Promoting an understanding of Islam that recognises the principles of
justice, equality, freedom, and dignity within a democratic nation state


Soalan :

Saya dan tunang bakal melangsungkan perkahwinan pada akhir tahun ini. Namun kebelakangan ini, dia seringkali menimbulkan isu mengenai penjanjian takliq. Dia meminta saya menandatangani takliq tambahan. Saya rasa bahawa ia adalah tidak perlu dan tidak wajar. Bukankah sudah terdapat takliq tetap jadi kenapa ia harus ditambah? Kenapa perlu merancang mengenai penceraian sedangkan kami baru sahaja mahu berkahwin? Sesetengah rakan saya juga mengatakan bahawa takliq hanya bertujuan untuk mengongkong suami. Sekiranya takliq sediada sudah memadai kenapa perlu ia ditambah lagi? Ia hanya membazir masa.


Aamir Eusoff
Kuala Lumpur.

Jawapan :

Allah menciptakan manusia berpasang-pasangan dan meredhai perkahwinan sebagai satu ikatan yang amat suci. Perkahwinan bukan sahaja satu ikatan kasih-sayang dan kekeluargaan tetapi ia juga adalah satu akad atau perjanjian (kontrak).  Oleh kerana itulah kita mengenali majlis perkahwinan sebagai Akad Nikah atau Perjanjian Perkahwinan yakni perjanjian di antara seorang lelaki dan wanita untuk menjalani kehidupan bersama sebagai suami-isteri.

Seperti juga perjanjian-perjanjian yang lain, ia perlu diiringi dengan syarat yang perlu dihormati oleh pasangan-pasangan yang berjanji. Syarat-syarat inilah yang dikenali sebagai takliq di dalam perkahwinan.
Meletakkan syarat di dalam perjanjian perkahwinan adalah dibenarkan dalam Islam.
Di dalam Surah an-Nisa, ayat 21 Allah saw telah berfirman bahawa, “Dan mereka (isteri-isterimu) telah mengambil dari kamu perjanjian yang kuat.”

Dalam hal memenuhi janji ini, terdapat ayat Al-Quran yakni Surah Al-Isra’ ayat 34 yang menyatakan bahawa,
“Penuhilah setiap janjimu kerana sesungguhnya janji itu pasti diminta untuk dipertanggungjawabkan di hari pengadilan.”

Dan juga peruntukan di dalam Surah Al-Maidah, ayat 1,

“Wahai orang-orang yang beriman, penuhilah akad-akad (perjanjian-perjanjian) itu.”

Ayat-ayat yang dinyatakan di atas menunjukkan betapa pentingnya seseorang Muslim itu memenuhi syarat-syarat perjanjian yang dipersetujuinya, termasuklah perjanjian takliq, samada tetap atau tambahan.

Ulasan Ahmad Hassan Sunan Abu Dawud: Syarat yang dikenakan oleh pihak isteri semasa perkahwinan atau janji seorang lelaki yang diberi sebelum perkahwinan mestilah dipatuhi. Contohnya, seorang perempuan berkahwin dengan syarat bahawa suaminya tidak akan membawanya pergi dari tempat di mana dia hendak tinggal. Ini berkemungkinan kerana dia mempunyai ibu yang uzur. Oleh itu suami hendaklah mematuhi syarat ini.

Di dalam sejarah Islam, perjanjian takliq tambahan bukanlah perkara baru. Salah satu contoh mereka yang pernah membuat perjanjian takliq ialah Sukayna binti Hussain, cicit Nabi Muhammad SAW. Di dalam perkahwinan beliau dengan Zayd ibn Amr, cucu Khalifah Uthman,  Sukayna telah meletakkan berbagai syarat di dalam perjanjian perkahwinan beliau. Antaranya ialah dia tidak mahu berpoligami, dia akan tinggal berdekatan dengan rumah keluarganya dan suami tidak akan menafikan permintaannya.

Jika dilihat amalan negara kita kini, sememangnya telah ada tersedia takliq tetap yang perlu dilafazkan oleh suami setelah akad nikah dilangsungkan. Ia selalu didapati di Surat Perakuan Nikah. Tetapi takliq tetap ini adalah berlainan bagi setiap negeri di Malaysia. Ia juga mungkin tidak lengkap bagi pasangan kerana setiap perkahwinan adalah di antara mereka yang mempunyai kehendak atau situasi yang berlainan.

Oleh itu adalah perlu bagi takliq sedia ada ini ditambah menurut kehendak pasangan yang akan berkahwin. Takliq bertujuan untuk menjamin hak dan kepentingan kedua-dua pihak isteri dan suami di dalam perkahwinan. Syarat di dalam takliq tambahan bukanlah hanya tertumpu kepada  perkara mengenai perceraian sahaja.

Syarat-syarat yang boleh dimasukkan oleh pasangan adalah apa-apa perkara yang dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak. Ini juga merupakan perkara terbaik yang boleh dilakukan bagi pasangan yang akan berkahwin. Kedua-dua belah pihak berkomunikasi mengenai alam rumahtangga yang akan dilalui. Masa ini juga boleh digunakan untuk meluahkan kegusaran yang mungkin terdapat di dalam hati pasangan.

Ditegaskan disini bahawa tujuan bagi penambahan takliq bukanlah dengan niat untuk mengongkong suami. Ia adalah bagi menjamin hak dan tanggungjawab suami isteri dengan lebih terperinci Sebagai contohnya, seorang isteri yang sedang menyara keluarganya mungkin mahu terus berbuat demikian setelah berkahwin. Oleh itu dia boleh meletakkan syarat bahawa suami tidak boleh menghalangnya dari bekerja dan memberi wang bulanan kepada keluarga. Ia juga menjamin hak isteri seperti apabila isteri meletakkan syarat bahawa apa-apa harta isteri yang dikumpul sebelum perkahwinan adalah haknya yang mutlak. Isteri juga boleh meletakkan syarat bahawa dia tidak mahu dipoligamikan. Sekiranya suami mahu berpoligami dia haruslah memberi isteri peluang untuk bercerai sekiranya isteri mahukan perceraian dan tidak boleh memaksa isteri terus di dalam  bentuk perkahwinan yang tidak diingini isteri.

Bagi hal-hal perceraian pula, takliq tidak menafikan hak suami ke atas talak.  Malah ia menjaga keharmonian rumahtangga kerana bakal suami setelah berbincang mengenai takliq akan lebih prihatin akan tanggungjawabnya sebagai seorang suami.

Apabila berlaku perlanggaran syarat takliq, talak tidak akan jatuh secara automatik. Sekiranya isteri mahu bercerai, isteri perlu menuntut di Mahkamah Syariah bahawa telah berlaku pelanggaran perjanjian takliq.

Perjanjian ini boleh dikuatkuasakan di Mahkamah kerana perjanjian itu mengikat di antara pihak-pihak yang bertikai.  Sekiranya isteri tidak mahu bercerai maka dia tidak perlu ke Mahakamah dan boleh memaafkan suami pada waktu tersebut. Sekiranya suami berterusan melanggar syarat,, dia boleh pada waktu itu mengadu ke Mahkamah untuk bercerai.

Dari segi peruntukan perundangan, Seksyen 22 Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984 menyatakan bahawa Pendaftar hendaklah mencatatkan takliq yang telah ditetapkan atau butir-butir takliq lain di dalam daftar Perkahwinan.

Oleh yang demikian, perjanjian takliq tambahan yang dibuat oleh seseorang perempuan adalah dibenarkan oleh undang-undang. Ia juga dibenarkan oleh Islam kerana Islam itu sendiri menjamin hak dan kepentingan wanita Islam daripada dianiaya oleh suami sendiri.

Anda tidak perlu rasa gusar mengenai saranan bakal isteri mengenai perjanjian takliq. Ia boleh menyelamatkan rumahtangga. Berkomunikasilah dengan jujur bersama bakal isteri anda.

Takliq tambahan perlu dilafazkan oleh suami di hadapan isteri dan 2 saksi. Kesemua pihak perlu  tandatangani perjanjian tersebut dan kemudian ia perlu didaftarkan di pejabat Agama yang berdekatan di bahagian Pendaftaran Penikahan dan Penceraian. Tujuan mendaftarkannya hanya untuk memaklumkan kepada pihak Jabatan Agama berkenaan kewujudan takliq tambahan tersebut.

Contoh surat ta’liq tambahan boleh didapati di laman web Sisters In Islam, di alamat www.sistersinislam.org.my. Syarat-syarat yang diberikan hanyalah sebagai contoh. Jika bersesuaian, bolehlah digunakan, tetapi jika tidak, pilihlah yang mana bersesuaian.


Copyright | Privacy Policy | Contact Us | Sitemap