Promoting an understanding of Islam that recognises the principles of
justice, equality, freedom, and dignity within a democratic nation state

Jangan Pandang Remeh Terhadap Tuntutan Muta’ah Isteri
email to someone printer friendly

Soalan :

Salam SIS, saya adalah seorang ibu kepada tiga orang anak hasil perkahwinan saya dengan bekas suami. Saya bekerja sebagai pembantu am di sebuah pejabat di ibu kota. Keputusan penceraian saya telahpun disahkan oleh Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya. Namun, apa yang membuntukan adalah mengenai tuntutan muta’ah kepada bekas suami. Bekas suami seolah-olah melambat-lambatkan persetujuan tuntutan muta’ah dengan alasan tidak mampu. Untuk pengetahuan SIS, tuntutan yang dipohon oleh saya adalah amat wajar dan tidak keterlaluan. Jumlah yang dituntut berdasarkan kemampuan bekas suami. Bantulah saya untuk menghilangkan kebuntuan ini. Terima kasih SIS.

Isteri menuntut hak dan keadilan,
Petaling Jaya, Selangor

Jawapan :


Muta’ah berasal daripada bahasa Arab al-mata’ iaitu benda, ia merujuk kepada suatu yang boleh dimanfaatkan dan digunakan seperti makanan serta perkakas rumah. Manakala dari segi istilah, muta’ah bermaksud pemberian daripada bekas suami kepada isteri yang diceraikan sama ada berupa wang, pakaian atau nafkah untuk menghilangkan perasaan sedih bekas isteri serta menyenangkan hatinya.

Pendalilan hukum mutaah ialah firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 241 bermaksud:
“Dan isteri-isteri yang dicertaikan berhak mendapat muta’ah dengan cara yang patut sebagai satu tanggungan yang wajib bagi orang-orang bertakwa”.

Pendalilan seterusnya termaktub dalam Surah al-Baqarah ayat 236 yang bermaksud: “Walaupun demikian hendaklah kamu memberi mutaah (pemberian sagu hati) kepada mereka yang diceraikan itu, iaitu suami yang senang (hendaklah memberi sagu hati itu) menurut ukuran kemampuannya dan suami yang susah menurut ukuran kemampuannya, sebagai pemberian sagu hati menurut yang patut, lagi menjadi satu kewajipan atas orang (yang mahu) berbuat kebaikan.”

Manakala, pendapat Mazhab Shafi’e pula mentakrifkan muta’ah sebagai harta wajib ke atas suami membayar isteri yang diceraikan pada masa hidup, sama ada perceraian itu berlaku sebelum bersatu dengan suami atau selepasnya.

Menurut perspektif undang-undang, seksyen 2 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Selangor) 2003 menyatakan, mutaah sebagai bayaran sagu hati yang diberi dari segi hukum syarak kepada isteri yang diceraikan. Mankala, seksyen 58 Enakmen tersebut memperuntukkan, pemberian mutaah yang boleh dituntut oleh pihak isteri diceraikan iaitu “selain daripada haknya untuk memohon nafkah seseorang perempuan yang diceraikan tanpa sebab yang patut oleh suaminya boleh memohon mutaah atau pemberian sagu hati kepada mahkamah.”

Merujuk kes Noor Bee lwn Ahmad Sanusi (1978) 1 JH (2) 63, penghakiman oleh hakim Harussani Zakaria memutuskan bahawa pemberian muta’ah bukan sahaja wajib kerana kehilangan kasih, tetapi bertujuan menutup rasa malu dialami isteri, menghindarkan fitnah dan sebagai asas memulakan hidup bersendirian. Seorang isteri yang telah diceraikan akan berasa malu dan mungkin menerima prasangka buruk masyarakat sekeliling. Untuk menghilangkan prasangka buruk bahawa seorang itu diceraikan bukanlah kerana keaiban yang ada pada dirinya, maka mutaah diwajibkan ke atas suami. Manakala mengenai kadar jumlah muta’ah, Hakim tersebut menyatakan bahawa keredaan kedua belah pihak memberi dan menerima jumlah mutaah. Jika tiada persetujuan, ia akan ditentukan Hakim mengikut hukum syarak berdasarkan status suami sama ada kaya atau miskin melihat kepada pekerjaan dan pendapatannya.

Oleh yang demikian, segala pengorbanan seperti menjaga anak hingga rumah tangga teratur, mendidik anak-anak sehingga berjaya dan kesan tindakan suami menceraikan puan adalah faktor-faktor yang akan diambilkira oleh mahkamah dalam menentukan jumlah muta’ah. Selain itu, kemampuan kewangan bekas suami juga penting bagi pihak mahkamah memutuskan jumlah muta’ah yang bersesuaian.

Kesimpulannya, bekas suami wajib memberi nafkah muta’ah kepada bekas isterinya berdasarkan dalil dan peruntukan undang-undang yang dinyatakan di atas. Walaubagaimanapun, mahkamah boleh menentukan kadar mut’ah berdasarkan kesesuaian kedudukan atau taraf suami isteri jika terdapat pertikaian dalam menentukan kadar jumlah bayaran muta’ah. Puan juga disarankan agar mendapat khidmat peguam syarie bagi perjalanan proses mahkamah yang lancar.

Diharap segala penjelasan dan informasi yang diberikan dapat membantu puan dalam menuntut hak dan keadilan. Pemberian atau pembayaran muta’ah kepada bekas isteri tidak boleh dipandang remeh oleh bekas suami.

Pihak kami amat mengalu-alukan sebarang pertanyaan lanjut mengenai perkara-perkara berkaitan. Semoga kemusykilan yang telah dihuraikan dapat memberi manfaat kepada semua.

Copyright | Privacy Policy | Contact Us | Sitemap