Promoting an understanding of Islam that recognises the principles of
justice, equality, freedom, and dignity within a democratic nation state

Taklik dan cara melindungi isteri
email to someone printer friendly

Soalan & Jawapan:

MASIH ramai pasangan suami isteri yang tidak mengetahui apa itu taklik. Taklik sebenarnya dapat melindungi isteri-isteri daripada penganiayaan suami.

Ikuti soal jawab ringkas daripada Sisters in Islam; (SIS) Forum Malaysia tentang taklik dan taklik tambahan.

Apakah taklik?

Taklik adalah syarat-syarat yang boleh ditetapkan antara pasangan suami isteri setelah mencapai satu persetujuan. Mengikut seksyen 2 Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984, taklik bermaksud lafaz perjanjian yang dibuat oleh suami selepas akad nikah mengikut hukum syarak dan peruntukan akta ini.

Adakah kerajaan sudah menetapkan satu surat taklik yang standard?

Sememangnya pihak kerajaan telah menetapkan satu surat perakuan taklik yang standard dan diguna pakai oleh setiap negeri. Taklik standard adalah seperti berikut: “Saya mengaku apabila saya tinggalkan isteri saya (nama) selama empat bulan Hijrah berturut-turut atau lebih dengan sengaja atau paksaan dan saya atau wakil saya tiada memberi nafkah kepadanya selama tempoh masa yang tersebut pada hal ia taatkan saya atau saya melakukan sebarang mudarat kepada tubuh badannya, kemudian ia mengadu kepada mahkamah syariah, yang menerima bagi pihak saya satu ringgit maka pada ketika itu bertalak ia dengan talak khul’.” Bagaimanapun, taklik ini mungkin berbeza dari satu negeri ke negeri yang lain.

Adakah kita boleh menambah taklik yang sudah disediakan oleh kerajaan ini?

Seksyen 22 Akta memperuntukkan tentang pendaftaran taklik lain dalam Pendaftaran Perkahwinan. Taklik lain inilah yang dimaksudkan dengan taklik tambahan. Akta juga tidak menyebut apakah syarat-syarat yang boleh ditambah tetapi hendaklah tidak bertentangan dengan hukum syarak.

Apakah syarat-syarat yang boleh dikatakan tidak bertentangan dengan hukum syarak?

Antara contoh syarat-syarat yang dibenarkan dalam hukum syarak ialah suami tidak boleh paksa isteri berhenti kerja sudah berkahwin, suami tidak boleh mendera emosi isteri, suami tidak boleh berpoligami tanpa keizinan isteri sedia ada dan suami memberi kuasa kepada isteri untuk menceraikannya.

Adakah dengan terlanggarnya syarat-syarat tersebut, maka penceraian terus berlaku?

Penceraian tidaklah berlaku secara automatik. Isteri hendaklah mengadu kepada mahkamah syariah. Apabila sudah terbukti bahawa adanya syarat-syarat yang telah dipersetujui dan satu pihak telah melanggarnya, maka mahkamah akan memutuskan penceraian taklik ini.

Bolehkah pasangan yang sudah berkahwin menambah taklik mereka?

Sudah tentu boleh. Tidak ada halangan masa untuk menambah taklik dari segi hukum syarak mahupun undang-undang. Asalkan pasangan suami isteri telah bersetuju, maka ia boleh dilakukan.

Apakah prosedur untuk membuat tambahan kepada taklik yang sudah ada ini?

Satu dokumen yang mengandungi syarat-syarat taklik hendaklah di bawa ke Pejabat agama yang berdekatan untuk didaftarkan di bahagian Pendaftaran Pernikahan dan Penceraian.

Suami kemudiannya hendaklah melafazkan taklik tambahan ini di hadapan Pendaftar dan isteri, disaksikan oleh dua orang saksi. Suami, isteri dan saksi-saksi kemudiannya menandatangani surat perakuan taklik tambahan sebagai tanda mengesahkan perjanjian tersebut.

Panel Peguam Sisters In Islam.

Copyright | Privacy Policy | Contact Us | Sitemap