Promoting an understanding of Islam that recognises the principles of
justice, equality, freedom, and dignity within a democratic nation state

Memohon kebenaran berkahwin
email to someone printer friendly


Soalan:

SAYA dan tunang akan mendirikan rumah tangga. Saya berasal dari Perak tetapi telah tinggal di Selangor sedekad lamanya. Tunang saya pula dari Kuala Lumpur. Saya difahamkan bahawa kami perlu memohon untuk mendapat kebenaran berkahwin.

Di mana patut kami memohon? Di Selangor atau Kuala Lumpur? Perlukah saya kembali ke Perak? Selain itu, apa yang perlu kami sediakan untuk membuat permohonan ini?

Megat Nazim Megat Shaari,
Selangor Darul Ehsan.

Jawapan:


Menurut Seksyen 16 (1) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984, pasangan yang ingin melangsungkan perkahwinan perlu membuat permohonan berkahwin kepada Pendaftar Nikah bagi kariah masjid di mana pihak perempuan bermastautin.

Jika pasangan berasal dari negeri yang berlainan seperti situasi saudara, pihak lelaki dan perempuan perlu memohon di negeri masjid masing-masing. Surat kebenaran berkahwin yang saudara peroleh nanti perlu dihantar bersama borang permohonan berkahwin tunang saudara kepada Pendaftar Nikah negerinya.

Saudara boleh membuat permohonan di Selangor yakni di Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) walaupun saudara berasal dari Perak. Apa yang saudara perlu dapatkan adalah Surat Pengesahan Pemastautin daripada salah seorang yang berikut: penghulu, ketua kampung, nazir masjid, pengerusi jawatankuasa kampung, atau pengerusi jawatankuasa penduduk taman perumahan.

Surat ini menunjukkan bahawa saudara menetap di Selangor dan membolehkan saudara membuat permohonan berkahwin di Selangor.

Prosedur untuk saudara memohon kebenaran berkahwin adalah seperti berikut:

- Hadir kursus praperkahwinan yang diiktiraf oleh Jabatan Agama Islam dan dapatkan sijil di akhir kursus;

- Dapatkan Borang Pemeriksaan Ujian Darah / HIV berharga RM10 dari JAIS dan buat pemeriksaan di Klinik Kesihatan Kecil Kerajaan yang terpilih;

- Dapatkan borang 1A (Permohonan Oleh Lelaki Untuk Kebenaran Berkahwin) di JAIS, lengkapkan dan hantar kepada JAIS tiga bulan sebelum akad nikah bersama dokumen sokongan berikut:

- Salinan kad pengenalan saudara;

- Salinan kad pengenalan dua orang saksi;

- Salinan sijil kursus praperkahwinan;

- Borang laporan pemeriksaan ujian darah / HIV yang telah diperakukan;

- Salinan borang permohonan 1A; dan

- Surat Pengesahan Pemastautin.

- Dapatkan pengesahan daripada Pendaftar Nikah di JAIS (halaman tiga, borang 1A);

- Dapatkan surat kebenaran berkahwin (halaman 4, borang 1A) dari JAIS; dan

- Serahkan surat kebenaran tersebut kepada tunang saudara.

Merujuk kepada langkah keempat, pastikan saudara mendapat pengesahan daripada Pendaftar Nikah. Ia perlu bagi bakal pengantin dari negeri yang berlainan untuk mengesahkan bahawa segala perkara yang disebut dalam borang permohonan berkahwin saudara adalah benar.

Pasangan saudara pula perlu memohon kebenaran berkahwin di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

- Hadir kursus pra perkahwinan yang diiktiraf oleh Jabatan Agama Islam dan dapatkan sijil di akhir kursus;

- Dapatkan Borang Pemeriksaan Ujian Darah / HIV berharga RM10.00 dari JAWI dan buat pemeriksaan di Klinik Kesihatan Kecil Kerajaan yang terpilih;

- Dapatkan borang 1C (Permohonan Oleh Perempuan Untuk Kebenaran Berkahwin) dan 1D (Perwakilan Wali dan Wakalah) di Jawi, lengkapkan dan hantar kepada Jawi dua bulan sebelum akad nikah bersama dokumen sokongan (dokumen yang sama seperti permohonan saudara);

- Dapatkan pengesahan daripada Pendaftar Nikah di Jawi;

- Dapatkan surat kebenaran berkahwin (halaman 3 borang 1C) dari Jawi;

- Serahkan kebenaran tersebut kepada Pendaftar Nikah di Jawi.

Borang permohonan hendaklah disampaikan sekurang-kurangnya tujuh hari sebelum tarikh perkahwinan. Dinasihatkan memohon lebih awal bagi memastikan tiada kesulitan yang timbul. Perlu juga diingatkan bahawa setiap kebenaran berkahwin hanya sah bagi tempoh 90 hari dari tarikh dikeluarkan.

Pendaftar kariah masjid tunang saudara akan meneliti borang permohonan perkahwinan tersebut bagi menentukan segala keperluan telah dipenuhi. Sekiranya dia berpuas hati, surat kebenaran berkahwin akan dikeluarkan.

Copyright | Privacy Policy | Contact Us | Sitemap