Promoting an understanding of Islam that recognises the principles of
justice, equality, freedom, and dignity within a democratic nation state

Bolehkah kami nikah semula
email to someone printer friendly

Soalan:

Saya telah bernikah di selatan Thailand dengan pasangan saya dari Kedah dan telah pun mendapat pengesahan diplomat Malaysia di pejabat Kedutaan Malaysia di Songkhla, Thailand.

Tetapi kami masih belum lagi membuat pengesahan pernikahan di Malaysia. Kami bernikah di Thailand kerana rancangan perkahwinan kami mendapat tentangan daripada keluarga. Wali saya enggan untuk menikahkan saya. Tetapi, apabila saya maklumkan kepada keluarga saya, mereka mahu kami bernikah semula di Malaysia. Bolehkah kami buat akad yang baru walaupun kami sebenarnya sudah bernikah? Tolong beri penjelasan.

Mila Rashid,
Terengganu

Jawapan:

Kita seringkali membaca dalam akhbar tentang pernikahan sindiket yang mengakibatkan perkahwinan pasangan itu diisytiharkan tidak sah. Oleh sebab tidak mahu perkara ini berlaku maka kerajaan menetapkan prosedur yang perlu dipatuhi oleh pasangan yang ingin berkahwin.

Sistem perundangan dan prosedur yang terdapat di Malaysia bertujuan memastikan kesahihan sesuatu perkahwinan itu mengikut hukum syarak.

Pernikahan puan tidak boleh dinikahkan semula kerana akad nikah hanya berlaku sekali. Oleh itu, pernikahan puan yang berlangsung di Thailand perlulah didaftarkan di Malaysia. Mahkamah Syariah kemudian akan membuat satu penyiasatan sama ada pernikahan tersebut mengikut hukum syarak atau tidak.

Pernikahan ini dikategorikan sebagai akad nikah perkahwinan di luar negeri. Seksyen 22 Enakmen Keluarga Islam (Terengganu) 1985 menyatakan bahawa pernikahan di luar negeri hanya boleh dijalankan di kedutaan atau suruhanjaya atau konsulat Malaysia yang berhampiran.

Pendaftaran pernikahan puan di Kedutaan Malaysia di Thailand boleh memberi anggapan yang kuat bahawa pernikahan puan adalah menepati hukum syarak. Namun, pendaftaran di Malaysia wajib dilakukan juga. Ini kerana Mahkamah Syariah di Malaysia hanya mempunyai bidang kuasa untuk menentukan apa-apa perkara yang berbangkit kelak, contohnya dalam soal hak, terhadap pernikahan yang didaftarkan di Malaysia.

Seksyen 29 Enakmen Terengganu menyatakan bahawa pendaftaran perkahwinan yang telah berlangsung di luar negeri hendaklah didaftarkan dalam masa dua bulan selepas salah satu atau kedua-dua pihak sampai ke Malaysia. Kedua-dua pihak itu hendaklah hadir di hadapan mana-mana

Pendaftar di Terengganu, dan:

a. Mengemukakan kepada Pendaftar surat perakuan nikah atau apa-apa keterangan, sama ada lisan atau dokumen, yang boleh memuaskan hati Pendaftar bahawa perkahwinan itu telah berlaku dan ia sah menurut hukum Syarak;

b. Memberi apa-apa butir sebagaimana yang dikehendaki oleh Pendaftar untuk pendaftaran sewajarnya perkahwinan itu; dan

c. Memohon dalam borang yang ditetapkan supaya perkahwinan itu didaftarkan dan menandatangani akuan di dalamnya.

Satu salinan sah dalam Daftar Perkahwinan yang diperakui dan ditandatangani oleh Pendaftar hendaklah diserahkan atau dihantar kepada suami dan satu salinan lagi kepada isteri dan satu lagi salinan sah yang diperakui hendaklah dihantar dalam tempoh yang ditetapkan kepada Ketua Pendaftar.

Jika puan tidak mengikut jangka masa yang ditetapkan, Seksyen 33 Enakmen menetapkan denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-dua denda dan penjara.

Panel Peguam Sisters In Islam.

Copyright | Privacy Policy | Contact Us | Sitemap