Promoting an understanding of Islam that recognises the principles of
justice, equality, freedom, and dignity within a democratic nation state

Anak tak sah taraf berwali hakim
email to someone printer friendly

Soalan:

Saya pernah terlanjur dengan teman lelaki saya sehingga melahirkan anak perempuan yang tidak sah taraf. Kami bernikah atas desakan keluarga. Selepas itu, saya melahirkan seorang anak lelaki. Malangnya, suami telah meninggalkan saya begitu sahaja apabila anak kedua kami mencapai usia 1 tahun 2 bulan.

Saya telah ke Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) untuk memohon cerai tetapi saya diberitahu bahawa surat nikah saya adalah palsu. Ini bermakna anak kedua saya juga tidak sah taraf!

Sedihnya hati saya hanya tuhan yang mengerti. Walaupun tiada yang tampil secara terang-terangan, saya tahu ramai yang menghina anak sulung saya sebagai anak tidak sah taraf. Bukan setakat jiran-jiran, ada juga saudara-mara yang berbuat demikian. Kini, anak lelaki saya bakal melalui nasib yang sama. Tidakkah mereka mengasihani anak-anak saya yang masih kecil dan tidak bersalah?

Tambah merisaukan saya sekarang, apa yang akan berlaku kepada anak-anak saya apabila mereka ingin berkahwin nanti? Memandangkan mereka anak tidak sah taraf, siapakah yang boleh menjadi wali mereka? Bolehkah mereka diwalikan oleh bapa saudara mereka?

Nor Haryati,
Kuala Lumpur

Jawapan:

Anak merupakan anugerah tuhan yang cukup berharga. Sesungguhnya, Allah S.W.T telah berfirman dalam surah Al-Kahf ayat 46 yang berbunyi seperti berikut:

“Kekayaan dan anak-anak adalah perhiasan hidup di dunia.”

Malangnya, ada segelintir manusia di kalangan masyarakat umum yang bertanggapan buruk terhadap anak yang tidak sah taraf. Bagi mereka, anak yang tidak sah taraf adalah tidak suci, malah, rendah pula kedudukannya jika dibandingkan dengan anak yang sah taraf.

Dalam hal ini, kita boleh membuat rujukan kepada hadith yang telah diriwayatkan oleh Al-Bukhari daripada Abu Hurairah R.A., di mana Rasulullah S.A.W. telah bersabda yang bermaksud seperti berikut:

“Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah (suci).”

Melihat kepada hadith tersebut, jelas sekali bahawa semua anak yang dilahirkan adalah suci sifatnya, tanpa mengira sama ada tarafnya sah atau tidak.

Tambahan pula, ibu bapalah yang memainkan peranan penting dalam membentuk akhlak seseorang anak agar dia menjadi orang yang berbudi pekerti mulia. Selagi anak itu membesar sebagai individu yang baik lagi berguna atas didikan ibu bapanya, sama ada tarafnya sah atau tidak sudah tidak relevan lagi.

Berkenaan dengan soalan yang puan kemukakan, wali adalah salah satu rukun nikah yang perlu dipenuhi supaya sesuatu perkahwinan sah di sisi hukum syara’.

Apabila tiba masa untuk anak perempuan puan bernikah nanti, dia tidak boleh diwalikan oleh bapanya sebagai wali mujbir. Ini adalah kerana anak tidak sah taraf bukan dikira sebagai muhrim kepada bapanya.

Sebaliknya, anak perempuan puan perlu menggunakan khidmat wali hakim.

Menurut Seksyen 2 (1) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984, wali hakim bererti wali yang ditauliahkan oleh Yang di-Pertuan Agong bagi kawasan Wilayah-Wilayah Persekutuan, untuk mengahwinkan perempuan yang tidak mempunyai wali dari nasab.

Menurut pegawai di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) yang boleh dihubungi di talian 03 22749333, hanya wali hakim yang boleh menjadi wali bagi mengahwinkan anak perempuan yang tidak sah taraf. Ini bermakna, bapa saudara anak perempuan puan juga tidak boleh menjadi wali untuk mengahwinkannya.

Anak perempuan puan boleh membuat permohonan untuk menggunakan khidmat wali hakim di mahkamah syariah tempat dia bermastautin.

Walau bagaimanapun, puan tidak perlu bimbang. Soal masalah perwalian tidak timbul bagi anak lelaki puan.

Kami di Sisters In Islam ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi pujian terhadap puan sebagai seorang ibu yang mengambil berat akan kebajikan dan masa depan anak-anaknya. Semoga mereka menjadi orang yang berakhlak mulia dan berbudi pekerti tinggi apabila dewasa kelak. Insyaallah.

Panel Peguam Sisters In Islam.

Copyright | Privacy Policy | Contact Us | Sitemap