Promoting an understanding of Islam that recognises the principles of
justice, equality, freedom, and dignity within a democratic nation state

Cerai taklik buktikan puan telah ditinggalkan
email to someone printer friendly

Soalan:

Saya berusia 26 tahun dan telah berkahwin pada tahun 2002. Pada November 2005, suami saya telah meninggalkan saya dengan alasan bekerja, tetapi kemudian saya mendapat tahu bahawa semua alasannya palsu. Di samping itu, saya juga tidak diberikan satu sen pun oleh suami mahupun daripada keluarganya. Malah, saya juga dibebani hutang suami sehingga saya mengalami tekanan.
Saya bercadang untuk mengadu ke pejabat agama selepas menduduki peperiksaan akhir semester November 2006 (saya seorang penuntut separuh masa). Apakah prosedur yang perlu saya ikuti dan apakah yang boleh saya tuntut daripada suami? Sekiranya suami saya tidak mampu untuk membayar tuntutan, bolehkah saya menuntut wang KWSP beliau?

Kamelia Kenchana,
Klang


Jawapan:

Sebenarnya, prosedur perceraian muslim di Malaysia tidak lagi mewajibkan pengaduan ke Jabatan Agama Islam negeri. Jika pengaduan dibuat, pihak Jabatan Agama akan mengusahakan satu jalan perdamaian antara kedua-dua pihak. Pasangan dikehendaki menghadiri sesi kaunseling yang akan ditetapkan.

Jika puan sudah bertekad untuk bercerai, terdapat dua cara dalam perundangan yang boleh membantu puan. Cara pertama ialah melalui perceraian taklik.

Setiap pasangan yang bernikah perlulah melafazkan satu taklik setara yang telah disediakan oleh kerajaan negeri. Bagi penduduk negeri Selangor, takliknya adalah seperti berikut:

“Bahawa adalah saya dengan ini bertaklik manakala saya meninggalkan isteri saya (nama isteri) selama 4 bulan tahun Hijrah berturut-turut atau lebih, dengan sengaja atau paksaan, dan saya atau wakil saya tiada memberi nafkah yang wajib kepadanya selama masa yang tersebut pada hal ia taat kepada saya atau saya melakukan sebarang mudarat kepada tubuh badannya, kemudian ia mengadu kepada Mahkamah Syariah dan manakala sabit aduannya dan ia memberi kepada Mahkamah Syariah bagi pihak saya sebanyak $1.00 maka pada ketika itu tertalaklah dia dengan satu talak khuluk.”

Oleh kerana suami puan telah meninggalkan puan dan tidak memberi nafkah yang wajib lebih daripada empat bulan, maka ini boleh dijadikan sebagai alasan perceraian.

Seksyen 50 Enakmen Selangor memberikan hak kepada puan untuk memohon kepada Mahkamah satu perceraian taklik dan puan hendaklah membuktikan kepada Mahkamah bahawa puan telah ditinggalkan oleh suami dan suami tidak memberi nafkah dalam tempoh itu.

Untuk mengukuhkan lagi kes puan, jika puan dapat mengemukakan saksi untuk menyokong kenyataan puan, adalah lebih elok.

Satu lagi cara yang terdapat dalam perundangan yang dapat membantu puan ialah tuntutan fasakh. Menurut seksyen 53 Enakmen, puan bolehlah memfailkan perceraian fasakh ini atas alasan yang terkandung dalam sub-seksyen (1)(b) bahawa suami telah cuai atau tidak mengadakan peruntukan bagi nafkah selama tempoh tiga bulan, dan (d) bahawa suami tidak menunaikan, tanpa sebab yang munasabah, kewajipan perkahwinannya (nafkah batin) selama tempoh satu tahun.

Manakala hak-hak yang puan boleh tuntut daripada suami puan kelak ialah, seperti yang terkandung dalam Enakmen:

(i) hak untuk nafkah idah atau pemberian seperti yang dipersetujui bersama (seksyen 66);

(ii) puan berhak terhadap hak tempat tinggal iaitu di rumah di mana puan biasa tinggal semasa puan berkahwin (seksyen 72);

(iii) hak untuk mut'ah (seksyen 58);

(iv) puan juga berhak untuk menuntut semula mas kahwin dan pemberian jika masih terhutang oleh suami (seksyen 59)

Manakala hutang-hutang suami yang ditanggung oleh puan juga boleh dituntut semasa prosiding ini kerana hutang ini adalah berkaitan dengan hal perkahwinan dan perceraian puan suami isteri.

Puan boleh membuat permohonan ke Mahkamah Tinggi Syariah supaya membekukan KWSP suami puan dengan alasan untuk membayar tuntutan-tuntutan yang puan pohon ke Mahkamah. Bukan sahaja wang KWSP, tetapi jika puan tahu tentang wang simpanan dalam bank simpanannya atau pun jika dia mempunyai hartanah yang didaftarkan atas namanya, ini juga boleh dijadikan sumber untuk membayar tuntutan puan.

Oleh sebab puan masih belajar dan tidak bekerja, maka puan bolehlah memohon bantuan daripada Biro Bantuan Guaman Selangor di alamat Tingkat 6, Plaza Perangsang, Persiaran Perbandaran, 40000 Shah Alam Selangor. Atau puan boleh telefon ke nombor 03-5510 6192/5510 6298.

Selain daripada Biro, puan juga boleh memohon bantuan kepada Pusat Bantuan Guaman Selangor yang beralamat di No. 41A, Jalan Bola Jaring, 13/15, Seksyen 13, 40100 Shah Alam atau menelefon ke 03-55107007/55107008. Kedua-dua tempat ini menyediakan khidmat peguam dengan percuma atau dengan kadar yang berpatutan, melihat kepada kemampuan kewangan puan.

Panel Peguam Sisters In Islam.


Copyright | Privacy Policy | Contact Us | Sitemap