Promoting an understanding of Islam that recognises the principles of
justice, equality, freedom, and dignity within a democratic nation state

Proses Sulh - Bolehkah Ditemani Peguam
email to someone printer friendly


Soalan:
Saya sedang dalam proses perceraian dan baru mendapat surat dari Mahkamah Syariah untuk proses sulh. Bolehkah SIS memberitahu saya apakah proses sulh tersebut? Bolehkah saya ditemani oleh keluarga atau peguam saya.

Farhana Daud,
Shah Alam

Jawapan:
Surah an-Nisaa' ayat 128 bermaksud: `Dan jika seorang wanita khuatir akan nusyuz (atau sikap tidak acuh) dari suamimu, maka tidak mengapa bagi kedua-duanya mengadakan perdamaian yang sebenar-benar dan perdamaian itu lebih baik (bagi mereka), walaupun manusia itu menurut tabiatnya kikir. Dan jika kamu bergaul dengan isteri secara baik dan memelihara dirimu (dari nusyuz) maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahui yang kamu kerjakan.''

Jelas di sini bahawa perdamaian adalah salah satu cara yang dianjurkan bagi menyelesaikan masalah. Satu satu cara bagaimana perdamaian ini boleh dilakukan adalah dengan proses sulh. Sulh dalam bahasa Arab bererti ``Putus pertengkaran.'' Ia juga bermakna komproni atau dalam pengertian syarak, suatu perjanjian yang dimeterai bagi menyelesaikan perselisihan atau pertikaian. Dalam amalan perundangan sivil ia dikenali sebagai mediasi.

Pelaksanaan prosiding sulh bermula apabila Mahkamah Syariah menerima permohonan di bawah bidang kuasa malnya. Ini adalah termasuk permohonan cerai atau sesuatu tuntutan akibat perceraian iaitu nafkah isteri (idah, mutaah atau harta sepencarian) dan nafkah dan hak jagaan anak.

Surat dari Mahkamah Syariah akan memberitahu puan tarikh yang patut puan dan suami hadir bagi suatu sulh. Proses ini juga dikenali sebagai Majlis Sulh. Ia akan dipengerusikan oleh hanya seorang Pendaftar. Puan dan suami tidak boleh diwakili oleh Peguam Syarie atau mana-mana orang tanpa kebenaran Pendaftar. Perkara ini telah dijelaskan dalam Kaedah 5, Kaedah-Kaedah Tatacara Mal (Sulh) Selangor 2001. Ia supaya setiap pihak dapat cuba mencari perdamaian tanpa dipengaruhi orang lain atau peguam. Proses ini juga lebih mudah daripada perjalanan proses Mahkamah yang mempunyai pelbagai protokol.


Oleh itu puan tidak perlu melantik peguam bagi mewakili puan dalam proses Sulh. Ia juga salah satu cara bagi menjimatkan kos dan pihak terbabit hanya perlu melantik peguam (sekiranya mahu) sekiranya proses Sulh gagal mencapai apa-apa keputusan.


Menasihati

Walaupun begitu, puan boleh meminta nasihat dari peguam, persatuan wanita atau sesiapa bagi menasihati puan mengenai hak-hak yang boleh puan tuntut sebelum menghadiri Majlis Sulh. Perkara ini dapat meningkatkan pengetahuan puan bagi mempersiapkan diri semasa proses sulh.

Jika puan dan suami gagal hadir pada tarikh yang ditetapkan, puan perlu memaklumkan pihak Mahkamah dengan berlandaskan alasan yang wajar. Sekiranya puan atau suami gagal hadir tanpa sebarang alasan, perbuatan ini adalah salah kerana menghina Mahkamah. Perkara ini telah dinyatakan dalam Kaedah 4.


Sebelum Majlis Sulh bermula, Pendaftar akan menerangkan prosedur sulh kepada puan dan suami. Puan dan suami kemudiannya dikehendaki membentangkan tuntutan dan cadangan penyelesaian terhadap perkara yang dipertikaikan. Walaupun proses ini tidak dilangsungkan dalam Mahkamah, setiap pasangan suami isteri harus masih beradap dan memberi peluang bagi pasangannya untuk membuat tuntutan atau membela diri. Bercakap dengan sopan dan tidak perlu menyerang keperibadian pasangan. Pendaftar juga akan memainkan peranan bagi memastikan kelancaran proses sulh.


Jika puan dan suami dapat mencapai persetujuan dalam perkara yang dituntut maka Pendaftar akan menyediakan satu draf perjanjian. Draf ini akan dikemukakan kepada puan dan suami untuk ditandatangani. Ia kemudiannya akan disahkan oleh Mahkamah Syariah dan berfungsi sebagai satu perintah.


Jika tiada langsung persetujuan atau hanya ada beberapa perkara yang tiada persetujuan dalam proses Sulh maka perkara-perkara tersebut akan dirujuk kepada Mahkamah Syariah untuk perbicaraan.


Panel Peguam Sisters In Islam.

Copyright | Privacy Policy | Contact Us | Sitemap