Promoting an understanding of Islam that recognises the principles of
justice, equality, freedom, and dignity within a democratic nation state

Isteri Mahu Tuntut Muta’ah
email to someone printer friendly


Soalan :

Perceraian saya dan bekas suami (A) telah disahkan di mahkamah. Perkahwinan kami telah bertahan selama 15 tahun dan ada 3 orang cahayamata. Saya kini sedang dalam proses untuk menuntut muta’ah. A telah memberitahu saya bahawa dia hanya akan membayar RM500 sebagai muta’ah. Menurutnya muta’ah ini hanya adat melayu, bukan menurut hukum Syarak. Di negara Islam lain, tiada bekas isteri yang dapat muta’ah dan ia hanya ada di Malaysia. Dia juga berkata bahawa bayaran RM500 lebih dari cukup. Saya kini menjadi ragu-ragu, adakah apa yang A katakan itu benar? Bolehkah saya menuntut muta’ah?

Azizah Harun,
Pantai Dalam Jawapan :

Selain daripada hak menuntut nafkah, seorang isteri yang diceraikan tanpa sebab yang patut oleh suaminya boleh memohon muta’ah atau pemberian saguhati. Hak itu bersandar kepada surah al-Baqarah, ayat 241 yang bermaksud, “Dan isteri-isteri yang diceraikan berhak mendapat muta’ah dengan cara yang patut sebagai satu tanggungan yang wajib bagi orang-orang yang bertaqwa.”

Juga dalam ayat 236 yang bermaksud, “…Walaupun demikian, hendaklah kamu memberi muta’ah (pemberian saguhati) kepada mereka (yang diceraikan itu)…”

Daripada dua ayat ini, jelas menunjukkan muta’ah yang menjadi hak isteri adalah bersandarkan kepada hukum Syarak.

Seksyen 56 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 menyatakan bahawa seseorang perempuan yang telah diceraikan tanpa sebab yang patut oleh suaminya boleh memohon muta’ah atau pemberian saguhati kepada Mahkamah. Selepas mendengar keterangan daripada kedua pihak dan berpuas hati bahawa isteri diceraikan tanpa sebab yang patut, Mahkamah boleh memerintahkan suami membayar sejumlah wang yang wajar dan patut mengikut hukum Syarak.

Dalam kes di Pulau Pinang, Noor Bee lwn Ahmad Shanusi (1978) 1 JH (2) 63, Mahkamah berpendapat bahawa muta’ah bertujuan menutup rasa malu yang dialami oleh isteri, menghindarkan fitnah dan sebagai asas untuk memulakan hidup baru tanpa suami.

Selanjutnya, ayat 236 menerangkan bahawa kadar muta’ah yang berpatutan hendaklah ditentukan menurut kemampuan suami.

Tentang kemampuan suami ini, kita boleh merujuk kepada kes Tengku Anun Zaharah lwn Dato’ Dr Hussein (1980) 3 JH 125 yang mana peguam pihak isteri telah merujuk kepada Kitab al-Ehwal Shaksiah fi Ahkam zaujat watalaq yang ada menerangkan bahawa apabila Sayidinna Hassan bin Abi Talib menceraikan isterinya, beliau telah menghantar 10,000 dinar kepada bekas isterinya sebagai bayaran muta’ah. Jika pada zaman itu jumlah sedemikian boleh dibayar sebagai mut’aah, maka jumlah $25,200 yang diminta sekarang tidaklah begitu tinggi memandangkan kemampuan dan keupayaan pihak suami. Dalam kes ini, Mahkamah Kadi Besar Selangor telah membenarkan tuntutan itu.

Dalam kes Noor Bee di atas, Mahkamah juga telah mengambil kira pengorbanan oleh isteri sepanjang perkahwinannya selain daripada kemampuan suami dalam memutuskan kadar muta’ah yang patut diberikan kepada isteri.

Dalam permohonan muta’ah kepada Mahkamah, puan boleh mengambil kira perkara-perkara seperti jumlah pendapatan, taraf hidup, umur, kesihatan dan hal ehwal kewangan puan dan bekas suami, tempoh perkahwinan dan keadaan perceraian tersebut berlaku untuk dipertimbangkan oleh Mahkamah dalam menentukan jumlah yang wajar dan patut diberikan kepada puan. 

Memandangkan muta’ah ini bersandarkan kepada hukum Syarak, maka peruntukan tentang muta’ah bukan sahaja terdapat di Malaysia. Terdapat juga negara-negara Islam lain yang memberi hak mutaah kepada isteri yang diceraikan. Di Indonesia misalnya, ada diperuntukkan tentang muta’ah wajib dan muta’ah sunat. Juga di negara Timur Tengah, undang-undang di Jordan, Syiria dan Mesir bersependapat bahawa pihak isteri berhak untuk mendapat bayaran pampasan iaitu muta’ah apabila diceraikan oleh suami tanpa sebab yang patut atau munasabah.

Copyright | Privacy Policy | Contact Us | Sitemap