Promoting an understanding of Islam that recognises the principles of
justice, equality, freedom, and dignity within a democratic nation state


Soalan:

Saya sekarang sedang membuat tuntutan perceraian taklik atas sebab suami telah meninggalkan saya dan anak-anak terlalu lama. Lebih kurang dua tahun yang lalu, dia telah berhijrah ke Kuala Lumpur, untuk mencari kerja katanya. Pada mulanya, memang dia ada menghantar khabar kepada kami, malah menghantar duit belanja tiap-tiap bulan.  Tetapi, lama-kelamaan, tiada langsung berita daripadanya. Duit, langsung tiada. Bila saya ke Kuala Lumpur mencarinya, dia langsung tidak mahu berjumpa dengan saya. Terpaksalah saya mengambil jalan ini sekarang. Saman memang telah diserahkan kepadanya dan dia tahu tentang tuntutan saya tetapi memang dia sengaja tidak mahu hadir. Saya ingin tahu bolehkah saya meneruskan prosiding ini jika dia enggan hadir ke Mahkamah?

Jamilah Kasim,
Kelantan.

Jawapan:


Islam mengkehendaki jika sesuatu perkahwinan itu sudah tidak dapat diselamatkan lagi, agar sebarang proses perceraian dilakukan secara sebaik-baiknya.

Taklik merupakan salah satu cara yang boleh digunakan oleh isteri untuk menuntut perceraian daripada suaminya. Seksyen 26 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Kelantan) 2002 memberi kuasa kepada mahkamah syariah untuk memutuskan perceraian taklik ini.

Taklik adalah lafaz perjanjian yang dibuat oleh suami selepas akad nikah mengikut hukum syarak dan peruntukan undang-undang. Taklik boleh dibahagikan kepada dua kategori, iaitu lafaz taklik yang diucapkan secara langsung selepas akad nikah dan lafaz taklik yang dibuat pada mana-mana masa dalam tempoh perkahwinan.

Di Kelantan, taklik yang diucapkan secara langsung selepas akad nikah berbunyi lebih kurang begini, Bahawa adalah saya (nama suami) dengan ini bertaklik iaitu manakala saya tinggalkan isteri saya (nama isteri) selama 4 bulan atau lebih dengan sengaja atau paksa atau saya atau wakil saya tiada memberi nafkah yang wajib kepadanya selama masa yang tersebut pada hal ia taat kepada saya atau saya menyakiti tubuh badannya atau saya tidak mengambil tahu mengenainya selama 4 bulan atau lebih atau

(nama isteri) kemudian ia mengadu kepada mana-mana kadi/hakim Syarak jika disabitkan oleh kadi/hakim Syarak ini akan aduannya maka gugurlah talak saya dan dan tiap-tiap kali saya rujuk akan isteri saya tersebut tanpa redanya maka gugurlah pula satu talak lagi.

Oleh itu, dalam kes puan ini, puan hendaklah membuktikan bahawa suami telah meninggalkan puan selama 4 bulan. Malah, tindakannya tidak memberi nafkah kepada puan juga boleh dijadikan alasan untuk perceraian taklik ini.

Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Kelantan) 2002 menetapkan bahawa sebarang tuntutan yang bermula dengan saman mestilah dibicarakan di mahkamah terbuka dengan kehadiran semua pihak yang bertikai. Saman tersebut hendaklah dilaksanakan oleh pegawai mahkamah atau mana-mana individu yang telah diberikan kebenaran oleh mahkamah dengan cara mengemukakannya untuk diperiksa atau menyerahkan satu salinan saman tersebut kepada defendan.

Walau bagaimanapun, dalam keadaan-keadaan tertentu, umpamanya apabila alamat defendan tidak diketahui atau defendan ingkar untuk menghadiri perbicaraan, mahkamah boleh mendengar tuntutan plaintif tanpa kehadiran defendan.

Bersumpah

Sebelum tuntutan plaintif dalam perbicaraan tanpa kehadiran defendan dipenuhi, plaintif mestilah memenuhi syarat-syarat berikut:

(a) Membuktikan bahawa penyampaian saman kepada defendan telah disempurnakan;

Puan hendaklah menyerahkan saman itu dengan sendirinya kepada suami puan dan kemudiannya membuat satu akuan bersumpah tentang penyampaian tersebut. Puan hendaklah menyatakan alamat di mana saman itu diserahkan, kepada siapa saman diserahkan, tarikh dan masa penyerahan.

Puan juga boleh menghantar saman itu dengan cara pos berdaftar. Ini kerana bukti penerimaan amatlah penting supaya dapat dikemukakan di mahkamah kelak.

(b) Menyokong keterangan dengan membawa saksi-saksi;

Saksi-saksi ini adalah untuk membuktikan bahawa puan sememangnya telah ditinggalkan selama 4 bulan atau lebih. Saksi adalah penting untuk menyokong dakwaan puan.

(c) Mengambil sumpah iztizhar apabila diminta oleh mahkamah syariah.

Tuntutan

Sumpah ini perlu dilakukan dalam kes-kes defendan gagal untuk menghadirkan diri. Tujuan sumpah ini adalah untuk memastikan tuntutan puan adalah benar dan untuk menolak dakwaan bahawa puan menyalahgunakan proses mahkamah untuk kepentingan peribadi semata-mata.

Ini adalah kerana tuntutan puan didengar tanpa kehadiran defendan, iaitu suami puan.

Apabila mahkamah berpuas hati bahawa syarat-syarat di atas telah dipenuhi, mahkamah boleh mendengar keterangan dan hujah pihak plaintif sahaja.

Perbicaraan tanpa kehadiran defendan dalam kes-kes permohonan taklik biasanya melibatkan kes-kes isteri yang ditinggalkan oleh suami dan kes-kes di mana suami sengaja tidak mengendahkan saman yang diserahkan kepada mereka.

Bagi kes suami-suami yang sengaja tidak mengendahkan sama yang telah diserahkan kepada mereka, mahkamah boleh mengeluarkan waran tangkap untuk memaksa kehadiran mereka ke mahkamah. Kuasa ini diperuntukkan dalam seksyen 51 Akta Tatacara Mal. Bagaimanapun, dalam banyak keadaan, waran ini tidak dapat disempurnakan kerana pertukaran alamat suami ataupun suami berada di luar bidang kuasa mahkamah yang mengeluarkan waran tersebut.

Berdasarkan alasan-alasan inilah, perbicaraan tanpa kehadiran defendan dibenarkan oleh mahkamah iaitu untuk melindungi kepentingan isteri dan anak-anak.

Panel Peguam Sisters In Islam.

Copyright | Privacy Policy | Contact Us | Sitemap