Promoting an understanding of Islam that recognises the principles of
justice, equality, freedom, and dignity within a democratic nation state

Nikah Paksa - Suami Enggan Cerai
email to someone printer friendly


Soalan:
Teman saya, seorang janda telah dipaksa untuk berkahwin dengan lelaki pilihan bapanya. Dia telah dibawa ke England dengan alasan untuk pergi bercuti. Tanpa pengetahuannya, bapa telah merancang satu perkahwinan dengan salah seorang anak kenalan. Apabila di sana teman saya tidak dapat berbuat apa-apa. Tiba-tiba dia dibawa ke satu rumah dan dipersiapkan sebagai pengantin. Untuk menjaga air muka keluarga kawan saya menurut sahaja. Setelah majlis perkahwinan selesai, bapanya pulang ke tanah air dan meninggalkan teman saya bersama suami. Teman saya ini telah meminta suami menceraikannya tetapi suami enggan. Malah dokumen perjalanan dan surat nikah teman saya ini disimpan oleh suami. Bagaimanakah caranya teman saya boleh mendapatkan dokumen perjalanan dan surat nikahnya, dan seterusnya meminta cerai.

Kamarulsani,
Subang, Selangor.

Jawapan:
"Dan di antara tanda-tanda kebesaran-Nya ialah Dia menciptakan pasangan-pasangan dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tertarik kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang" surah al-Rum 30:21

Perkahwinan merupakan satu akad iaitu satu kontrak yang diangkat atau dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak suami dan isteri. Ia tidak mempunyai unsur paksaan malah merupakan salah satu unsur bagi menjalinkan kasih-sayang. Tidak terdapat paksaan dalam Islam.


Persetujuan seorang perempuan merupakan satu keperluan dalam perkahwinan. Ini bukan sahaja dituntut oleh syarak tetapi bertujuan untuk menjamin kesejahteraan satu perkahwinan. Namun di Malaysia, tidak semua perundangan berkaitan dengan keluarga Islam mewajibkan persetujuan seorang perempuan dalam perkahwinannya. Di Kelantan misalnya, dalam Enakmen Keluarga Islam Kelantan 1983, Jadual Keempat menyatakan bahawa keizinan daripada seorang anak dara tidak diperlukan sekiranya walinya ialah mujbir.


Sahih Bukhari telah meriwayatkan dua hadis mengenai perkara ini, bahawa wali tidak boleh mengahwinkan seorang anak dara atau perempuan yang pernah berkahwin tanpa persetujuannya dan juga Rasulullah s.a.w pernah membubarkan suatu perkahwinan yang telah dilangsungkan tanpa persetujuan perempuan tersebut.

Terdapat perbezaan pendapat sama ada seorang perempuan boleh melangsungkan perkahwinannya sendiri.
Secara umumnya terdapat persetujuan di kalangan para ulama bahawa seorang perempuan tidak boleh melangsungkan perkahwinannya sendiri walaupun dari segi undang-undang, dia mampu berbuat sedemikian.

Perbezaan

Terdapat juga perbezaan dalam isu persetujuan seorang perempuan yang telah berkahwin dan belum pernah berkahwin, hak seorang wali dan jenis persetujuan yang diperlukan.

Sebagai contoh, Imam Malik dan Shafii berpendapat bahawa kebenaran seorang wali adalah perlu di dalam akad, tetapi Imam Hanafi pula berpendapat bahawa seorang perempuan yang telah dewasa sama ada belum atau pernah berkahwin boleh melangsungkan perkahwinan tanpa perlu adanya wali.


Ini adalah berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Aishah r.a yang menyatakan bahawa:"Seorang gadis telah datang kepadanya dan berkata bahawa bapanya telah melangsungkan perkahwinannya dengan anak saudara bapanya untuk meringankan kemiskinan pemuda tersebut. Apabila Rasulullah s.a.w mendengar aduan itu, Baginda telah memanggil bapanya dan di hadapan bapanya membenarkan gadis itu berkahwin mengikut pilihan gadis tersebut. Lalu gadis menjawab; Wahai Rasulullah! Saya menerima pilihan bapa saya. Saya hanya mahu kaum perempuan sedar yang mereka mempunyai hak penuh ke atas diri mereka dalam hal ini.''


Dalam persoalan teman saudara, kita boleh merujuk kepada surah al-Baqarah, ayat 232 yang bermaksud;

``Apabila kamu mentalak isteri-isterimu, lalu habis idahnya maka janganlah kamu (para wali) menghalang mereka kahwin lagi dengan bakal suaminya. Apabila terdapat kerelaan di antara mereka dengan cara yang maaruf. Itulah yang dinasihatkan kepada orang-orang yang beriman di antara kamu kepada Allah dan hari kemudian...''
Ayat ini telah turun apabila saudara perempuan Maqil bin Yasir yang telah bercerai mahu kembali kepada bekas suaminya dan hasrat ini ditentang oleh Maqil. Rasulullah s.a.w telah membenarkan perkahwinan ini walaupun tanpa kebenaran wali (Maqil).

Kita boleh merujuk kepada dua hadis yang telah dibukukan oleh Abu Daud r.a. yang memberi sokongan bahawa janda boleh berkahwin tanpa perlunya kebenaran wali. Hadis-hadis ini antara lain bermaksud seorang balu atau janda mempunyai lebih hak mengenai perkahwinannya daripada walinya dan wali tidak mempunyai hak ke atas seorang janda atau balu.


Dari segi perundangan syariah, di negeri Selangor, rujukan harus dilakukan terhadap seksyen 13 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Selangor) 2003. Ia menyatakan bahawa sesuatu perkahwinan adalah tidak diakui dan tidak boleh didaftarkan di bawah enakmen tersebut, melainkan kedua-dua belah pihak kepada perkahwinan tersebut bersetuju dan sama ada:


a. Wali pihak perempuan bersetuju terhadap perkahwinan itu mengikut hukum syarak; atau

b. Hakim Syarie yang mempunyai bidang kuasa di tempat di mana pihak perempuan bermastautin atau seorang yang diberi kuasa secara am atau khas bagi maksud itu oleh Hakim Syarie telah memberi persetujuan terhadap perkahwinan itu melalui wali raja mengikut hukum syarak, berasaskan kepada sebab-sebab tertentu yang dibolehkan.

Melihat kepada hadis-hadis dan ayat al-Quran di atas, adalah jelas bahawa Islam sebenarnya memberi kebebasan sepenuhnya kepada perempuan untuk memilih calon suaminya. Kahwin paksa dalam keadaan masyarakat yang moden sekarang sudah tidak relevan dan sesungguhnya lari daripada syariat Islam itu sendiri.


Menurut undang-undang di Malaysia, setiap perkahwinan yang dilangsungkan di luar negara perlu didaftarkan di pejabat Kedutaan atau Suruhanjaya Tinggi Malaysia di negara tersebut.


Sekiranya perkahwinan teman saudara telah didaftarkan di Suruhanjaya Malaysia, London maka salinan sijil perkahwinan boleh didapati di suruhanjaya berkenaan. Sekiranya tidak, beliau perlu memberi butir-butir perkahwinan tersebut kepada pihak suruhanjaya dan seterusnya memohon bagi pendaftaran perkahwinan di Malaysia. Ini adalah kerana sehingga perkahwinan tersebut didaftarkan, ia tidak diakui oleh undang-undang dan Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidangkuasa terhadap perkahwinan tersebut.


Berkenaan dengan dokumen perjalanan yang dipegang oleh suaminya, adalah menjadi satu kesalahan di sisi undang-undang untuk menyimpan dokumen perjalanan atau dokumen pengenalan orang lain.


Teman saudara dinasihatkan untuk membuat aduan kepada Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London, yang beralamat di 46 - 46, Belgrave Square, London, SWIX 8QT. Teman saudara hendaklah menceritakan perkara sebenar kerana dalam keadaan yang memerlukan, Su-ruhanjaya boleh membantu dengan mengeluarkan Sijil Perakuan Cemas. Sijil ini membolehkan teman saudara pulang ke tanah air tanpa memerlukan sebarang dokumen perjalanan. Selain daripada alamat di atas, teman saudara boleh menghubungi Suruhanjaya melalui telefon di nombor 442072358033 atau faks 442072355161 atau e-mail kepada
mwlondon@btinternet.com.
This e-mail address is being protected from spam bots, you need JavaScript enabled to view it
Tentang permohonan perceraian, teman saudara hanya boleh memulakan tindakan di mahkamah Syariah. Maka amatlah penting untuk mendaftarkan perkahwinan tersebut supaya Mahkamah mempunyai bidang kuasa untuk menanganinya.

Panel Peguam Sisters In Islam.

Copyright | Privacy Policy | Contact Us | Sitemap