Promoting an understanding of Islam that recognises the principles of
justice, equality, freedom, and dignity within a democratic nation state

Lafaz cerai perlu berhemah
email to someone printer friendly


Soalan:
Saya sudah berkahwin selama 10 tahun dan kami mempunyai seorang cahaya mata. Perkahwinan kami yang berjalan dengan lancar tiba-tiba diganggu dengan kehadiran pihak ketiga. Saya telah merujuk masalah ini kepada pihak atasan suami di pejabatnya. Selepas pergaduhan besar, suami saya telah berkata: “Kau janji tak akan mengadu. Kalau pergi juga tak adalah kita lagi.” Suami telah lama tidak pulang atau memberi nafkah. Saya tidak bekerja. Apakah saya kini telah tertalak?

Dora Manja,
Kuala Lumpur

Jawapan:
Ikatan perkahwinan adalah sejenis kontrak suci di antara seorang suami dan isteri. Ia adalah kontrak yang dipenuhi oleh unsur-unsur agama, moral dan rohani. Masyarakat kita juga lebih mengenalinya sebagai ijab kabul. Ini juga termasuklah syarat-syarat kepada perkahwinan tersebut atau lebih dikenali sebagai taklik.

Syarat kepada perkahwinan atau sebarang tambahan syarat seharusnya dilakukan dengan persetujuan kedua-dua belah pihak. Perlu dimaklumkan bahawa tujuan utama syarat perkahwinan adalah untuk kesejahteraan rumah tangga.


Seksyen 22 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984, menyatakan bahawa apabila selesai akad nikah, Pendaftar hendaklah mencatatkan butir-butir dan taklik yang ditetapkan atau taklik lain di dalam Daftar Perkahwinan.


Menurut seksyen 22(2), catatan tersebut hendaklah di ‘akusaksi'kan oleh pasangan perkahwinan, wali dan juga dua orang saksi yang hadir semasa perkahwinan itu diakadnikahkan. Catatan tersebut kemudiannya hendaklah ditandatangan oleh Pendaftar.


Merujuk kepada masalah puan, adalah nyata bahawa suami tidak memasukkan taklik yang disebutnya ke dalam Daftar Perkahwinan dengan menurut peruntukan seksyen 22.


Suami juga telah menambahkan syarat kepada perkahwinan tanpa persetujuan puan. Puan tidak diberi peluang untuk berunding dan menyatakan keinginan puan dalam penambahan syarat perkahwinan tersebut. Persetujuan pihak-pihak di dalam penambahan syarat kontrak adalah penting.


Ini tidak bermakna bahawa puan mempertikaikan kemampuan suami untuk talak. Sememangnya talak adalah kemampuan suami.


Kenyataan suami puan juga boleh dianggap sebagai satu penganiayaan kerana beliau cuba menghalang puan daripada memohon bantuan sedangkan dia sendiri telah gagal untuk memberi nafkah atau pulang ke rumah.


Puan perlu merujuk ke Mahkamah Syariah untuk membuat laporan bagi memperjelaskan status puan. Puan tidak perlu menunggu suami melaporkan masalah ini. Mahkamah Syariah akan menyaman suami untuk hadir semasa perbicaraan.


Perbicaraan di Mahkamah Syariah kelak adalah untuk mengesahkan status perkahwinan. Mahkamah akan memastikan sama ada talak telah jatuh ke atas puan. Dari segi undang-undang puan dianggap masih berkahwin sehinggalah mahkamah mengesahkan perceraian tersebut.


Semasa perbicaraan, puan boleh membentangkan kepada mahkamah mengenai perkara yang telah dirujuk tadi. Mahkamah juga akan menentukan niat sebenar dan kesahihan lafaz suami. Berdasarkan bukti dan keterangan yang telah dikemukakan, mahkamah kemudiannya akan membuat keputusan mengenai status perkahwinan tersebut Adalah diharapkan agar puan segera merujuk ke Mahkamah Syariah.
Panel Peguam Sisters In Islam.

Copyright | Privacy Policy | Contact Us | Sitemap