Promoting an understanding of Islam that recognises the principles of
justice, equality, freedom, and dignity within a democratic nation state

Nafkah – Tanggungjawab Suami
email to someone printer friendly

Soalan :

Assalamualaikum SIS,

Sudah 4 bulan saya dan suami melayari bahtera perkahwinan setelah lama bercinta. Sebelum berkahwin, dia mempunyai bisnes kecil-kecilan yang diusahakan bersama adik beradiknya tetapi ianya kini telah terhenti. Kini, dia seorang penganggur dan tiada pendapatan. Sejak hari pertama berkahwin sehingga sekarang sayalah yang menguruskan segala perbelanjaan rumahtangga. Kadang-kadang saya merasakan bahawa dia sengaja tidak mahu berkerja. Kami sering bergaduh kerana kelalaiannya menjalankan tangggungjawab sebagai suami dan dia sering pulang ke rumah ibunya. Apabila saya beritahu mengenai ketidakpuasan hati saya, dia sering berkata jika sudah berkahwin jangan berkira dengan suami dan tidak mencium bau syurga. Dia juga mengugut tidak mahu mengampunkan dosa saya. Saya berasa sangat tertekan dengan perkahwinan ini. Apa yang patut saya lakukan ini?

Nurani,
Pantai Dalam, Kuala Lumpur

Jawapan :


Perkahwinan merupakan ikatan yang suci antara pasangan Adam dan Hawa. Puan, jika kita mengimbas kembali kejadian manusia yang bernama Hawa adalah diciptakan untuk menjadi pasangan kepada Adam. Ianya bertujuan supaya manusia berkasih-sayang antara satu sama lain berdasarkan syariat Islam. Oleh sebab itulah wujud ikatan perkahwinan antara lelaki dan wanita. Perkahwinan adalah satu kontrak perkongsian hidup antara lelaki dan wanita dengan berdasarkan syarat-syarat yang dipersetujui oleh mereka.

Dan apabila wujudnya ikatan perkahwinan maka wujudlah amanah dan tanggungjawab antara suami dan isteri. Isteri merupakan satu tanggungjawab yang telah diamanahkan oleh Allah saw. Dia berhak mendapat perlindungan serta keperluan hidup dan nafkah yang mencukupi daripada suaminya. Ini dapat dilihat dengan jelas melalui hadith yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Ashaba Al-Sunan yang bermaksud:

“Hindun, isteri Abu Sufian telah mengadu kepada Rasulullah bahawa suaminya tidak memberi nafkah yang cukup kepadanya dan anak-anaknya. Lalu Rasulullah memerintahkan Hindun mengambil dari harta Abu Sufian bahagian untuk nafkahnya dan anak-anaknya dengan sebaiknya.”

Berdasarkan hadis ini jelaslah bahawa suami wajib menyediakan nafkah terhadap isteri dan jika suami enggan dengan sengaja, cuai ataupun nafkah yang diberi tidak mencukupi maka seorang isteri berhak mengambil harta suaminya sebagai nafkah buat isteri dan anak-anaknya.

Kini kebanyakan wanita mempunyai kerjaya atau mempunyai gaji yang lebih tinggi daripada suami. Walaubagaimanapun ini tidak bermakna seorang suami itu akan hilang tanggungjawabnya. Seperti yang kami jelaskan di atas nafkah merupakan pemberian wajib daripada suami kepada isterinya. Keperluan nafkah merangkumi makanan, pakaian, pelajaran, ibadat, tempat tinggal, kesihatan dan sebagainya. Sebagai seorang suami, dia wajib mengeluarkan belanja atau sara hidup kepada tanggungannya.

Apabila seorang isteri membantu di dalam perbelanjaan seharian ia tidak bermakna seorang suami boleh bersikap lepas tangan apabila perbelanjaan harian dibantu oleh isterinya. Selain dari itu ingin kami jelaskan bahawa, kebanyakkan orang berpendapat bahawa nafkah hanya boleh dituntut apabila berlakunya perceraian antara suami dan isteri. Pendapat ini ternyata sekali tidak benar. Suami wajib menyediakan nafkah yang sewajarnya untuk isteri dan jika suami tersebut telah dengan sengaja dan cuai dalam menyediakan nafkah yang secukupnya maka seorang isteri itu boleh membuat tuntutan di Mahkamah syariah.

Ianya selaras dengan Seksyen 59 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984, Mahkamah Syariah mempunyai kuasa untuk memerintahkan seorang suami membayar nafkah kepada isterinya menurut apa yang ditentukan oleh Hukum Syara’.

Seperti yang dinyatakan di atas, sekiranya suami puan masih lagi mengabaikan tanggungjawabnya di dalam menyediakan nafkah terhadap puan, puan boleh memfailkan tuntutan tersebut di Mahkamah Rendah Syariah atau puan juga boleh mendapatkan khidmat guaman untuk melaksanakan prosiding tuntutan tersebut di mana-mana firma guaman serta Biro Bantuan Guaman yang terdekat atau menghubungi kami.

Copyright | Privacy Policy | Contact Us | Sitemap