak boleh atau tidak sah menjadi wali nikah. Perkara ini berdasarkan sebuah hadith dari Ibnu Abbas bahawa Rasulullah saw bersabda, “Tidak sah nikah melainkan wali yang adil dan ada saksi yang adil”.  (Riwayat Ahmad)

Apa yang dimaksudkan dengan adil ialah seseorang itu berpegang kuat (istiqamah) kepada ajaran Islam, menunaikan kewajipan agama, mencegah dirinya melakukan dosa-dosa besar seperti berzina, minum arak, menderhaka kepada kedua-dua ibu bapa dan sebagainya serta berusaha tidak melakukan dosa-dosa kecil.

Sebagai bapa yang sepatutnya menjaga maruah anak perempuannya tetapi, beliau sendiri mencemar kesucian anak sendiri. Maka, dapat dinyatakan di sini bahawa bapa saudari tidak berhak untuk menjadi wali. Namun yang demikian,  saudari boleh merujuk perkara ini kepada pejabat agama berdekatan untuk menentukan keesahan status bapa saudari sebagai wali. Ini adalah kerana pihak tersebut mempunyai bidang kuasa mengenai perkara tersebut.

Walaubagaimanapun, saudari boleh melangsungkan pernikahan saudari dengan berwalikan wali aqrab yang lain seperti datuk, abang atau bapa saudara mengikut susunan wali yang telah digariskan oleh Hukum Syarak.  Selain itu, seperti yang dinyatakan di atas, saudari boleh memohon kepada Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk memohon wali hakim/ wali raja dalam perkahwinan tersebut.

Merujuk kepada seksyen 13 Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 memperuntukan bahawa sesuatu perkahwinan adalah tidak diakui dan tidak boleh didaftarkan di bawah Akta tersebut melainkan jika wali perempuan tersebut bersetuju terhadap perkahwinan itu. Seksyen tersebut juga memperuntukan bahawa Hakim Syariah mempunyai bidang kuasa untuk memberi persetujuan untuk menggunakan wali raja terhadap perkahwinan itu mengikut Hukum Syarak. Namun, persetujuan tersebut boleh diberi jika pihak perempuan tiada mempunyai wali nasab mengikut Hukum Syarak. Persetujuan itu diberikan selepas penyiasatan yang wajar dilakukan mengenai perkara tersebut.

Oleh itu, saudari boleh memohon kepada mahkamah untuk mengunakan wali hakim atau wali raja. Perkara ini telah dinyatakan di dalam sebuah hadith, yang mana Aishah berkata Nabi Muhammad SAW pernah bersabda bahawa: “Tiada ada perkahwinan kecuali berwali dan pemerintah adalah wali bagi orang yang tidak berwali” (Ibn Majah Sunan, Karachi, mukasurat 135)

Untuk sebarang maklumat lanjut mengenai perkara ini, saudari boleh merujuk perkara ini di mana-mana pejabat agama terdekat. Saudari juga boleh merujuk kepada Biro Bantuan Guaman Wilayah Persekutuan mengenai prosedur undang-undang.

(Segala kemusykilan boleh dikemukakan kepada Sisters In Islam di alamat No. 7, Jalan 6/10, 46000, Petaling Jaya, Selangor, atau telefon ke Talian TeleNisa 03-77843733 pada hari Isnin, Khamis dan Jumaat atau e-mel: telenisa@sistersinislam.org)

Copyright | Privacy Policy | Contact Us | Sitemap