Promoting an understanding of Islam that recognises the principles of
justice, equality, freedom, and dignity within a democratic nation state

Bakal suami ajak nikah di Perlis
email to someone printer friendly

Soalan:

Saya bakal mendirikan rumahtangga sebagai isteri kedua tidak lama lagi. Saya dan bakal suami kedua-duanya menetap di Selangor. Isteri pertama tidak ada masalah untuk memberi keizinan. Tetapi, bakal suami ingin bernikah di Perlis kerana katanya proses di Selangor memakan masa dan kelulusannya belum pasti. Dia sudah pun menukarkan alamatnya di Perlis dan menyuruh saya berbuat begitu juga. Betulkah tindakan ini? Apakah tindakan ini akan memberi komplikasi undang-undang kelak? Adakah hak-hak saya akan terjejas sekiranya saya berkahwin di Perlis berbanding di Selangor?

Ariela Mahmud,
Shah Alam


Jawapan:

Poligami di Malaysia dibenarkan hanya selepas beberapa syarat yang telah ditetapkan oleh undang-undang dipenuhi oleh pihak-pihak. Antara syarat-syarat yang ditetapkan ialah perkahwinan yang dicadangkan itu mestilah patut atau perlu, suami haruslah berkemampuan daripada segi kewangan untuk berkahwin lebih dari satu, suami akan memberi layanan sama rata terhadap isteri atau isteri-isteri sedia ada dan perkahwinan yang dicadangkan tidak akan menyebabkan darar syarie (bahaya atau musibah) kepada isteri sedia ada.

Mungkin kebanyakan suami yang ingin berkahwin lebih dari satu berpendapat bahawa syarat-syarat ini bertujuan untuk menyusahkan mereka. Namun harus diingat bahawa ayat 3 surah al-Nisa' menyatakan, Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap anak-anak yatim, maka berkahwinlah dengan perempuan yang kamu berkenan, dua, tiga atau empat. Tetapi jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (antara isteri-isteri kamu), maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja Yang demikian itu adalah lebih dekat, (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman.

Oleh itu, untuk menentukan keadilan antara isteri-isteri dan supaya tidak ada kezaliman yang berlaku dalam sesuatu perkahwinan poligami, maka kerajaan Malaysia menetapkan syarat-syarat yang harus dipenuhi oleh seorang suami sebelum dia dibenarkan berkahwin satu lagi.

Di Selangor, seksyen 23 menyatakan bahawa setiap orang yang ingin berpoligami perlulah memohon kebenaran daripada Mahkamah Syariah. Dalam membuat pertimbangan sama ada syarat-syarat yang ditetapkan telah dipenuhi, Mahkamah boleh memanggil isteri sedia ada, bakal isteri, bakal wali untuk menentukan sama ada suami itu layak untuk berpoligami.

Orang yang layak untuk membantu Mahkamah menentukan sama ada suami mampu berlaku adil dan perkahwinan yang baru ini tidak akan mendatangkan bahaya atau musibah tentulah isteri sedia ada yang telah sekian lama tinggal bersama. Dia tentulah masak dengan perangai dan keperibadian suaminya. Manakala bakal isteri dan bakal wali akan dipanggil untuk memastikan bahawa mereka sedia maklum bahawa pihak lelaki itu adalah suami orang. Ini untuk mengelakkan suami menipu bahawa dia bujang.

Oleh itu, janganlah mengambil mudah perkara ini. Tindakan bakal suami yang mencari jalan pintas menunjukkan ketidakjujuran beliau dan juga sikapnya yang tidak menghormati undang-undang Islam di Malaysia yang dibuat berlandaskan hukum syarak.

Sebenarnya, Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Keluarga Islam Perlis (1991) dalam seksyen 23 menyatakan syarat-syarat yang lebih kurang sama seperti di negeri Selangor. Tetapi, undang-undang ini tidak dilaksanakan oleh sebab pada sekitar awal tahun 2004, pihak Majlis Agama negeri Perlis telah melonggarkan syarat-syarat berpoligami.

Oleh sebab undang-undang keluarga Islam adalah berbeza di setiap negeri, maka, di Perlis, tiada diperuntukkan untuk pendaftaran taklik seperti yang telah diperuntukkan di Selangor di bawah seksyen 22 Enakmennya. Malah di Selangor, saudari boleh meletakkan taklik tambahan.

Taklik tambahan ini amatlah berguna lebih-lebih lagi dalam perkahwinan poligami. Untuk menjaga kepentingan semua pihak, saudari dan juga isteri pertama boleh menetapkan syarat-syarat yang perlu suami turuti supaya kerukunan kedua-dua rumahtangga dapat dipelihara.

Persetujuan semua pihak diperlukan dalam taklik ini. Tujuannya ialah untuk melindungi kepentingan dan hak-hak lebih-lebih lagi hak anak-anak.

Isteri pertama telah pun memberikan persetujuan. Eloklah jika saudari melangsungkan perkahwinan mengikut cara yang betul agar hak-hak saudari terpelihara.

Panel Peguam Sisters In Islam.

(Segala kemusykilan boleh dikemukakan kepada Sisters In Islam di alamat No. 7, Jalan 6/10, 46000, Petaling Jaya, Selangor, atau telefon ke Talian TeleNisa 03-77843733 pada hari Isnin, Khamis dan Jumaat atau e-mel: telenisa@sistersinislam.org.myThis e-mail address is being protected from spam bots, you need JavaScript enabled to view it )

Copyright | Privacy Policy | Contact Us | Sitemap