Promoting an understanding of Islam that recognises the principles of
justice, equality, freedom, and dignity within a democratic nation state

Daftar nikah elak penganiayaan
email to someone printer friendly

Soalan:

Saya telah bernikah pada 1998 dan mempunyai lima orang anak. Suami masih belum membuat pendaftaran pernikahan walaupun telah berkali-kali saya minta.

Pernikahan ini tidak diketahui oleh isteri pertama dan sebab itulah suami enggan mendaftar. Masalah saya kini, suami sudah lama tidak memberikan nafkah kepada saya sekeluarga.

Bagaimana saya nak buat tuntutan nafkah ini? Adakah saya perlu mendaftarkan pernikahan terlebih dahulu?

Leen Juwita,
Kuala Lumpur.


Jawapan:


Sikap pihak-pihak yang meremehkan pendaftaran pernikahan, lebih-lebih lagi dalam pernikahan poligami, haruslah dihapuskan. Sikap ini bukan sahaja menganiaya kaum wanita, malah anak-anak juga menanggungnya.

Seperti dalam kes puan ini, untuk menuntut hak yang telah diberikan oleh undang-undang, pendaftaran pernikahan perlu dilakukan terlebih dahulu.

Menurut Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984, apabila pihak-pihak yang bermastautin di Wilayah Persekutuan bernikah maka menjadi kewajipan mereka untuk mendaftarkan pernikahan tersebut. Ini adalah seperti yang termaktub di seksyen 25 Akta. Hanya dengan pendaftaran barulah Sijil Perakuan Nikah akan dikeluarkan oleh Pendaftar.

Seksyen 31 pula memberikan tempoh masa selama enam bulan bagi mereka yang telah bernikah di luar negeri untuk mendaftarkan pernikahan tersebut. Sekiranya pendaftaran dilakukan selepas tempoh waktu tersebut, jika disabitkan kesalahan hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

Tujuan utama pendaftaran adalah untuk memastikan agar pernikahan puan sah di sisi syarak. Sesuatu pernikahan hanya akan dianggap sah apabila sempurna kelima-lima rukun nikah. Pada masa ini, seperti yang puan maklum, pernikahan secara sindiket amat berleluasa. Pernikahan ini tidak sah di sisi hukum syarak. Antaranya kerana penggunaan wali yang mengakadnikahkan pernikahan tersebut tidak mempunyai kuasa atau tauliah.

Oleh itu adalah amat perlu bagi puan untuk mendaftarkan pernikahan bagi memastikan sama ada pernikahan itu adalah sah dari sisi syarak. Pendaftaran juga akan memastikan hak-hak puan sebagai seorang isteri terjamin. Untuk membuat tuntutan nafkah, mahkamah syariah hanya ada bidangkuasa untuk mendengar tuntutan itu setelah pernikahan puan didaftarkan.

Setelah pendaftaran, puan boleh menuntut nafkah daripada suami. Ini adalah selaras dengan seksyen 59(1) Akta yang menyatakan bahawa mahkamah boleh memerintahkan seorang lelaki membayar nafkah kepada isterinya.

Rujukan juga boleh dilakukan ke atas seksyen 72 yang menyatakan antara lain “..adalah menjadi kewajipan seorang lelaki menanggung nafkah anaknya sama ada anak itu berada di dalam jagaannya atau orang lain, sama ada dengan mengadakan tempat tinggal, pakaian, makanan, perubatan dan pelajaran sebagaimana yang munasabah…”

Jelas di sini bahawa suami puan tidak boleh melarikan diri daripada tanggungjawabnya sebagai seorang suami untuk memperuntukkan nafkah bagi keluarganya. Jika dia gagal maka perintah mahkamah boleh dituntut dan sebarang tunggakan akan dianggap sebagai hutang suami.

Panel Peguam Sisters In Islam.

(Segala kemusykilan boleh dikemukakan kepada Sisters In Islam di alamat No. 7, Jalan 6/10, 46000, Petaling Jaya, Selangor, atau telefon ke Talian TeleNisa 03-77843733 pada hari Isnin, Khamis dan Jumaat atau e-mel: telenisa@sistersinislam.org.my)

Copyright | Privacy Policy | Contact Us | Sitemap