Promoting an understanding of Islam that recognises the principles of
justice, equality, freedom, and dignity within a democratic nation state


Soalan :

SIS, setelah gagal mencapai persetujuan di antara saya dan bekas suami mengenai nafkah dalam proses sulh, saya bertekad untuk memfailkan tuntutan nafkah iddah, harta sepencarian dan mutaah. Bagaimanakah prosedur untuk saya memfailkan tuntutan-tuntutan tersebut kerana saya tidak mampu untuk melantik peguam untuk mewakili saya dan juga tidak layak untuk mendapatkan khidmat peguam di Biro Bantuan Guaman. Bolehkah saya membuat tuntutan ini tanpa diwakili peguam? Di harap pihak SIS dapat membantu.

Siti Sarah
Kuantan, Pahang

Jawapan :

Sememangnya terdapat ramai wanita yang walaupun tidak mampu untuk membayar peguam tetapi tidak pula layak untuk mendapat bantuan guaman kerana terperangkap dengan ujian kelayakan kewangan. Ujian yang dilakukan oleh Biro Bantuan Guaman ini perlu diteliti semula kerana tahap kelayakan kini adalah amat rendah dan tidak mencerminkan realiti keadaan semasa.

Oleh kerana tiada persepakatan semasa menjalani proses sulh, antara puan dan bekas suami maka, tiada larangan bagi puan untuk memulakan permohonan tuntutan nafkah di Mahkamah Syariah sekiranya Puan tidak diwakili oleh peguam syarie. Berikut adalah cara-cara untuk memfailkan tuntutan nafkah di Mahkamah Syariah menurut ENAKMEN TATACARA MAL MAHKAMAH SYARIAH (Negeri Pahang) 2002.
Menurut Seksyen 7, tiap-tiap prosiding mal di Mahkamah hendaklah dimulakan melalui saman. Setiap saman  hendaklah seperti ditunjukkan dalam Borang MS 2; dan hendaklah disertakan dengan suatu pernyataan tuntutan yang hendaklah mematuhi kehendak seksyen 63.

Menurut Seksyen 63, Tiap-tiap pernyataan tuntutan hendaklah ditandatangani oleh plaintif atau Peguam Syarienya dan hendaklah mengandungi—
(a) suatu pernyataan yang ringkas lagi padat, dalam perenggan-perenggan yang bernombor, tentang fakta-fakta yang dijadikan sandaran oleh plaintif dan menunjukkan kausa tindakannya, termasuk butir-butir mengenai apa-apa sifat khas yang atasnya plaintif mendakwa, jika ada;

(b) butir-butir tuntutan yang mencukupi;

(c) suatu pernyataan tentang relief yang dituntut; dan

(d) butir-butir mengenai apa-apa permohonan lain.

(2) Jika lebih daripada satu kausa tindakan dijadikan sandaran, alasan bagi setiap satu tindakan dan relief yang dituntut berdasarkan kausa itu hendaklah dinyatakan secara berasingan.
Tiap-tiap saman terhadap seorang defendan hendaklah dikemukakan untuk difailkan dalam tiga salinan dan satu salinan tambahan hendaklah dikemukakan bagi tiap-tiap defendan tambahan.

Seterusnya, Pendaftar hendaklah memeriksa saman dan—
(a)    jika saman itu didapati sempurna bentuknya; dan
(b)    jika plaintif telah membayar fi yang ditetapkan, termasuk fi bagi penyampaian jika penyampaian oleh Mahkamah diperlukan,

Pendaftar hendaklah memberikan suatu nombor bersiri padanya, memeteraikan, menandatangani dan mengeluarkannya.

(2) Jika Pendaftar berpendapat bahawa saman itu tidak sempurna bentuknya, dia boleh menolaknya atau mengarahkan supaya saman itu dipinda.
Masa penyampaian adalah sah selama dua belas bulan bermula dari tarikh pengeluarannya.

Cara penyampaian sesuatu saman atau dokumen lain hendaklah disampaikan ke diri, dan hendaklah dilaksanakan dengan menyerahkan saman atau dokumen lain itu, atau dengan mengemukakannya untuk diperiksa dan menyerahkan satu salinan saman atau dokumen lain itu, kepada orang yang kepadanya saman atau dokumen itu hendak disampaikan.

Bukti penyampaian haruslah dibuktikan melalui afidavit orang yang melaksanakan penyampaian itu dan, jika penyampaian itu adalah ke diri dan orang yang kepadanya saman atau dokumen lain itu hendak disampaikan tidak dikenalinya sendiri, melalui afidavit orang yang mengecamkan orang yang kepadanya saman atau dokumen itu hendak disampaikan.

Orang yang kepadanya saman atau dokumen itu disampaikan hendaklah menandatangani suatu pengakuterimaan penyampaian, tetapi keengganan atau ketakupayaannya menandatangani sedemikian tidaklah akan menjejaskan keesahan penyampaian itu.

Keterangan melalui afidavit
Mahkamah boleh, pada masa atau sebelum perbicaraan apa-apa prosiding, memerintahkan supaya afidavit mana-mana saksi dibacakan pada perbicaraan itu jika dalam hal keadaan kes itu adalah difikirkannya munasabah untuk memerintahkan demikian.

Membuat afidavit
Sesuatu afidavit yang hendak digunakan dalam mana-mana prosiding di Mahkamah hendaklah dibuat dengan sumpah—
(a) di Negeri Pahang, di hadapan mana-mana Hakim Syarie atau Pendaftar;

(b) di Negeri lain di Malaysia, di hadapan Hakim Syarie atau Pendaftar mengikut kehendak kes;

(c) di mana-mana tempat di luar Malaysia, di hadapan mana-mana pegawai Islam Kedutaan Malaysia atau Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia atau Konsulat atau Misi Tetap di tempat itu yang di beri kuasa untuk mengendalikan sumpah.

Bentuk affidavit.

(1) Sesuatu afidavit hendaklah dalam Borang MS 26.
Seterusnya, salinan dokumen hendaklah dilampirkan pada affidavit itu sebagai ekshibit. Sesuatu ekshibit bagi sesuatu afidavit hendaklah dikenal pasti melalui perakuan orang yang di hadapannya afidavit itu diangkat sumpah, dan perakuan itu hendaklah mengikut bentuk dalam Borang MS 27.

Peringkat seterusnya adalah Pendengaran di dalam Mahkamah
Semua prosiding yang dimulakan dengan saman hendaklah didengar dan diputuskan di dalam Mahkamah terbuka dan semua prosiding yang dimulakan dengan permohonan hendaklah didengar dan diputuskan di dalam Kamar.

Seksyen 130. Penghakiman / Keputusan Mahkamah
Tiap-tiap Hakim perbicaraan hendaklah menyampaikan penghakiman bertulis Kecuali dalam hal prosiding di dalam Kamar, Hakim perbicaraan hendaklah, tertakluk kepada subseksyen (3), mengumumkan penghakimannya di Mahkamah terbuka.
Apabila seseorang Hakim yang telah membicarakan mana-mana prosiding tidak dapat kerana apa-apa sebab mengumumkan penghakiman, penghakiman yang ditulis olehnya bolehlah dibacakan di Mahkamah terbuka oleh mana-mana Hakim lain atau oleh Pendaftar.

Semua penghakiman yang diumumkan di bawah seksyen ini hendaklah menjadi sebahagian daripada rekod kes.

Copyright | Privacy Policy | Contact Us | Sitemap