Promoting an understanding of Islam that recognises the principles of
justice, equality, freedom, and dignity within a democratic nation state

Berdosa lafaz tiga talak sekali gus
email to someone printer friendly


Soalan:
Suami sentiasa mengasari saya. Setelah menampar saya pada suatu hari, dia berkata 'aku ceraikan kau!' sebanyak tiga kali. Saya tergamam dan tidak dapat berkata apa-apa. Adakah talak yang dijatuhkan dikira sebagai talak satu atau tiga? Bolehkah dia mentalakkan saya tiga sekali gus?

Shafiqah Stephanie Maturin Abdullah,
Kuala Terengganu, Terengganu.

Jawapan:
Talak adalah perkataan Arab yang membawa makna 'menguraikan' atau 'melepaskan daripada ikatan'. Ia digunakan untuk menunjukkan bahawa seseorang wanita itu dibebaskan daripada ikatan perkahwinannya.

Melafazkan talak bukanlah satu perkara yang boleh diambil mudah, terutama sekali apabila ia dilakukan di luar mahkamah seperti dalam situasi puan. Lafaz cerai yang dinyatakan oleh suami sepatutnya dilakukan dengan jelas agar tidak timbul keraguan mengenai niat suami untuk bercerai.


Terdapat beberapa jenis talak yang boleh dilafazkan oleh suami untuk menceraikan isterinya. Dalam situasi puan, talak yang dilafazkan adalah talak bidaat, iaitu tiga lafaz talak yang dibuat pada masa yang sama. Ini dianggap sebagai talak yang tidak menurut sunnah walaupun ia sah di sisi hukum syarak. Cara terbaik bagi melafazkan talak bidaat adalah dengan adab dan menurut perundangan.


Memandangkan suami puan telah melafazkan talak di luar mahkamah, puan perlu melaporkan hal ini kepada mahkamah syariah untuk membuat pengesahan perceraian. Mahkamah akan memutuskan sama ada suami puan telah melafazkan tiga talak atau tidak.


Di Malaysia, tiada dinyatakan dalam mana-mana undang-undang agama Islam negeri-negeri mengenai kesan talak tiga yang dilafazkan pada satu masa. Oleh itu, mahkamah boleh menggunapakai budi bicaranya dan merujuk kepada hukum syarak.


Dalam situasi suami melafazkan talak lebih daripada yang sepatutnya, Rasulullah s.a.w. telah memutuskan kes berdasarkan niat suami semasa melafazkan talak. Terdapat beberapa hadis susunan Sahih Muslim yang menunjukkan bahawa di zaman Rasulullah s.a.w., talak tiga yang dilafazkan pada satu masa dikira sebagai satu, contohnya:


Dari Ibn Abbas diriwayatkan: "Adalah talak di zaman Rasulullah s.a.w, Abu Bakar dan dua tahun permulaan Khalifah Umar talak tiga kali sekali gus dihitung satu kali. Lalu Umar ibn Khattab berkata; "Sesungguhnya orang-orang telah terburu-buru dalam perkara di mana yang baik bagi mereka adalah dilambatkan dan difikir secara mendalam. Alangkah baiknya kalau kita tetapkan saja hukum talak tiga ke atas mereka." Lantas diteruskan hukum atas mereka.


Sebaliknya ada juga beberapa hadis yang menyatakan tiga lafaz talak sekali gus dikira sebagai talak tiga oleh Rasulullah s.a.w. misalnya, adalah diriwayatkan oleh Hassan bahawa, Abdullah bin Umar melafazkan satu talak ke atas isterinya semasa isterinya dalam masa haid, dan hendak melafazkan dua talak seterusnya dalam masa Tuhr (tempoh suci daripada haid) yang berikut. Apabila Rasulullah s.a.w. mendengar hal ini, Baginda bersabda: "Ibn Umar, Allah tidak menyuruh perceraian cara ini. Cara ini bertentangan dengan sunnah. Cara yang sepatutnya ialah kamu menunggu tempoh Tuhr untuk melafazkan talak dan kemudian membuat satu lafaz talak dalam setiap Tuhr."


Abdullah bin Umar kembali kepada isterinya mengikut perintah Rasulullah s.a.w. kemudian Nabi bersabda: "Tidak, apabila isterimu itu telah bersuci, kamu bolehlah menceraikannya atau pun tidak." Ibn Umar berkata, "Wahai Rasulullah, sekiranya aku sudahpun melafazkan tiga lafaz talak, bolehkah aku dibenarkan kembali kepada isteriku?" Rasulullah bersabda; "Tidak, perceraian itu akan menjadi perceraian yang tidak boleh dirujuk, tetapi kamu telah melakukan dosa kerana melafazkan talak dengan cara yang tidak patut."


Dalam mempertimbangkan hadis-hadis di atas untuk menentukan sama ada talak yang dilafazkan suami puan adalah talak tiga atau talak satu. Mahkamah juga akan meneliti sama ada lafaz talak oleh suami puan adalah jelas. Perkataan 'talak' adalah salah satu daripada perkataan yang perlu jelas. Jika lafaz talak itu dikira jelas, isu sama ada suami puan berniat melafazkan tiga atau satu talak kepada puan sudah tidak timbul lagi. Talak tetap jatuh.


Panel Peguam Sisters In Islam.

Copyright | Privacy Policy | Contact Us | Sitemap