Promoting an understanding of Islam that recognises the principles of
justice, equality, freedom, and dignity within a democratic nation state

Praperkahwinan - Sahkah Perjanjian Bakal Pengantin?
email to someone printer friendly

Soalan:

Saya dan bakal isteri ingin melangsungkan perkahwinan tak lama lagi. Kami telah
berbincang dan bersetuju untuk membuat satu perjanjian pra-perkahwinan. Antara syarat-syarat yang kami persetujui ialah saya ingin melepaskan hak saya untuk berpoligami. Bagaimanakah untuk membuat perjanjian ini? Adakah perjanjian ini sah di sisi undang-undang di Malaysia?

Ramli Bakar,
Selangor.


Jawapan:

Perkahwinan dalam Islam merupakan satu perjanjian suci dan mengikat pasangan masing-masing dan juga merupakan satu kontrak persetujuan yang berlandaskan persefahaman antara sepasang suami isteri yang saling setuju menyetujui sesama sendiri. Surah an-Nisa' pada ayat 21 Allah berfirman bahawa, "Dan mereka (isteri-isterimu) telah mengambil dari kamu perjanjian yang kuat."

Di dalam setiap kontrak atau perjanjian (akad) haruslah ada tawaran iaitu ijab dan penerimaan iaitu kabul. Ia juga perlu disertai dengan syarat-syarat perjanjian.

Menepati janji adalah sesuatu yang amat dituntut bukan sahaja dari segi adat kita tetapi juga dari segi agama. Kita juga boleh merujuk pada Surah Al-Isra' ayat 34 yang berkaitan dengan hal memenuhi janji dan ia menyatakan bahawa:
"Penuhilah setiap janjimu kerana sesungguhnya janji itu pasti diminta untuk dipertanggungjawabkan di hari pengadilan."

Kita juga hendaklah memenuhi dan menunaikan janji-janji yang telah dinyatakan sebagaimana dinyatakan dalam Surah Al-Maidah, ayat 1,
"Wahai orang-orang yang beriman, penuhilah akad-akad (perjanjian-perjanjian) itu."

Dari segi perundangan, perjanjian antara suami isteri bukanlah satu perkara yang baru dan dikenali sebagai takliq. Dalam Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984, seksyen 22 menyatakan bahawa Pendaftar hendaklah mencatatkan butir-butir yang ditetapkan dan takliq yang ditetapkan atau takliq lain bagi perkahwinan itu di dalam Daftar Perkahwinan.

Kami amat mengalu-alukan setiap pasangan yang akan berkahwin untuk membuat satu takliq tambahan yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak. Bukanlah untuk menggalakkan pasangan memikirkan tentang perceraian sebelum berkahwin, tetapi ia merupakan satu akad untuk menjamin kesejahteraan rumahtangga. Pasangan akan duduk berbincang dan meluahkan kegusaran yang mungkin terdapat dihati masing-masing tentang alam rumahtangga yang bakal ditempuhi nanti. Pasangan boleh meletakkan apa-apa syarat setelah berbincang dan takliq tersebut akan dilafazkan oleh suami semasa upacara akad nikah.

Berikut ialah contoh takliq tambahan yang mungkin saudara dan pasangan boleh rujuk. Syarat-syarat lain juga boleh ditambah asalkan tidak bercanggah dengan hukum syarak dan dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

CONTOH PERJANJIAN TAKLIQ

Perjanjian ini dibuat pada ¦(Isikan tarikh perkahwinan)............. antara ¦ No Kad Pengenalan..........(selepas ini digelar sebagai "Suami") bagi satu pihak dan ¦. No Kad Pengenalan (selepas ini digelar "Isteri") bagi pihak lain.

Walhal:-
1. Suami dan Isteri telah bersetuju untuk berkahwin dan mengijab kabulkan nikah pada¦..........

2. Suami dan Isteri telah bersetuju bahawa hak dan tanggungjawab mereka sebagai suami isteri hendaklah tertakluk kepada syarat dan takliq seperti dinyatakan di bawah ini.

3. Perjanjian dan takliq yang dinyatakan di bawah ini adalah tambahan kepada perakuan nikah dan hendaklah menjadi syarat penting dalam ijab kabul dan pernikahan Suami dan Isteri.

Maka, kedua-dua Suami dan Isteri dengan ini bersetuju seperti berikut:-
1. Saya, ¦(isikan nama suami).............. dengan ini melafaz dan berikrar seperti berikut:-

(a) Manakala saya merujuk akan Isteri saya tanpa redhanya,

(b) Manakala saya menggunakan kekerasan atau kezaliman dengan memukul atau mendera Isteri samada secara fizikal, mental atau emosi,

(c) Manakala saya menyekat atau menahan Isteri bekerja atau menyambung pengajiannya, atau keluar dari rumah samada untuk bekerja atau, menyambung pengajiannya,

(d) Manakala saya berkahwin sekali lagi dengan mana-mana pihak lain semasa perkahwinan saya dengan Isteri tanpa redhanya,

(e) Manakala saya menyekat atau menahan Isteri dari keluar rumah untuk menziarah keluarga,

(f) (Sila isikan apa-apa syarat yang telah dipersetujui)

maka mengadulah Isteri kepada mana-mana Hakim Syariah dan bersabit pengaduannya pada sisi Hakim Syariah itu, maka pada ketika itu tertalaklah Isteri dengan satu talak.

Dengan ini Suami menurunkan )
tandatangan saya di sini )
sebagai pengakuan bahawa )
saya telah melafazkan syarat )
dan TAKLIQ di atas dengan disaksikan )¦.
oleh saksi-saksi yang juga menurunkan ) (nama)
tandatangan mereka di bawah ini ) (no. kad pengenalan)
dalam kehadiran saya dan kehadiran )
saksi-saksi tersebut serentak:- )

Dengan ini Isteri menurunkan )
tandatangan saya di sini )
sebagai pengakuan bahawa )
Suami telah melafazkan syarat )¦.
dan TAKLIQ di atas dengan disaksikan ) (nama)
oleh saksi-saksi yang juga menurunkan ) (no kad pengenalan)
tandatangan mereka di atas ini )

Disahkan oleh saksi-saksi ).
yang mengesahkan bahawa ) (nama)

Suami telah melafazkan syarat ) (no kad pengenalan)
dan TAKLIQ di atas dalam kehadiran )
kami berdua serentak )¦.
Dalam kehadiran saya dan kehadiran ) (nama)
Saksi-saksi tersebut serentak:- ) (no kad pengenalan)

Syarat (d) bolehlah dirujuk jika saudara ingin memasukkan syarat untuk melepaskan hak saudara untuk berpoligami. Syarat ini tidaklah bertentangan dengan hukum syarak kerana saudara dan pasangan telah bersetuju dan sesungguhnya taklik bertujuan untuk menjamin hak dan kepentingan pihak isteri di dalam perkahwinan.

Di dalam Islam, suami dituntut untuk berbuat baik kepada isteri kerana sebaik-baik di kalangan umat Islam ialah mereka yang berbuat baik kepada isterinya.

Apabila berlaku pelanggaran syarat taklik, talak tidak akan jatuh secara automatik. Pihak isteri boleh menuntut di Mahkamah Syariah terhadap pihak yang melanggar terma perjanjian.

Perjanjian ini boleh dikuatkuasakan di Mahkamah kerana perjanjian itu mengikat di antara pihak-pihak yang bertikai.

Panel Peguam Sisters In Islam.


Copyright | Privacy Policy | Contact Us | Sitemap